Planet Puspa- Vietnam 2

Hari kedua di Vietnam- Oleh kerana masih belum biasa dengan waktu tempatan, aku rasa nak pergi mandi pukul 6 pagi tu adalah satu penyeksaan. Golek golek golek golek atas katil, pukul 730 baru kami berdua bersiap.

Kami merancang untuk menonton persembahan boneka air (Water Puppet Show) tapi persembahan pertama hanya bermula pukul 930 pagi. Jadi, kami lepak-lepak di taman tasik sambil makan coklat.

Taman tasik ini bukan taman tasik yang biasa, ini ialah Tasik Hoan Kiem (Pedang yang Dikembalikan).


Jambatan di dalam gambar digelar Jambatan Huc (matahari terbit) yang menyambungkan tepian tasik dengan sebuah 'pulau' kecil di tengah-tengah

Di tengah-tengah Tasik Hoan Kiem, terdapat sebuah kuil yang dinamakan kuil Ngoc Son. Untuk masuk ke kuil ini, bayaran ialah sebanyak VND3000.00. Kuil Ngoc Son dibina sebagai penghor, matan kepada Jeneral Tran Hung Dao, La To dan Van Xuong. Jeneral Tran Hung Dao pernah mengalahkan tentera Mongolia pada abad ke-13, manakala La To ialah seorang cendikiawan fizik dan Van Xuong seorang sarjana. Kawasan perkarangan kuil sangat cantik kerana ia dikelilingi oleh tasik dan pokok-pokok.


Layan blues

Di dalam kuil ini juga ditemui seekor penyu tembaga yang diletakkan di dalam kaca. Ia dikatakan menyerupai penyu yang pernah dijumpai di tasik ini. Penyu tu besar gila dan beratnya hampir 250kg!


Penyu yang besar gila

Kenapa agaknya penduduk Hanoi sangat taksub dengan penyu? Ini adalah kerana penyu yang besar gila itu ialah penyu ajaib. Ketika Vietnam sedang berperang dengan Mongolia, seekor penyu emas, yang dipercayai tuhan penyu telah meminjamkan pedang saktinya kepada maharaja Vietnam. Penyu tersebut membawa pedang tersebut di atas cengkerangnya. Selepas menang perang, maharaja telah mengembalikan semula pedang tersebut kepada penyu itu yang telah membawanya ke sebuah tasik, yang kini dikenali sebagai tasik Hoan Kiem (Pedang yang Dikembalikan). Sejak itu, penyu tersebut tidak kelihatan lagi. Akan tetapi terdapat beberapa kejadian di era milenium ini apabila terdapat beberapa orang yang mendakwa terjumpa penyu yang besar gila di dalam tasik ini. Sekali-sekala, jika korang ternampak penyu atau kura-kura di dalam tasik ini, korang akan dilimpahi nasib yang baik. Aku sempat ternampak kelibat seekor kura-kura sedang berenang, tapi yang kecil je.

Apabila jam hampir menunjukkan pukul 915 pagi, kami keluar dari kuil dan tasik dan menuju ke seberang jalan, tempat adanya persembahan boneka air. Boneka air ialah satu budaya hiburan yang popular di Vietnam, dan hampir setiap bandar yang kami pergi, ada boneka airnya yang tersendiri.


Pentas yang dipenuhi air, di sebelah kiri pentas ialah kumpulan pemain muzik dan penyanyi yang mengiringi persembahan boneka air


Salah satu persembahan ialah cerita tentang penyu yang membawa pedang


Barisan orang-orang di belakang tabir yang mendapat tepukan gemuruh selepas persembahan selesai

Lokasi kami yang seterusnya ialah muzium, muzium dan muzium. Di Hanoi ada banyak muzium. Akan tetapi, oleh sebab kami tak larat nak jalan, kami pun naik beca.


Pakcik beca yang gembira sebab aku naik beca dia (cewah)

Kebanyakkan muzium di Vietnam tidak membenarkan pengunjung merakamkan gambar :/ Antara muzium yang terdapat di Hanoi ialah Muzium Sejarah. Muzium yang besar ini dulunya adalah rumah yang didiami oleh duta Perancis. selain daripada itu ada Muzium Revolusi, Muzium Wanita (Vietnam takde muzium lelaki :p), Muzium Tentera, Muzium Seni Halus dan beberapa lagi. Tak semua muzium sempat kami lawati kerana tak cukup masa :(

Kami pulang ke hotel pada kira-kira pukul 3. Kami akan check-out pada pukul 4 dan bas ke bandar Hue akan datang menjemput kami pada pukul 6ptg. Perjalanan dari bandar Hanoi ke bandar Hue mengambil masa kira-kira 12 jam, jadi kami akan tidur di dalam bas pada malam itu. Terdapat 2 jenis bas, iaitu 'sitting bus' dan 'sleeping bus'. Kami akan menaiki 'sleeping bus'.


Melepak-lepak di lobi hotel sementara menunggu bas datang

Kira-kira pukul 630 petang, seorang lelaki berbaju kuning datang ke lobi hotel dan menjemput kami. Lelaki tersebut naik motor, dan dia telah menahan teksi untuk kami. Teksi tersebut membontoti motor lelaki tersebut dari belakang, sebelum berhenti sebentar untuk mengambil sepasang pelancong asing daripada sebuah hotel. Mereka juga akan menaiki bas yang sama dengan kami.

Apabila kami tiba di satu jalan, terdapat sebuah bas sedang menunggu kami. Sebaik sahaja aku berdiri di depan pintu bas, pemandu bas tersebut menghulurkan sebuah beg plastik dan meminta aku menanggalkan sandal yang dipakai dan masukkannya ke dalam beg plastik. Rupa-rupanya, tidak dibenarkan memakai kasut di dalam 'sleeping bus'.

Sangka aku, 'sleeping bus' hanyalah macam bas ekspress biasa. Tetapi, 'sleeping bus' Vietnam sedikit lain, kerana tempat duduknya panjang dan membolehkan kita meletakkan kaki di atas tempat duduk dengan selesa dan bantal serta selimut diberikan. Tempat duduk ada 2 tingkat dan aku dapat tingkat ke-2.


Pemandangan di dalam 'sleeping bus'

Walaupun bas ada berhenti untuk makan malam pada kira-kira pukul 830 mlm, tapi aku tak makan dan tak minum dan seboleh-bolehnya aku cuba untuk mengelak pergi ke tandas awam sebab taknak bermimpi ngeri. Tapi akhirnya aku kalah juga, dan percayalah aku memang bermimpi ngeri! Aku kemudian tidur hingga esok pagi...

*Gambar-gambar oleh Nik Waheeda