Bebas yang Tidak Bebas

Malam tadi aku ke majlis pelancaran album Meor, Dari Rakyat Untuk Rakyat di Keramat. Akibat kesejukan di dalam dewan, aku ke luar sebentar berbual-bual dengan kartunis Zunar. Tiba-tiba, aku ternampak Kak Laila yang juga keluar dewan. Kami saling berpelukan dan aku sempat mengucapkan tahniah kepadanya.

Dah lama aku tak berjumpa dengan Kak Laila, iaitu sejak suaminya, saudara Mat Sah dibebaskan daripada Kem Kamunting kira-kira 2 bulan yang lalu. Mat Sah telah ditahan selama lebih 7 tahun di bawah ISA.

Rupa Kak Laila sangat berseri-seri. Aku teringat dulu-dulu, setiap kali ada berita pembebasan tahanan ISA yang bukan suami beliau, aku takut gila nak berdepan dengan Kak Laila sebab tak tahu nak beri reaksi yang macam mana.

Tapi Kak Laila kuat. Beliau terus berjuang. Aku juga kagum dengan saudara Mat Sah yang tidak pernah menegah Kak Laila daripada aktif bersama GMI walaupun beliau masih di dalam tahanan. Mereka tidak akan berkompromi dengan prinsip.

Kak Laila beritahu aku bahawa beliau perlu pulang awal kerana Mat Sah diberi perintah berkurung di dalam rumah selepas pukul 9 malam setiap hari. Hmm... Beliau juga beritahu aku bahawa saudara Mat Sah kini rajin mengumpul gambar-gambar gerakan, dan salah satu daripadanya terselit gambar aku yang ditangkap ketika perhimpunan 1hb Ogos yang lalu.

Aku beritahu Kak Laila, aku nak berjumpa dengan saudara Mat Sah, nak tanya khabar kerana aku belum berkesempatan bertemu dengan beliau sejak beliau dibebaskan. Kak Laila bawa aku ke pintu pagar, kerana suaminya sedang menunggunya di sana. Aku juga bawa sekali Murnie dan Syuhaini, 2 orang peguam muda yang juga ada kesedaran anti-tahan tanpa bicara.

Daripada cerita-cerita Kak Laila, aku dapat tahu bahawa Mat Sah dan ahli keluarga kini sedang cuba menyesuaikan diri masing-masing, kerana 7 tahun bukannya tempoh yang sekejap. Saudara Mat Sah juga sudah punya belog. Aku harap mereka hidup gembira dan aman sehingga ke akhir hayat.

MANSUHKAN ISA!
BEBASKAN SEMUA TAHANAN!


Sempat bergambar bersama Kak Laila dan saudara Mat Sah

0 komen: