Antara Pilihan Hidup, Politik Luar Bandar dan Filem Karaoke



Dalam hidup, kita akan diberi banyak pilihan. Tapi yang menarik, pilihan tu kadang-kadang bukannya pilihan sendiri. Cuba baca betul-betul. Kita DIBERI banyak pilihan. Maknanya, pilihan yang kita ada, bukannya datang dari kehendak kita. Kita telah dipaksa untuk memilih daripada beberapa jenis pilihan yang orang lain dah pilih siap-siap untuk kita. Itulah kekuatan makroekonomi. Komersil. Kapitalisme.

Selalunya, orang-orang yang memilih untuk menjadikan perkara-perkara di atas sebagai cara hidup dan ideologi, dikatakan sebagai orang yang maju. Maju, atas niat hendak membangun diri, bangsa dan negara. Konon. Belajar kena tinggi-tinggi. Lepas tamat sekolah menengah mesti masuk universiti. Lepas tu kena kerja kolar putih. Tinggal di tengah-tengah bandar atau sub-urban. Beli kereta dan rumah besar (batu). Letak pokok bunga banyak-banyak dalam rumah. Bunga plastik.

Kita sangat jarang dengar, orang yang lepas belajar tinggi-tinggi, nak balik kampung dan beranak pinak di sana. Lebih-lebih lagi kampung yang takde apa-apa sangat. Estet atau ladang kelapa sawit. Permainan yang ada cuma jentera dan mesin arwah bapa yang dah rosak. Awek dahi licin pon ada sorang dua je.

Tapi bukan Betik.

Betik ialah nama watak utama di dalam filem Karaoke arahan Chris Chong Chan Fui.

Pertama kali aku dengar tentang filem ini, ialah bila ia diterbangkan dan ditayangkan di Festival Filem Cannes beberapa bulan yang lepas. Waktu tu aku fikir bahawa ia hanyalah salah satu daripada filem-filem artistik lain yang aku tak akan faham bila menonton.

Sinopsis filem ini berbunyi lebih kurang begini:-

Betik, budak lelaki umur awal/pertengahan 20an baru pulang ke kampung halamannya di pedalaman ladang kelapa sawit dari Kuala Lumpur. Tapi tujuannya bukan untuk menziarah. Betik mahu menetap terus di kampung itu. Bapa Betik dah meninggal beberapa tahun sebelum kepulangannya. Tinggal ibunya seorang. Barangkali sebab dah biasa tinggal seorang, kepulangan Betik buat ibunya rasa kekok, sebab tiba-tiba ada lelaki dalam rumah. Ibu Betik menguruskan sebuah pusat karaoke peninggalan arwah suaminya. Pusat karaoke ni, tak payahlah kau bayangkan macam yang di KL. Satu-dua kotak tv, lagu-lagu karaoke, lampu liplap dan air oren, cukuplah tu. Yang datang bertandang pon penduduk2 berhampiran, iaitu pekerja-pekerja estet dan orang-orang kampung. Pak Su, adik arwah bapa Betik yang membantunya menguruskan pusat itu. Pak Su banyak buat kerja 'freelance'. Satu hari kenalannya beritahu ada syarikat penerbitan filem nak bikin klip video karaoke di kampungnya. Nak guna alam semulajadinya. Jadi dia memohon untuk jadi 'crew'. Pak Su tarik Betik sekali.


Pak Su (Mohd Hariry) dan Betik (Zahiril Adzim)

Maka bermulalah kehidupan Betik di kampung itu sebagai pembantu pengurus pusat karaoke pada sebelah malam, dan budak suruhan pembikin klip video pada waktu siang yang tiba-tiba diangkat menjadi pelakon utama video karaoke selepas model yang sepatutnya melakonkan watak tu, tak datang. Satu jadual yang agak sibuk untuk budak yang punggungnya belum panas lagi di kampung itu. Tapi dalam sibuk-sibuknya, Betik sempat mengayat seorang gadis bernama Anisah. Anisah ni selalu digunakan oleh abang Anisah sebagai alasan untuk keluar rumah dan berkaraoke. Jadi bila abangnya sibuk menyanyi, Anisah habiskan masa berborak dengan Betik. Mula-mula borak tentang latar belakang. Lepas tu keadaan semasa. Lepas tu masa depan.


Anisah (Nadiyatul Nisaa) dan abangnya (Amerul Affendi)

Bunyinya seolah-olah Betik punya kehidupan yang hampir sempurna. Kampung halaman, kerja, cinta. Dan sempat pula menyimpan cita-cita. Tapi, tak lama. Sebab selepas beberapa ketika, baru Betik perasan yang kampung halamannya tu dah tak sama macam dulu. Orang-orangnya pun dah tak sama macam dulu, dari segi batin. Betik tak faham. Tambah tak faham bila ibu Betik beritahunya yang dia nak jual pusat karaoke tu dan pindah ke tempat lain.

Dari 'presskit' yang aku terima, kelihatan seolah-olah pengarahnya mahu mengajak kita menyelami kerenggangan hubungan di antara setiap watak. Tentang kemusnahan alam semulajadi. Tentang ilusi dan realiti.


Tapi BUKAN itu yang aku nampak.


Watak ibu Betik... lakonan Mislina Mustaffa



Watak ibu Betik adalah seorang perempuan yang tegas dan berdikari. Dia tak bergantung pada orang lain untuk menguruskan pusat karaoke peninggalan arwah suaminya. Dan bila dia rasa dah tak larat, dia jual dan mulakan hidup baru. Habis cerita. Tapi konflik datang dalam bentuk lain. Betik cuba tegah dia jual pusat karaoke tu. Katanya, "Betik pun ada hak". (Heloo.. kau dah la tak balik masa bapak kau mati, jenazah harap Pak Su kau yang uruskan, sekarang ni nak bicara tentang hak?)

Bicara tentang hak.

Sebagai seorang peguam, sudah tentulah aku akan memilih tentang konsep penentuan hakmilik, yang mana samada seseorang itu mempunyai kuasa untuk memindahmilik harta yang dipertikai kepada pihak ketiga atau tidak. Dalam isu ini, memang Betik ada hak. Tapi, dari segi rasional dan keadilan, Betik tak patut bicara tentang hak dengan ibunya, kerana Betik tak pernah mengusahakan pusat dan tanah itu sepertimana ibunya mengerjakannya.

Babak yang aku rasa menarik yang melibatkan watak ibu dan anak ni ialah bila Betik selepas menukar baju tidurnya dan duduk di atas lantai menghadap ibunya. Ibu Betik terus ambil sehelai cadar dan gantung ke pintu tak berpenghadang tu, untuk memisahkan mereka berdua. Waktu tu aku tak pasti, samada ibu Betik mahu memisahkan Betik dari dirinya, atau ibu Betik mahu memisahkan dirinya dari Betik.

Watak Betik, buat aku lemas. Dia ialah lelaki kampung tipikal yang baru pulang dari bandar, dan rasa boleh buat semua. Nak majukan pusat karaoke. Nak buat itu ini. Tapi, kelihatan seolah-olah dia hilang punca di tengah-tengah percubaannya. Paling kesian bila tak seorang pun saudara terdekatnya, termasuk ibunya yang nak dengar rancangan hebatnya untuk pusat karaoke. Jadi dia terpaksa meluahkan perasaan pada Anisah yang baru dikenali. Malangnya, Anisah bukan jenis yang sabar. Lama-lama Anisah rasa Betik ni jenis cakap je pandai, tapi tak buat. Jadi Anisah mula jauhkan dirinya dari Betik.

Bagi sebuah filem yang berdurasi lebih kurang 75 minit, aku rasa filem Karaoke mengambil masa yang terlalu panjang untuk memperkenalkan penontonnya kepada alam sekitar, estet dan ladang kelapa sawit serta permasalahan2nya. Walaupun ia tidak dibincangkan secara langsung di dalam filem ini, kita boleh lihat kesan pembangunan tak terancang apabila terdapat pokok-pokok kelapa sawit yang telah tua dan mati, yang dibiarkan begitu sahaja tanpa ditanam pokok yang baru. Juga ada babak di mana seorang lelaki meminta jasabaik sekumpulan lelaki menangguhkan masa mereka bermain bola sepak di padang, bagi memberi ruang kepada lembu-lembunya untuk makan rumput di padang itu. Tempat lain, rumput dah tak ada.

Ini mengingatkan aku tentang kawasan-kawasan sistem pembangunan tanah.

Di kawasan-kawasan sistem pembangunan tanah seperti FELDA, RISDA, hatta tanah rezab sekalipun, memang banyak terdapat masalah-masalah sebegini. Tanah-tanah ni diberi oleh kerajaan, tapi kemudian mereka serahkan bulat-bulat pada penduduk bagaimana untuk mengerjakannya. Yang mereka tahu, hujung bulan pegi kutip sewa. Bukan sahaja sewa hasil pertanian, tapi rumah yang didirikan atas tanah tu pun kena dibayar sewanya. Sewa yang sepatutnya sewa beli, lama-lama jadi sewa hutang. Tanah dah lama berbayar, tapi bertahun-tahun masih tak dapat geran (sekadar menyuarakan perasaan beberapa orang penduduk yang merasa ditindas). Penduduk tak diajar pun cara-cara untuk mengawal pembangunan. Atau untuk mengekalkan kehijauan. Lantak kaulah nak buat apa pun di tanah yang kami bagi tu, asal sewa dibayar, kata mereka. Lebih teruk kalau ada penyelewengan. Tender pembangunan diagihkan kepada kroni-kroni. Penduduk cuma mampu gigit jari. Tak ada apa-apa lagi yang tinggal untuk generasi kedua (orang muda).

Dulu-dulu aku pernah terbaca tentang isu ketidakpuasan hati penduduk FELDA. Kerajaan telah memaksa mereka melibatkan diri dalam program tanam semula getah dan kelapa sawit, tapi ia mesti di bawah pengurusan FELDA dan tidak boleh dibuat secara persendirian. Jadi mereka terus berhutang dengan FELDA. Geran tak dapat-dapat. Jadi mungkin sebab itu dah ada yang jadi malas atau berputus asa, dibiarkan saja pokok-pokok yang tua, mati. Tak tanam yang baru pun tak apa. Tak ada bezanya.

Kembali pada filem Karaoke.

Melihat daripada cara orang-orang muda di kampung Betik menghabiskan masa lapang mereka, aku terasa sangat yang mereka ni memang terpisah dari dunia luar. Mereka tak duduk depan komputer untuk berinternet dan baca belog atau main Farmville di Facebook. Satu-satunya hiburan yang mereka ada ialah bersukan cara kampung atau berkaraoke. Sekali sekala orang luar datang buat bisnes, mereka boleh cari duit lebih.

Hal ini mengingatkan aku tentang beberapa siri mesyuarat yang aku hadiri sebelum aku menonton filem Karaoke. Ada seorang ahli mesyuarat yang mencadangkan supaya dibuat satu belog dan laman web untuk menyebarkan pengetahuan politik dan isu semasa khusus untuk generasi muda di luar bandar. Tiba-tiba, pakcik yang duduk di sebelah aku ketawa. Katanya, belog-belog tu semua permainan orang bandar. Orang-orang muda di kawasan pendalaman, lepas habis sekolah pegi cari kerja di kilang-kilang atau bandar, tak pun kahwin. Hanya yang bernasib baik akan sambung belajar di bandar. Mana ada masa nak berinternet. Kalau ada masa pon, mereka takkan nak baca belog-belog yang penuh propaganda. Baca pasal gossip artis lagi best.

Sekarang aku percaya cakap pakcik tu.

Salah satu masalah bila kita nak berkempen di kawasan luar bandar di pedalaman ialah, mereka sangat susah nak mengubah mentaliti dan benda-benda yang dah sedia ada. Sebab tu, kalau nak pastikan mereka mengundi calon yang kita nak mereka undi, kalau boleh bawa lambang parti tu sekali. Tunjuk pada mereka, terutamanya generasi pertama. Mereka biasanya akan pangkah lambang yang mereka dah selalu pangkah. Mereka tak kenal lambang lain. Mereka tak tahu apa-apa pasal kisah di sebalik lambang yang mereka biasa pangkah tu. Pada mereka, lambang itulah kerajaan. Kata seorang nenek, "kalau lambang tu kalah, nanti kita tak ada kerajaan" (tak, aku tak buat lawak).

Hal di atas buat aku mengeluh, betapa susahnya nak bawa perubahan pada sesetengah orang.

Sebab tu aku terkejut bila ibu Betik kata dia nak berhijrah.

Dari sudut lakonan, aku lihat semua pelakon agak kekok berinteraksi sesama sendiri. Tapi menurut mereka, hal itu memang disengajakan oleh pengarah yang tidak mahu mereka menjadi rapat walaupun di luar filem sepanjang pembikinan. Maka kau boleh rasa jurang di antara mereka. Dan itulah niatnya.

Betik yang selama ini berada di KL, balik ke kampung dan masih berasa yang dia ialah sebahagian daripada kampung itu. Tapi hakikatnya tidak. Kampung itu seolah-olah tak peduli tentang Betik dan 'move on' walaupun tanpa Betik. Betik yang telah ketinggalan berasa tersisih. Bila berjalan-jalan di kampung pun, dia rasa sudah banyak yang berubah.

Perubahan fizikal tanpa kebajikan sosial tu kan memang 'kepakaran' kita.

Tapi kadang-kadang, pemikiran 'tak kisah' atau 'peduli apa aku' itu ada baiknya. Pergi kerja, balik kerja, bila rasa nak berhibur pergi pusat karaoke. Ada satu babak di mana seorang gadis keturunan India memilih untuk menyanyikan lagu nasyid, dan pengunjung-pengunjung pusat karaoke tersebut menyanyi bersama gadis tersebut sambil kepala digoyang ke kiri dan kanan sebagai tanda solidariti. Tiada kata-kata sinis seperti "lu ni nak masuk Melayu ka" atau "berani kau menghina agama kami" dari sesiapa. Ringkas. Ini kerana mereka tahu, sebaik sahaja lagu habis dinyanyikan dan mereka keluar dari pusat karaoke, mereka akan kembali ke alam realiti dan tidak ada apa-apa yang akan berubah.

Melihat pada jalan cerita, aku akur akan hakikat bahawa setiap kejadian itu memang ada ceritanya. Sama macam karaokelah. Di sebalik pembikinan klip-klip videonya, pasti ada cerita. Dan tak semua cerita itu indah dan sama. Bergantung pada interpretasi setiap oranglah.

Filem ini untuk genrenya adalah okay, cuma aku agak terkilan kerana aku hanya memahami keseluruhan isi kandungan selepas sesi sosal jawab dengan para pelakonnya, bukan sebaik sahaja cerita itu tamat.

Dan entah kenapa, selepas menonton, memikir dan merenung, aku rasa wajib pula aku letak puisi/balada saudara Fared Ayam anak peneroka FELDA sebagai penutup catatan aku kali ni

Balada Generasi Kedua

di sini
di tanah ini
yang kononnya dirancang
yang kononnya dibangunkan
atas nama ekonomi untuk bangsa
aku melihat anak anak muda
berkaraoke di tengahari di bulan puasa
aku melihat anak anak dara
beranak tiga di usia dua puluh dua
aku melihat adik adik remaja
melepak kosong di simpang tiga

di tanah bukit bukit lembah, jalan merah berbatuan kecil inilah
pokok pokok berakar tunjang kau tumbangkan
parit parit kau timbus, kau kering kontangkan
paya gersang berketak ketak hilang lembapan

di tanah gembur dan liat ini
yang dikatakan terhasilnya antara sumber utama ekonomi negara
aku melihat bayan dan punai
hilang tempat hinggapan
babi hutan hilang tempat berkubang
bujuk dan haruan hilang lubuk bersemayam
biawak mati bergelimpangan di tengah jalan

di sini
di lembaga kemajuan tanah persekutuan
kalau ini yang kau katakan ekonomi pembangunan
kalau ini yang kau katakan punca pendapatan
kalau ini yang kau katakan sebuah ' rancangan'
maka aku lebih rela jadi manusia gelandangan
yang tak pernah terancangkan

kembalikan kesemulajadian
atau akan aku mulakan hasutan!!


Filem Karaoke akan mula ditayangkan pada 26hb November 2009.



*Gambar-gambar oleh Danny Lim

14 komen:

binjidan berkata...

aku dapat rasakan jaman aku duk kampung dlu...best

Tanpa Nama berkata...

Panjangnya review kau!

Aku ada beberapa persoalan:

1. Kenapa bapak dia nama kan dia Betik? Tak ada nama lain yang lebih sedap macam Faisal ke?

2. Pelik ke bila orang kampung balik kampung? Biarlah diorang. Ramai apa member aku balik kg bila gagal dapat kerja bagus. Lagi pun, aku yg galakkan mereka balik. Dahlah bandar ni sesak, tambah lagi dgn orang2 kg yang datang. Kalau org kg nak kerja bandar, orang bandar yg tak ada kg nak pergi mana?

3. Antara Mislina, Zahiril Adzim, Amerul, Hariry, Nadia...mana paling poyo?

Tanpa Nama berkata...

orang soh wat review ko masuk skali ngan agenda propaganda ko.haha sememangnya ko seorang puspa la puspa =)

nway, it was gud..mungkin aku akan p tgk wlpn aku rasa bla baca review ko takda isu baru pon yg cuba d ketengahkan dlm filem ni. or mungkin bley dkatakan isu lama yg tak pernah di timbulkan sblm ni ie; org kg mmg tanak terima perubahan..dorang selesa dok kat takuk lama slagi bley bernafas dan tak mati kebuluran...hmmm lama kesan jajahan British sial ni pada bangsa kta rupanya.

aku akan p tgk ntok tau apa si Betik tu sbg model generasi muda yg terpelajar dgn smgt berkobar2 yg dia ada akan deal ngan isu ni..bcoz tt seems to reflect our Malaysian youth today as well am i aite...aku tanak speculate, tp camtau ja ending dia cana..haha.

OrangGilak berkata...

binjidan: kg ko kat ner?
acai: 1. mungkin masa dia lahir, dia bujur macam betik. 2. tak pelik. tapi cara pembawakan tu. orang kg pg bandar bawa sijil, cari kerja. si betik ni balik kg bawa badan je. dia expect kg dia dah sediakan semua untuk dia. 3. Faisal Mustaffa
tanpanama: persoalannya bukan org kg tanak terima perubahan, tapi bagaimana mereka menangani perubahan.

Tanpa Nama berkata...

Hoi! Kau ni tak amik SRP ke? Kau jawab soalan ikut lah multiple choice. Nama aku mana ada?

Nikeda berkata...

1. sgt pjg review ni smpi beberapa kali aku rasa tanak terus baca
2. aku sedikit setuju dgn tanpa nama bahawa penduduk kg. mmg agak takut atau tak selesa dgn perubahan tp aku tak setuju klu british masih dipersalahkan setelah sekian lama. mmg diorg pernah "jatuhkan" kita dulu, tapi bila jatuh dan org yg tolak kita dah pergi, kenapa kita masih duduk atas tanah? bangunlah... jgn sebab kita takut atau malas nak bangun, kita masih salahkan org yg tolak kita dulu utk justify...
3. lgpun, pd pendapat aku ada pihak yg bertopengkan "british" yg hendak kekalkan keadaan rakyat yg "selesa dgn keadaan cukup makan" supaya senang dimanipulasikan dan dipergunakan. dalam erti kata lain, org2 ni lah yg sibuk mempropagandakan bahawa buat apa bgn klu nnt2 kita akan jatuh balik? baik duk diam2 kat sini. kita bg lah apa awk nak asal awk bg apa kita nak"
4. psl citer karaoke, aku rasa klu aku tgk, aku pun tak paham jugak dan akan rasa bosan sbb bukan citer antu..

amicus curiae berkata...

tukarlah dengan nama apa pun, sewa hutang tu mengingatkan aku kepada sistem feudal.

Petani-petani di India, dibiarkan hidup diladang,untuk mengerjakan tanaman. Tapi segalanya hutang; dan akhirnya mereka jarang punya apa-apa.

Tapi selalunya hubungan mereka dengan tuan tanah sangat baik,tuan tanah tidak melayan mereka macam hamba, tapi disinilah ironinya.Kenapa mereka bermanis muka dengan orang-orang yang dibuli?

Oh ye. Aku faham perasaan Betik. Muda, baru pulang dari tamadun, pulang ke kampung.Everything revolves around him. Dia lah hero. Dia lah segalanya. Walhal semua orang pun ada paksi sendiri.

OrangGilak berkata...

acai: aku tak amik SRP. aku dak PMR
nik: lenkali ajak la aku tgk crita antu. sob.
amicus: terima kasih. saya sgt enjoy baca belog anda tentang pengembaraan di india. nampaknya di mana2 pon sama saja...

zatulitri berkata...

puspa...pnjgnya entri ko!!! haha komen gak ni kan;P

Tanpa Nama berkata...

tulakan, sbb cerita ni kot, aku akan balik kampung uashakan tanah..

sebab review kau tau!
haha

fiq

danny berkata...

Bila aku balik, M'sia akan 'move on' ke? Aku rasa tidak.

Tanpa Nama berkata...

Makcik, aku tengok filem ni dengan kau. aku sokong sokmo anak-anak Malaysia menghasilkan karya seni. apalagi bila karya mereka diiktiraf di pesta filem luar negara. memang bangga.

aku juga suka filem yang membuat orang berfikir. tapi aku tak berapa minat filem yang buat aku berfikir sampai tak paham dan terus terpaksa duduk kedai kopi berbincang sampai paham.

secara ringkas, aku nak ucapkan tahniah kepada team Karaoke atas kejayaan mereka di pesta filem luar negara. walaubagaimanapun, aku rasa filem ni terlalu syok sendiri dan mungkin ada yang tak akan paham sangat isu sebenar.

sampai hari ni, aku cuma paham komen Ayam. thanx Ayam.

OrangGilak berkata...

zaza: :p
fiq: pastikan tanah tu atas nama kau
danny: balik dulu la, pastu kita cerita. btw gambar2 ni cantik~
juana: heh. tu la pasal. 3 jam borak tu baru faham.

Kongkek N Go berkata...

siapa ayam?
kacak tak?
tsk.. tsk..