people

Ingatkan Dah Nak Habis

Wah malam tadi 4 orang saksi sekaligus dapat dihabiskan. OCPD Headhunter, Sarjan Kamaruddin, Murnie dan Ravin (yang bertongkat sebab eksiden motor).

Agak kelakar kerana polis-polis tersebut (Headhunter dan Kamaruddin) boleh buat-buat lupa peristiwa malam kejadian... Headhunter kata dia tak jumpa mana-mana loyar malam tu dan tak bercakap dengan sesiapa, padahal Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan siap kena maki dan kena halau lagi dengan dia malam tu sampai En. Ragu tu buat keterangan terhadapnya.

Kamaruddin pun sama... kata yang dia tak pernah bercakap denga kami dan tak pernah nampak kami. Padahal dia yang jaga pintu pagar balai malam tu dan semua gambar2 kami yang sb amik, semua ada dia sekali. Cit.

Btw oleh kerana 4 saksi dapat dihabiskan, tarikh pendengaran pada malam esok dan lusa telah dilapangkan dan ditangguhkan kepada malam Khamis pukul 8.

Jumpa di sana :)


Ini lakaran lokasi kejadian oleh Fadiah, yang telah ditandakan sebagai eksibit 10

Hampir Habis

Pendengaran siasatan awam SUHAKAM berkenaan penangkapan 5 orang peguam pada Mei lalu hampir sampai ke penghujung. SUHAKAM telah menetapkan 3 malam berturut-turut, (ya, malam bukan siang) mulai daripada hari ini sehingga Rabu untuk mendengar kesemua keterangan saksi-saksi yang tinggal.

Malam ni giliran OCPD Headhunter untuk disoal balas oleh loyarku yang terer, Puravalen (semalam tak habis soal).

Maka marilah datang (kalau rajin) ke bangunan SUHAKAM (tingkat 29 Menara Tun Razak) malam ini, malam esok dan malam lusa pukul 8 hingga 11 malam.


Bersama Puravalen, loyar yang terer
(gambar oleh Sherrie)

Tak Habis-habis

Hari ini ialah sambungan pendengaran di SUHAKAM ekoran penangkapan 5 orang peguam di hadapan balai polis Brickfields pada Mei tahun lalu. Pendengaran untuk kali yang keberapa entah... aku pun tak ingat. Tapi ia hampir tamat, dan akan ditamatkan dengan beberapa saksi-saksi penting seperti peguam-peguam yang ditangkap, DSP Jude, dan OCPD Headhunter (bagi yang tak tahu cerita, sila klik sini).

Keterangan daripada DSP Jude sangat kelakar. Katanya, beliau tidak pasti samada kami ialah peguam, kerana kami nampak sangat MUDA seperti BUDAK BARU HABIS KOLEJ, dan kami ialah PEREMPUAN. Kesimpulannya, budak perempuan yang baru habis kolej tak mungkin menjadi seorang peguam. Tsk3x.

Sebelum ini, beliau pernah memberi keterangan bahawa kami nampak mengancam keselamatan dan membahayakan. Balai polis perlu dilindungi, kalau tak nanti ada rampasan kuasa. Maklumlah di balai polis kan banyak senjata. Keterangan beliau disambut oleh ketawa mengekek daripada Pesuruhjaya SUHAKAM Dato' Daneson Jayasooria dan Dato' Michael Yeoh yang berkata "kamu rasa budak-budak kecik dan kurus ni mengancam keselamatan negara dan boleh merampas balai polis? Mereka hanya 5 orang dan kamu lebih daripada 50 orang!". Padan muka.

Ada banyak lagi perkara kelakar yang berlaku sepanjang pendengaran. Nak cerita semua memang tak akan habis. Esok, OCPD Headhunter yang suka mengira sehingga 10 sebelum tangkap orang itu akan memberi keterangan dan akan disoal balas oleh peguam kami Encik Puravalen yang terer. Tadi pun Headhunter datang, dan kami telah menyambut beliau dengan memakai t-shirt Headhunter yang Andrew Khoo belikan dari Sarawak. Padan muka dia.

Datanglah, pendengaran adalah terbuka kepada umum.

Tempat: SUHAKAM, tingkat 29, Menara Tun Razak
Waktu: 9 pagi hingga tengahari/petang
Tarikh: 7hb Feb (Ahad)


OCPD Headhunter memberikan keterangan



T-shirt Headhunter yang kami pakai

Teater Tanda

Korang bosan? mahukan kelainan dalam kehidupan korang? Ada RM30? Meh tengok ni:-



Kata Ayam, teater Tanda ni ada 6 cerita yang bersangkut paut oleh 6 pengarah, semuanya tentang tanda-tanda kecil kemusnahan alam.

Aku cadang nak pergi hari Khamis punya. Sebab hari lain aku sibuk. Atau mungkin buat-buat sibuk, atau mungkin sengaja nak jadi penyibuk. Tapi korang peduli apa kan?

Jum.

Polis, Undang-undang dan Hak Asasi

Satu lagi artikel untuk merdekareview:-


"...permintaan daripada Inspektor tersebut adalah keterlaluan dan tidak masuk akal. Kebanyakan mahasiswa yang ditahan bukan berasal daripada Kuala Lumpur. Adakah polis sengaja hendak menyusahkan mereka, sedangkan tidak ada peruntukan di dalam mana-mana undang-undang pun bahawa ibu bapa wajib datang ke balai untuk menjamin anak yang sudah cukup umurnya?

Pegawai Inspektor tersebut juga bersikap dingin ketika kami para peguam meminta untuk dibenarkan berjumpa dengan anak guam. Katanya "tak boleh, saya masih menyiasat". Dengan penuh sabar kami bertanya kepada beliau atas dasar apakah permintaan kami ditolak dan Inspektor itu hanya menjawab "pergi periksa undang-undang".

Yang itu memang benar-benar menguji tahap kesabaran saya, kerana itu bukan pertama kali saya rasa diperbodohkan oleh polis. Di dalam Kanun Prosedur Jenayah, terdapat beberapa keadaan di mana hak anak guam untuk berjumpa dengan peguamnya boleh dinafikan, tetapi ia hanya boleh dilakukan oleh seorang pegawai polis berpangkat DSP ke atas atau di atas arahan DSP ke atas, bukan Inspektor...".

Nak baca yang selebihnya, sila klik sini.

Akhirnya Januari Itu Tamat

"Puspa, belog kau dah bersawang" kata Kulup Sakah kepada aku minggu lepas. Aku tau, aku tau. Tapi apa nak buat.

Hari ini aku demam. Buat masa sekarang, demam ialah alasan terbaik untuk aku mengemaskini belog dan lain-lain penulisan yang aku hutang dengan banyak orang. Kalau aku tak demam, aku tak akan berada di rumah. Kerja, kerja, kerja.

"Banyak sangat kah kerja peguam?" Tanya seorang kenalan rapat aku yang nampaknya tak berpuas hati apabila aku selalu sangat menolak pelawaannya untuk berlibur.

Tak, tak banyak sangat sebenarnya. Tak banyak sangat kalau aku hanya menjadi seorang peguam.

Bulan ini aku asyik terkejar ke sana ke mari kerana perkara yang selain daripada kerja makan gaji. Kerja makan gaji tu tak usahlah cakap, bulan ni hari-hari pergi Mahkamah. Akibatnya aku kena ganti masa yang terbuang di Mahkamah dengan kerja sehingga lewat malam di ofis. Kenapa? Kerana 2 daripada kami telah mengambil keputusan untuk keluar daripada firma dan membuka firma mereka sendiri. Baguslah. Tapi lebih bagus kalau tak menyusahkan orang.

Selain daripada itu? Januari bermula dengan pendengaran SUHAKAM yang tak habis-habis. OCPD Head Hunter 'sakit' tak sudah-sudah. Mula2 sakit jantung. Lepas tu sakit kaki. Kali ketiga migrain pulak.

Lepas tu cerita adik-adik mahasiswa kita yang tak habis-habis ditindas dan dinafikan hak kebebasan pilihanraya kampus mereka. Akhirnya mereka bangun menentang. Demonstrasi dan kempen. Hantar memorandum pun kena tangkap. Edar risalah pon kena juga. Bertanding secara elok, dilucutkan kemenangan. Akhirnya, mereka tawan bangunan pentadbiran universiti. Kena tangkap tu dah jadi perkara biasa. Takpelah Kak Puspa kan ada.

Kisah polis menggunakan pistol sewenang-wenang pon banyak juga. Seorang budak lelaki mati ditembak di dada. Seorang wanita ditembak 4 kali, hanya kerana disyaki menaiki kereta curi. Tapi akhirnya didakwa kerana "percubaan membunuh". Siapa yang cuba bunuh siapa ni? 2 hari lepas kami buat sidang media untuk beliau. Semalam, wanita itu sudah tidak dapat dihubungi sejak tengahari. Abang Suren dan aku cuak. Kami ambil keputusan mencari beliau. Mana tahu kot2 ditangkap. Dari petang pukul 430 sehingga 1230 tengah malam. Aku mencemarkan kereta abang Suren dengan bersin dan bakteria selsema aku. Tiba-tiba wanita itu telefon. Bateri hpnya habis rupanya. Cisssssssss haaaachooom!

Seorang inspektor polis telah membuat laporan terhadap aku. Aku pon buat laporan polis terhadapnya. Isunya ialah aku bergaduh besar dengannya bila dia tak bagi aku memberi nasihat guaman kepada anak guam. Dan dia mengamuk bila anak guam aku jawab "saya nak menggunakan hak saya untuk tidak menjawab soalan ini". Heloooo anak guam aku law student okkayyy. Ada ke patut dia kata hanya nak bebaskan anak guam aku kalau ibubapanya yang tinggal di utara tu datang ke balai. Kau ingat mahasiswa tu budak bawah umur ke?

Isu Allah, isu kepala babi, kepala lembu. Aku rasa nak buat kenduri kari kepala ikan dan jemput semua orang makan. Hampir setiap hari aku kena stand-by dan ingatkan kawan2 peguam lain stand-by juga. Kami ada perasaan yang tangkapan boleh dibuat bila-bila masa. Adakalanya bila terdapat forum tentang isu-isu ni, kami akan datang dan duduk di belakang macam sb yang tak bergelang besi.

Isu politik, orang tu saman orang ni. Orang tu buat laporan polis terhadap orang ni. Kenapa aku pulak yang pening2 dengan isu-isu ni? Adalah.

Januari tinggal sehari. Peguam baru akan datang menyertai firma kami minggu depan. Kemungkinan besar bulan depan akan ada protes di hadapan Bukit Aman memprotes kekejaman dan salahguna kuasa polis. Adik-adik mahasiswa kita terus berjuang. Dan UMNO masih guna taktik basi iaitu isu agama untuk memesongkan perhatian rakyat daripada isu-isu negara yang lebih penting. Sama penting dengan enjin jet yang dah capai tahap besi buruk, tapi rupa-rupanya masih laku kalau dijual di negara-negara tertentu. Oooops.

Oh ya, terima kasih kepada bos aku yang baik hati yang bagi aku Blackberry (tak payah tunggu kena tangkap pastu minta kat daddy lagi hehehe).

Sekian.

Sila Baca

10hb Januari 2010

Kami mengecam serangan ke atas saudara kami penganut agama Kristian dan ke atas beberapa gereja di Malaysia. Serangan terbaru ke atas All Saints Church di Taiping juga merupakan satu serangan terhadap salah satu warisan negara.

Sebagai sebuah negara kita masih bergelut untuk menjunjung semangat perpaduan yang dicita-citakan oleh pejuang kemerdekaan negara ini. Saya menyeru agar kita semua akur dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama dan hak penganut agama-agama itu untuk menjaga hal ehwal agama mereka masing-masing. Ketika ini semangat musyawarah dan dialog mestilah mengatasi suara-suara mereka yang mahu memecah belahkan kerukunan rakyat serta meniup api permusuhan di negara ini.

Rakyat Malaysia mestilah bersatu menentang mereka yang mahu memperalatkan sentimem perkauman sempit dan agama untuk menyemarakkan kebencian demi laba politik puak-puak tertentu. Kita mestilah memperkukuh tekad mempertahan kebebasan beragama.

Kejadian ini merupakan satu ujian terhadap keazaman semua agama dan kepercayaan yang mahukan keamanan dan rasa saling hormat menghormati. Kita seharusnya sedar Tuhan yang kita sembah merupakan, Tuhan yang sama, Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Sejarah menunjukkan kepada kita selama 14 abad ini, Muslim yang bertutur dalam bahasa Arab, penganut Kristian dan bangsa Yahudi, masing-masing menyembah Tuhan yang dikenal sebagai Allah. Sementara diakui keresahan umat Islam di Malaysia terhadap penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut agama lainnya, tindakan seumpama menyerang gereja dan mengadakan protes hanya membantut usaha mencari penyelesaian. Jalan terbaik adalah melalui rundingan dan dialog antara agama.

Saya mengajak umat Islam untuk kembali kepada ayat al Quran yang menyeru kita untuk hidup dalam kerukunan dan saling mengenali di antara agama.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah. ” (Ali-Imran, 3:64)

Dan sepertimana yang termaktub di dalam surah al- Ankabut:

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri. (al-Ankabut, 29:46)

Nabi Isa al Masih merupakan antara Rasul Ulul Azmi yang begitu dikasihi umat Islam. Saidina Umar r.a yang melawati Gereja Holy Sepulcher pada tahun 638 masehi, menggesa umat Islam untuk menghormati tempat peribadatan dan suci penganut agama Kristian. Oleh itu adalah tidak munasabah apabila pihak Polis teragak-agak untuk memberi jaminan keselamatan kepada gereja-gereja di seluruh negara.

Api kebencian ini bolehlah ditudingkan kepada kegagalan Barisan Nasional yang diketuai Umno. Propaganda Umno yang berteraskan perkauman sempit terutamanya apabila berhadapan dengan isu penggunaan kalimah Allah serta retorika media yang dikongkong kerajaan, seperti Utusan Malaysia, yang meniupkan api kebencian, sewajarnya dipersalahkan berikutan dari serangan tersebut. Provokasi mereka bukan sahaja salah dari sudut undang-undang malah menzahirkan kempen 1Malaysia yang tidak tuntas serta bermuka-muka.

Walaubagaimanapun saya terharu dan gembira kerana serangan tersebut dikecam keras oleh organisasi Islam dan pimpinan umat. Saya juga menyambut baik saranan wakil-wakil penganut Kristian yang menyeru agar sentiasa bertenang dan menolak sebarang tindakan pembalasan serta keganasan.

Kejadian mutakhir ini menuntut kita agar segera memberi perhatian terhadap keperluan dialog antara agama. Semangat persaudaraan yang disarankan agama kita serta Perlembagaan Persekutuan perlu disemarakkan. Pakatan Rakyat akan berusaha memastikan dialog dan rundingan diadakan di semua peringkat seluruh negara. Saudara kita yang beragama Kristian perlu merasa selamat dan aman serta sedar bahawa kebebasan mereka untuk beragama adalah dijamin di negara ini.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang