Geng

Semalam pergi jumpa geng sekolah menengah. Dah 2 tahun tak jumpa. Mimot ajak jumpa sebab dia dah nak beranak minggu depan. Geng ada 5 orang, tapi yang dapat datang 3 orang je. Alasan Ida agak logik la, iaitu "sapa suruh korang buat masa bday aku? Husband aku nak celebrate dengan sapa?" Yang paling tak logik ialah alasan Anyza iaitu "teman sepupu pi spa". Kalau dia yang pi spa tu aku terima gak la, sebab spa best.

Apapun, malam tadi memang best. Kami menyalahkan sesama sendiri kenapa tak jumpa padahal Fazlin kerja di Bank Negara dan aku di PJ je. Mungkin sebab Mimot keja di Dubai. Dia balik sebab nak beranak je. Hurm.

Pada aku, kawan sekolah berbeza dengan kawan sekerja sebab kawan sekolah lebih tahu pasal latar belakang kita. Selalunya, kita melepak dengan kawan sekolah dekat rumah, samada rumah dorang atau rumah kita. Jadi secara tak langsung kita akan kenal dan rapat dengan keluarga mereka juga. Keluarga Mimot paling aku kenal sebab kami kawan sejak sekolah rendah. Aku teringat, masa putus cinta pertama kali masa umur 19 tahun, Mimot takde kat rumah sebab dia sibuk final exam di UITM. Jadi apa yang aku buat? Aku pi cari mak dia kat pusat kecantikannya dan mak dia ajak aku tido rumah dia 2 hari.

Fazlin plak teman gayut. Dulu-dulu tak terasa sangat kalau bergayut di telefon sebab telefon rumah kan murah. Yang kelakar aku mesti ter-telefon waktu dia tengah basuh baju (guna mesin basuh la). Kadang-kadang masa dia telefon aku pun dia tengah basuh baju dan hanya akan berhenti bila tiba waktu untuk menjemur pakaian.

Agak mengejutkan lepas berbelas-belas tahun, kami bertiga masih kongsi sentimen yang sama tentang banyak perkara, baik perkara dulu-dulu ataupun masakini. Padanlah kami boleh jadi geng tanpa gaduh. Yup, kami tak penah bergaduh walau sekalipun. Gaduh dengan orang lain mungkin pernah lah kot, 'gang fight'. Itupun masa sekolah rendah. Geng aku menang, tapi kena denda dan ibubapa kena datang sekolah lepas geng yang kalah tu nangis dan balik beritahu mak dia. Tah apa-apa.

Harap-harap lepas ni jumpa lagi. Hurm, memang nak kena jumpa lagi sebab Mimot dah nak beranak dan aku 'order' minyak wangi dari pusat kecantikan mak dia.



Beruk

Sebelum ni aku telah menulis tentang kambing. Aku puji kambing sebab haiwan itu comel tapi busuk, busuk tapi mahal.

Tulisan aku disambut dengan perasaan kurang senang oleh saudara Edmund Bon, yang aku panggil Uncle Ed. Aku panggil beliau Uncle Ed sebab beliau selalu berperangai seperti pakcik-pakcik. Soalan Uncle Ed kepada aku ialah, adakah kambing lebih baik dan lebih penting daripada LoyarBurok?

Umum mengetahui bahawa maskot LoyarBurok ialah seekor beruk. Jadi aku baca soalan Uncle Ed tersebut sebagai: Adakah kambing lebih baik dan lebih penting daripada beruk? Jadi, sebagai menghormati Uncle Ed, aku dedikasikan tulisan yang ini khas untuk haiwan bernama beruk (tidak ada kena mengena dengan LoyarBurok).

Seperti kambing, beruk juga ialah sejenis binatang berkaki empat. Bezanya ialah beruk boleh berjalan menggunakan 2 kaki, manakala kambing tidak boleh. Jika seseekor kambing boleh berjalan dengan menggunakan 2 kaki, kambing tersebut akan dijemput untuk menyertai sarkis. Di dalam salah sebuah filem P. Ramlee, ada seorang watak ni mengeja sarkis sebagai ‘Alif, Mim, Nun, Wau (A/U, M,N,O/U). Alif tendang Wau=Sarkis’. Samada memang terdapat kesalahan mengeja atau penulis skrip tersebut tidak pandai mengeja, tidaklah kita ketahui sehingga kini.

Seperti ramai orang kebanyakkan di Malaysia, aku juga tidak tahu apakah nama saintifik atau gelaran beruk ini di mata dunia. Mungkin ia memang digelar beruk, atau ‘brook’, atau ‘al-bruq’. Tapi orang putih meletakkannya sebagai salah satu daripada ahli keluarga monyet. Ia digelar ‘beruk monkey’ atau ‘pig-tailed macaque’ (The Beruk monkey is a pig-tailed monkey which is specially-trained to pick coconuts). Kasihan, dah la beruk, dikaitkan dengan babi pula.

Bagi orang kebanyakan di Malaysia, ada 2 jenis beruk yang terkenal, iaitu beruk kampong dan beruk mak yeh.

Beruk kampong ialah beruk yang selalu digunakan di kampung-kampung untuk memanjat dan memetik buah kelapa. Beruk ini agak dekat dengan tabiat sesetengah manusia, iaitu ia suka terjun di dalam sungai dan suka merokok. Ia juga pandai minum dengan menggunakan ‘straw’. Ini mengingatkan aku kepada Sarip. Sarip ialah seekor beruk yang tinggal di dalam hutan berdekatan dengan kampus aku dulu. Aku panggil ia Sarip selepas aku berjaya menangkap Sarip hidup-hidup ketika ia sedang meminum air sirap yang aku beli dari kantin menggunakan ‘straw’. Sirap=Sarip.

Beruk mak yeh pula sebenarnya hampir tidak wujud. Barangkali ia hanya satu mitos. Tapi ramai orang yang menggambarkan beruk mak yeh ini sebagai spesis beruk yang suka melompat-lompat, terkinja-kinja dan suka membuat bising. Ia juga selalu digunakan di dalam ayat bahasa Melayu yang berbau kutukan. Contoh ayat: Lelaki tua tak sedar diri itu menari terkinja-kinja di kelab dangdut macam beruk mak yeh.

Selain daripada beruk kampong dan beruk mak yeh, ada juga beruk jelmaan/jadian. Beruk jadian ialah satu spesis yang istimewa, seperti juga harimau jadian (saka), serigala jadian (werewolf) dan macam-macam binatang lagi. Beruk-beruk jadian ini mampu bertukar menjadi manusia. Akan tetapi mereka sangat mudah dikenalpasti. Disebabkan itulah ada sesetengah orang yang digelar ‘beruk’. Ia berlaku selepas penyamaran mereka terdedah.

Beruk juga adalah antara nama haiwan yang selalu digunakan sebagai kata nama ganti dan kata nama alternatif, terutamanya ketika kita sedang marah dan digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang negatif. Ia juga selalu digunakan oleh beberapa gerakan atau individu untuk menjatuhkan beberapa jenama gergasi yang tak guna. Antaranya ialah MalBERUK dan BERUKband.

Demikianlah sedikit sebanyak pengetahuan yang aku boleh kongsi dengan para pembaca tentang beruk. Sekarang terpulang kepada semua samada kambing atau beruk lebih penting. Aku lebih suka kambing. Kambing lebih ringkas. Pada pendapat aku, beruk adalah sangat merumitkan. Ia boleh membawa beberapa maksud yang berlainan sehingga perkataan’beruk’ boleh digunakan sebanyak beberapa kali di dalam satu ayat.

Aku akhiri tulisan ini dengan sebuah lagu. Sila nyanyi lagu ini dengan tempo lagu ‘Bangau oh bangau’.

Beruk oh beruk, kenapa engkau beruk?

Macamana aku tak beruk, aku memang beruk

Aku memang beruk

Sekian.

Kambing



Gambar di atas merupakan gambar seekor kambing. Aku jumpa kambing ni 2 tahun lepas, kat Jelebu. Bukan sebab nak pi beraya di kampung Tukar Tiub, tapi ada kenduri kahwin. Kambing ni agak fotogenik. Rupanya secara 'live' sama dengan rupanya di dalam gambar.

Kambing selalu dikaitkan dengan bau busuk. Padahal, banyak lagi benda yang lebih busuk daripada kambing. Contohnya, tahi lembu, bau nafas orang tak mandi dan bau kaki. Kalau diperhatikan betul-betul, kambing ni sebenarnya agak comel. Mukanya bak kucing tapi lonjong sikit, dan lebih macho daripada lembu sebab ada janggut sejemput. Tapi, disebabkan faktor bau, kambing selalu dijauhi.

Di samping itu, walaupun daging kambing agak sedap, tapi ia selalu dikaitkan dengan kepanasan. Disebabkan cerita-cerita negatif tentang kambing, kambing selalu tak dapat jadi 'hero.' Kambing selalunya akan jadi 'sidekick' sahaja. Contohnya kalau tetamu tak makan daging lembu atau babi sebab agama, maka barulah hidangan kambing akan disediakan.

Begitu juga dengan susu kambing, jarang orang nak minum susu dia, sebab susu lembu lebih popular. Kesian kambing.

Tapi ada satu kelebihan kambing yang binatang lain tak boleh lawan. Lamb Chop Station 21. Pergh. Persetankan 'chicken chop', 'beef steak' atau 'fish and chips' sekalipun. 'Lamb Chop is number one'. Uno. Harga mahal sikit takpe, janji puas hati.

Kadang-kadang aku rasa aku ni cam kambing. Comel tapi busuk, busuk tapi mahal.

Ada Apa Dengan Mimpi?

Dah lama tak menulis di belog ni. Bukan dah lupa, tapi tak sempat. Atau, walaupun punya kesempatan, tapi tak tahu apa yang wajar untuk ditulis. Ramai yang bertanya, dan ramai juga yang tertanya-tanya.

Kita tinggalkan dulu isu masa.

Aku nak cerita pasal arwah mak, mak yang aku tak sempat nak jumpa. Mungkin dah jumpa, tapi tak sempat nak kenal. Mungkin dah kenal, tapi tak ingat. Mak pergi bila usiaku berumur setahun. Lepas tu bapaku kahwin semula. Gagal, kemudian mencuba lagi.

Dulu-dulu, bekas mak tiriku pernah cakap, bahawa arwah mak muncul dalam mimpinya. Mak suruh dia jaga anak-anaknya baik-baik. Aku diamkan saja. Biasalah mainan tidur.

Kemudian, beberapa tahun selepas tu, bekas pengasuhku pula menghubungi aku. Waktu tu, bapaku dah bercerai dengan mak tiri tu. Bekas pengasuhku kata, dia mimpikan mak aku. Dia risau apa-apa jadi pada anak-anak dia.

Raya lepas, pakcik aku (abang mak) yang kujumpa ketika Hari Raya, kata mak muncul dalam mimpinya. Pakcikku ajak aku buat kenduri.

Semalam, ayah datang ke pejabat. Tiba-tiba je. Padahal, Ahad lepas aku dah jumpa ayah di rumahnya. Katanya, malam kelmarin mak muncul dalam mimpinya. Mak marah-marah ayah, katanya tak jaga anak dan tak adil dengan semua anak.-anaknya Ayah terkejut. Ayah tanya kepada aku, kalau-kalau dia tak cukup beri apa-apa. Aku kata tak ada, tapi aku ambil kesempatan minta ayah dahulukan wang deposit untuk aku pindah rumah bulan depan, heh heh heh.

Aku taknak buat andaian lebih-lebih, sebab aku tak ada ilmu dalam hal semacam ni. Tapi, semua cerita mimpi ni buat aku rindu kat mak.

Mak, janganlah risau sangat. Anakmu baik-baik saja. Dah besar panjang, dah kerja bagus. Cuma kahwin je belum lagi. Tapi saya gembira.

Sekali-sekala, mak muncullah dalam mimpi saya pula, ya?