PTPTipu dan Sampah Plastik

Pagi tadi, aku ke Kl Sentral menjalankan rutin bulananku untuk membayar pinjaman PTPTN (ya, aku adalah seorang pembayar hutang PTPTipu, sila tepuk tangan. Digelar PTPTipu selepas ada isu kenaikan faedah pembayaran semula masa aku belajar dulu). Walaupun lorong kereta untuk ke tempat parkirnya adalah sangat sempit seperti lubang kubur, selepas dihon beberapa kali sebab bawa kereta 'super-slow', aku pun berjaya sampai dan memparkir keretaku dengan selamat tanpa ada kesan calar. Heh.

Bulan ni aku bayar lebih banyak daripada biasa, sebab nak qada' bulan lepas aku tak bayar. Sebenarnya aku bukannya NAK sangat bayar, tapi aku takut kena senaraihitam dengan Jabatan Imigresen, tu aje. Nanti terbantutlah rancangan aku nak ber'backpacking' ke Vietnam bulan Jun ini :p

Selesai membayar, tiba-tiba perutku berbunyi (aku benci tul cerita kebetulan-kebetulan ni macam drama melayu kat tv3). Nak duduk bersarapan, takut tak sempat. Jadi aku pergi ke kedai roti berhampiran kaunter PTPTN tadi. Aku beli 2 roti, satu beintikan tuna, satu sosej ayam berkeju. Aku perhatikan adik yang menjaga kaunter itu memasukkan roti-roti tersebut di dalam plastik lutsinar yang berlainan. Mungkin kerana hendak menjaga rasa dan teksturnya. Kemudian dikeluarkannya lagi sebuah plastik bertangkai, tujuannya untuk memasukkan kedua-dua plastik lutsinar bersisi roti itu tadi.

"Tak payahlah dik", kata aku.

"Tak nak ke?" adik tadi bertanya pada aku dengan muka yang agak terkejut.

"Ye, saya boleh masukkan dalam beg, muat ni".

Aku rasa, adik penjaga kaunter tu telah bertanyakan soalan yang salah. Isunya bukan samada aku nak atau tak nak plastik tersebut, tapi samada aku PERLU atau tidak plastik tersebut? Dua buah plastik telah habis digunakan untuk melindungi roti, kalaupun hendak bagi kesenangan kepada pengguna dengan memberikan plastik bertangkai, kenapa tidak disediakan saja plastik bertangkai untuk tujuan yang pertama tadi?

Itu tandanya, ramai orang kita yang masih belum sedar akan kesan pembuangan plastik dan keburukkannya terhadap alam sekitar. Plastik ni, bila dah jadi bahan terbuang, ia susah nak dilupuskan dan susah nak diuraikan untuk menjadi sebahagian daripada tanah. Akhirnya ia akan terkumpul berlonggok macam besi-besi buruk dan komputer-komputer lama yang dah tak boleh pakai (Betul ke penerangan saya ni cikgu?)

Di Selangor, kerajaan negeri telah melancarkan kempen 'Hari Tanpa Plastik' di seluruh Selangor pada setiap hari Sabtu, berkuatkuasa sejak awal Januari lepas. Tujuannya ialah untuk mengurangkan penggunaan plastik dan menjaga alam sekitar. Kalau korang nak beli barang di mana-mana pasaraya di Selangor terutamanya di pusat bandar pada hari Sabtu, silalah bawa beg/bakul sendiri. Kalau tidak, korang akan dikenakan bayaran tambahan sebanyak 20sen untuk plastik yang diberikan.



Selain di Selangor, sebuah pasaraya di tempat aku tinggal di Bangsar juga telah mengambil inisiatif yang serupa. Pasaraya ni lebih 'advanced' lagi, kerana penalti yang dikenakan dikuatkuasakan setiap hari. 10sen untuk setiap pembelian menggunakan plastik.

Kesimpulannya, jagalah alam sekitar supaya hidup kita tak dikekelilingi oleh sampah, penalti bersen-sen (lama-lama jadi bukit wooo) dan hutang PTPTN.

Eh, ada kena mengena ke?

3 komen:

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o berkata...

nasib baik ko tak jadi mp atau adun..
kalo tak kena tekan sebab ada hutang..

Hanggokan berkata...

beg plastik dan ptptn - ada kena mengena.

beg plastik, bolih menyebabkan mati lemas.
ptptn, bolih menyebabkan mati lemas juge.

akuatik berkata...

promosi beg guni belum meluas lagi walaupun promosi supaya bayar utang ptptn tu agak meluas....patutnya penjual makanan kasi diskaun kalau kita gi beli bawak mangkuk tingkat