Selam menyelami

Ramai orang ingat kalau sebut Perancis dan kapal selam 'together-gether', bunyinya macam Altantuya.

Sebenarnya ia lebih dari itu.

Duit cukai kita. Pembaziran tak bertempat. Korupsi.

Membazirlah bila kapal selam yang diberi tak boleh menyelam. Kan elok kalau komisen lebih RM500juta tu dibuat sekolah dan hospital (memetik kata Joseph Breham semalam).

Ok taknak komen lebih-lebih, kita tunggu siasatan habis dulu ek.


Dari kiri Moon Hui staf SUARAM, Joseph Breham loyar Perancis, Cynthia Pengarah SUARAM, Arumugam Pengerusi Sekretariat SUARAM dan OrangGilak penyebok (Thanks Andrew for the pic :))

Benci

Badan aku sakit. Dari ketiak sampai ke pinggang. Ni semua gara-gara menyusun semula semua perabot di dalam bilik tidur seorang diri. Motif? Nak letak katil betul-betul di bawah kipas. Cuaca yang panas berbahang buat aku tidur di atas lantai bawah kipas selama beberapa hari.

Kenapa baru sekarang nak susun? Sebab, aku tak ada masa. Masa tinggalkan aku jauh kebelakang. Asyik terkejar-kejar ke sana ke mari.

Keputusan SUHAKAM terhadap penangkapan aku dan 4 orang peguam yang lain tahun lalu diberikan Jumaat lepas. Kami menang. SUHAKAM kata pihak polis telah salah menangkap kami yang sedang menjalankan tugas dan perbuatan mereka itu adalah melanggar hak asasi manusia.

Adakah keputusan tersebut beri perubahan terhadap cara kerja polis?

Sejak pilihanraya kecil Hulu Selangor bermula, aku sudah sibuk berulang alik ke sana sebab asyik-asyik ada petugas pilihanraya PR yang ditahan polis. Aku malas nak cerita panjang lebar. Rasanya korang pun dah tahu apa yang berlaku.

Sabtu pagi aku ke sana seawal jam 7 pagi. Siang-siang sudah ada tangkapan. Tengah malam, kampung orang asli dikepung oleh sekumpulan orang. Kata penduduk tempatan, itu adalah taktik biasa setiap kali pilihanraya supaya mereka tidak boleh turun mengundi. Perlakuan polis ketika menangani perkara tersebut sangat mencurigakan.

Esoknya, Chegubard dan 5 orang petugas pilihanraya juga ditangkap. Yang kelakarnya, mereka datang ke balai polis unuk membuat laporan kerana mereka telah diserang dengan parang oleh penyokong BN. Tapi, mereka pula yang ditahan sehingga tengah malam. Murnie dan Fad bergaduh dengan Superintendan yang mengendalikan kes itu sehingga mereka membuat laporan polis.

Belum sempat aku merehatkan fizikal dan mental, tiba-tiba semalam aku dapat panggilan telefon dari seorang rakan yang meminta bantuan untuk keluarga kawannya. Seorang budak lelaki berusia 15 tahun, mati ditembak polis. Selepas makan malam, aku dan 5 orang peguam lain yang kebetulan berada bersama aku bergegas ke Shah Alam rumah keluarga mangsa. Nasib baik salah seorang peguam itu ialah Suren. Suren adalah pakar di dalam kes-kes yang melibatkan salahguna kuasa polis. Beliau sudah buat kerja ni lebih dari 17 tahun. Kini beliau yang mengendalikan kes ini.

Apakah persamaan di antara ketiga-tiga cerita tadi?

P O L I S

Sampai bila mereka nak berperangai buruk? Bila mereka akan berubah?

Encik Perlindungan?


(gambar oleh Fadiah)


Tempat Tahanan Perlindungan atau Tempat Perlindungan Tahanan? Kenapa mereka nak tahan Encik Perlindungan di bawah ISA?

Cerita Perhimpunan Halal

Dah lama tidak menulis untuk merdekareview :)


"...Saya tidak menafikan bahawa memang wujud undang-undang yang menghalang perhimpunan tanpa permit. Saya juga tidak menafikan bahawa di dalam negara ini, perhimpunan lebih daripada tiga orang tanpa permit boleh dianggap sebagai satu perhimpunan haram mengikut undang-undang. Saya juga tidak menafikan bahawa sekiranya anda dan 38 orang kawan-kawan lain berada di dalam sebuah bilik hotel, anda adalah berkhalwat (maaf, saya sedang cuba menjadi kelakar).

Tetapi, hanya kerana saya seorang peguam atau pengamal undang-undang, patutkah saya berpaling kepada anda semua sambil berkata "perhimpunan yang lebih daripada tiga orang tanpa permit adalah salah di sisi undang-undang. Anda boleh didakwa di Mahkamah. Sila jangan lakukan." ?..."


Nak baca lagi, sila klik sini. Enjoy!

Penjodoh Bilangan dan Cerita Bahasa

"Kawan. Apa kata bilangan untuk cekak? :-S"

Mula-mula, aku tergelak bila baca sms Juana tu, sambil nak balas "itupon tak tau ke?". Tapi selepas beberapa ketika, baru aku tersedar.

Aku pun tak tahu jawapannya.

Selepas mencari jawapan di merata-rata tempat, akhirnya aku mengambil jalan mudah- FB la apa lagi. Soalan yang bunyinya lebih kurang begini "apa penjodoh bilangan untuk cekak?" disambut oleh beberapa orang rakan yang mencadangkan secekak, sepuspa cekak, seutas cekak atau setangkai cekak. Sufian Abas pula mencadangkan supaya aku mencari jawapannya di sini.

Dalam pada aku cuba-cuba mencari jawapan, Juana sudah pun menghabiskan cerut (cerita mengarut)nya tentang 3 sekawan cekak. Menurut beliau dengan adanya cerut tersebut, membuktikan bahawa beliau ialah seorang minah rempit dan meminta aku mengiktiraf kerempitan beliau. Tahniah.

Untuk meng'cover' malu sebab tidak dapat menjawab soalan, aku pon bertanya kepada Juana apakah penjodoh bilangan untuk 'remote control'? Jawabnya, "pucuk. sebab you aim the damn thing at the TV/Astro and then fire". Enough said.

Penting sangatkah meletakkan penjodoh bilangan ni? Pentingkah mengikut peraturan bahasa yang ditetapkan sejak dahulu kala? "PENTINGLAH!" jawab beberapa orang pejuang bahasa kepada aku (nanti) kalau-kalau soalan ini diajukan. Mungkin sama penting dengan kata sambungan 'ke'. Aku pernah ditegur oleh Pak Seno (Gumira Ajidarma) seorang penulis dari Indonesia, kerana hanya menjawab "pergi hospital" apabila ditanya kenapa aku lewat tiba. "Mana KE kamu?" tanyanya.

Tapi tak sepedih bila diceramah oleh Pak Samad ketika majlis makan malam SUARAM, kerana keseluruhan acara tersebut dijalankan di dalam bahasa Inggeris. "Kenapa nak guna bahasa Inggeris hanya kerana ada 2 orang putih dalam majlis ini?" Ok itu cerita lain. Yang itu, memang padan dengan muka aku.

Aku juga pernah ditegur oleh si dia kerana kata "minum sup" dan bukannya "hirup sup". Apa beza?


Percubaan mengambil hati selepas diceramah

Tiada kata secantik bahasa. Yang indah itu bahasa. Orang berbudi kita berbahasa. Kesimpulannya, kalau tak mampu berbudi, kita berbahasa-lah. Jadi kalau tak reti berbahasa, haruslah kita berbudi. Tak tau penjodoh bilangan untuk cekak pon takpe.

Eh, betul ke maksud peribahasa tu?




Peguam dan Demo

Semalam, lebih 100 peguam telah sekali lagi berkumpul di hadapan Ibupejabat Polis Bukit Aman untuk menunjukkan bantahan terhadap salahlaku polis terhadap peguam yang sedang menjalankan tugas (bukan aku).

Peguam tersebut telah dikasari oleh pihak polis dan ditahan sementara ketika beliau berkeras mahu berjumpa anakguamnya yang ditahan oleh pihak polis.

Kronologi peristiwa adalah seperti di bawah:-

a. Peguam tersebut, saudara Amer Hamzah Arshad telah berjaya mendapatkan kebenaran Mahkamah untuk membebaskan anakguamnya melalui ikat jamin untuk pertuduhan memiliki dadah (yang dinafikan).

b. Ketika hendak membayar wang ikat jamin di kaunter Mahkamah, saudara Amer dan anakguamnya didekati kira-kira 10 orang polis berpakaian biasa yang mahu anak guam saudara Amer pergi bersama mereka.

c. Saudara Amer terus menuntut polis-polis tersebut menunjukkan kad pengenalan polis dan kad kuasa tetapi tidak diendahkan. Kata mereka, mereka bertindak di bawah Akta (Pengawalan) Dadah Berbahaya atau dalam erti kata lain, undang-undang tahan tanpa bicara.

d. 2 orang daripada polis-polis tersebut telah menarik dan menolak saudara Amer secara paksa dan menahan saudara Amer sehingga anak guamnya berjaya dibawa oleh mereka walaupun saudara Amer beberapa kali menyuruh mereka supaya tidak menyentuh beliau. Anak guamnya kemudian telah dibawa ke tempat yang tidak diketahui sehingga sekarang.

Sekumpulan peguam yang mendapat tahu akan perkara ini telah naik angin dan menderaf sebuah Memorandum untuk diserahkan kepada Ketua Polis Negara. Ini adalah kerana kekerasan dan sikap kurang ajar yang digunakan oleh polis terhadap saudara Amer yang sedang menjalankan tugas untuk anakguamnya tidak boleh ditolak ansur.

Kedua, para peguam melalui resolusi Majlis Peguam telah menolak segala jenis undang-undang yang melibatkan tahan tanpa bicara kerana ia adalah bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia. Malangnya, kaedah inilah yang suka digunakan oleh polis kerana mereka malas. Tahan tanpa bicara membolehkan polis menangkap dan menahan orang tanpa bahan bukti kerana mereka tidak perlu dibicarakan di Mahkamah. Kalau mereka rasa nak tangkap, mereka akan tangkap.

Antara isi kandungan Memorandum tersebut ialah:-

a. menuntut supaya polis-polis yang terlibat dikenakan tindakan;

b. mengakujanji tidak akan menghalang peguam daripada menjalankan tugas di masa hadapan;

c. menghentikan serta merta amalan lazim polis yang suka menangkap orang di bawah Akta yang melibatkan tahan tanpa bicara di luar Mahkamah selepas Mahkamah membenarkan kebebasan dengan ikat jamin;

d. memohon maaf secara terbuka kepada semua yang terlibat; dan

e. mengakujanji untuk menghormati hak orang ramai supaya boleh mendapatkan bantuan guaman pada bila-bila masa, seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.


Loyar sekarang dah pandai berkain rentang


Saudara Amer, mangsa salahlaku polis


Sebahagian yang hadir ( oleh Sherrie)





Sebahagian yang hadir (oleh Sherrie)

Walaupun ramai orang yang ragu-ragu dengan keberkesanan menghantar Memorandum, tetapi bagi kami, ini adalah satu cara untuk memberi isyarat kepada polis-polis yang bagak itu supaya jangan suka melayan dan menindas orang sesukahati mereka kerana ramai di luar sana yang tidakberpuas hati dan memerhatikan tindak tanduk mereka.

Masanya akan tiba juga, tunggulah.