'Dark clouds always have a silver lining'. 'Silver lining' di sini bermaksud sesuatu yang baik akan dapat dilihat disebalik suatu kejadian yang buruk. Akan tetapi, 2 orang peguam muda, Seira dan Sherrie yang lebih dikenali sebagai The S-Ploited berpendapat sebaliknya. "There is no silver lining in Perak crisis".
Rasanya tak perlulah dihuraikan apa yang dimaksudkan dengan krisis Perak. Semua orang dah tahu. Kisah 3 orang 'katak' (ya, orang, bukan ekor) yang meninggalkan parti politik masing-masing untuk menjadi wakil bebas dan bersahabat dengan BN, menyebabkan MB Nizar kehilangan majoriti kerusi, dan BN mengambil kesempatan dengan berkudeta dan mengaku diri mereka sebagai pemerintah sah Perak.
The S-Ploited, melalui filem dokumentari mereka yang bertajuk "No Silver Lining: The Perak Crisis" (NSL) cuba untuk mengungkap krisis ini dari sudut undang-undang dan pendapat orang ramai. Filem pendek yang berdurasi 20 minit ini menampilkan Presiden Majlis Peguam yang kacak Ragunath Kesavan, MB Perak YB Nizar dan subjek penting dalam krisis ini iaitu tak lain dan tak bukan, rakyat Perak sendiri.
Seira dan kepala kataknya
Filem dimulakan dengan 'pertarungan' beberapa ekor katak dalam satu pertandingan sukan. Katak-katak sepatutnya melompat merentasi petak masing-masing di atas gelanggang putih. Tapi beberapa ekor katak telah berpaling tadah dan melompat ke petak lawan selepas disondol oleh segulung wang kertas.
Metafora 'katak lompat' yang ditonjolkan itu adalah satu mitos yang dikatakan adalah kejadian sebenar berlaku terhadap 3 'orang' katak dalam krisis Perak. Akan tetapi apabila ia ditonjol sebegitu rupa sebagai mukadimah sebuah filem dokumentari, tanpa menghabiskan tontonan, aku sudah berasakan bahawa keseluruhan filem ini adalah berat sebelah kepada pimpinan Pakatan Rakyat.
Tambahan, orang-orang yang ditemuramah memberikan pandangan yang berpihak kepada Pakatan Rakyat. Justeru aku berasakan bahawa tiada apa yang baru untuk aku tahu atau tonton di dalam filem itu. Sebagai penonton, aku juga sebenarnya mahu tahu apakah pandangan pihak yang lagi satu berkaitan dengan segala kejadian di Perak; bermula dari insiden lompat, pertukaran kerajaan, persidangan demokrasi bawah pokok, sembah derhaka YB Nizar di istana, tunjuk perasaan mohon DUN Perak dibubar dan sebagainya. Walaupun kita sebenarnya dah boleh agak apa yang akan dihujahkan oleh pihak satu lagi, tapi bagi sebuah filem dokumentari, informasi itu adalah agak penting.
Dalam keadaan ini, NSL telah diselamatkan oleh temuramah-temuramah dengan beberapa orang peguam yang bercerita tentang undang-undang yang digunapakai oleh BN dan PR bagi menyokong tindakan merampas dan memberontak masing-masing. Ini memberikan peluang kepada penonton untuk membuat penilaian sendiri tentang krisis di Perak dan apakah tindakan yang wajar diambil bagi memulihkan krisis. Di samping itu, YB NIzar juga diberi peluang untuk memberikan justifikasi berkenaan dengan 'sembah derhaka' beliau.
Secara keseluruhan, aku agak berpuas hati dan terhibur dengan filem dokumentari ini. Pengeditannya agak pantas dan kemas dan musik latar yang dipilih juga bersesuaian dengan jalan cerita. Tingkah Seira yang muncul sebagai penemuramah berkepala katak juga adalah sesuatu yang unik. Walaupun durasinya adalah terlalu singkat, tapi ia juga agak padat dengan informasi, dan barangkali itu ialah tujuan dan gaya S-Ploited untuk memperkenalkan sospol dan undang-undang kepada penonton yang belum begitu terdedah, terutamanya golongan muda. Kalau lama-lama sangat, nanti bosan.
Diapit Seira dan Sherrie (S-Ploited)
Tahniah S-Ploited kerana menjadi salah satu daripada tiga penerima FFF2009 Justin Louis Award.
Bagi mendapatkan DVD NSL, sila klik sini.
0 komen:
Catat Ulasan