Pusat Bantuan Guaman-Pengenalan

Oleh: Valen Khor Xiou Shan (disiarkan dengan kebenaran)


Majlis Peguam Malaysia merupakan satu-satunya badan bukan kerajaan di dunia yang memberikan khidmat guaman percuma kepada golongan masyarakat yang kurang berkemampuan tanpa mendapat sebarang tajaan atau sokongan kewangan daripada pihak kerajaan. Setiap peguamcara dan peguambela berdaftar dimestikan mencarum sejumlah wang sebanyak RM100 untuk Tabung Bantuan Guaman setiap tahun bagi membolehkan mereka memperbaharui Sijil Amal Tahunan.


Minggu Kesedaran Undang-Undang Kebangsaan merupakan salah satu aktiviti kepentingan awam Majlis Peguam yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Bantuan Guaman Majlis Peguam Malaysia. Pelancaran Minggu Kesedaran Undang-Undang Kebangsaan tahun ini akan dilancarkan di Sungai Petani, Kedah.


Pada peringkat negeri pula, Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam (Kuala Lumpur) yang beroperasi di Wisma Kraftangan, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur merupakan salah satu Pusat Bantuan Guaman yang paling sibuk dengan pelbagai jenis perkhidmatan dan aktiviti kesedaran. Perkhidmatan guaman pada asalnya hanya tertumpu dalam memberikan nasihat guaman dan representasi guaman kepada mereka yang tidak berupaya untuk melantik peguam. Walau bagaimanapun, bidang khidmat Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam telah diperluaskan kepada kes-kes kepentingan awam seperti isu-isu peneroka dan representasi guaman dalam tangkapan beramai-ramai.


Walaupun terdapatnya perkhidmatan guaman disediakan oleh Majlis Peguam kepada mereka yang memerlukan, akan tetapi kebanyakan ahli masyarakat tidak menyedari akan kewujudannya. Meskipun ada golongan yang mempunyai pengetahuan bahawa terdapatnya perkhidmatan tersebut, ada di antara mereka tidak mengetahui tempat dan cara untuk mendapatkan bantuan tersebut.


Jawatankuasa Kebangsaan Bantuan Guaman Majlis Peguam menyedari akan hakikat ini, akan tetapi publisiti yang melebih-lebih tidak semestinya memanfaatkan semua ahli masyarakat yang memerlukan bantuan guaman tersebut. Ini adalah kerana setiap Pusat Bantuan Guaman di negeri-negeri yang berlainan berfungsi dengan bergantung kepada caruman RM100 daripada ahli-ahli Majlis Peguam. Dengan peruntukan kewangan yang terhad, Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam tidak berupaya untuk mengendalikan bilangan kes yang terlampau banyak. Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam tidak ingin memberikan harapan kosong kepada mereka yang datang ke pusat-pusat bantuan guaman mendaftarkan kes mereka tetapi tidak diperuntukkan peguam untuk mengendalikan kesnya.


Keadaan ini menjadi semakin serius apabila badan kehakiman Malaysia memperkenalkan sistem ‘fast track’ dan mengeluarkan pekeliling supaya penangguhan kes tidak akan diizinkan kecuali dalam keadaan terdesak dan/ atau berkecuali. Pegawai-pegawai kehakiman kini tidak membenarkan penangguhan kes meskipun dalam keadaan di mana tertuduh tidak diwakili oleh peguam dan seterusnya memberi arahan supaya tertuduh membela diri tanpa representasi sekiranya dia masih gagal mendapatkan perkhidmatan guaman di tarikh sebutan akan datang. Dalam keadaan sebegini, sekiranya Pusat Bantuan Guaman mendaftarkan kesemua kes tetapi gagal mendapatkan peguam untuk mewakili anakguam-anakguam tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh mahkamah, maka mereka terpaksa mengendalikan kes itu atas usaha dirinya tanpa representasi guaman. Sekiranya hal sedemikian berlaku, ia bagaikan satu janji kosong yang diberi oleh Pusat Bantuan Guaman dan seterusnya memudaratkan kepentingan anakguam tersebut kerana hak asasinya untuk mendapatkan representasi guaman telah dinafikan.


Bersambung esok...

0 komen: