Menjelang Merdeka

Pertama sekali... selamat hari kebangsaan semua. Hari ini genap 52 tahun hari kemerdekaan Tanah Melayu yang diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman.

Sebelum ni aku ada menyebut untuk tidak menyambut hari kemerdekaan kali ini. Memang pun. Tapi itu tak bermakna yang aku sudah lupa diri. Cuma... menyambut hari kemerdekaan dengan perarakan di Dataran, Bukit Jalil atau di Parlimen sekalipun tidak membawa apa-apa erti bagi aku.

Lebih baik aku pergi muzium.

Tak, aku tak buat lawak.

Ya... memandangkan aku tinggal di Bangsar dan selalu berulang alik ke pusat bandaraya, salah satu jalan yang harus aku tempuhi ialah Jalan Travers. Kalau datang dari arah Bangsar ke pusat bandaraya, Muzium Negara terletak di sebelah kiri Jalan Travers.

Seringkali sejak sebulan yang lalu, aku nampak sebuah papan tanda yang besar berwarna merah di hadapan Muzium Negara itu. Tajuk yang tertera amat kurang menyenangkan aku. "Darurat 1948-1960". Tu nak cakap pasal komunis yang jahat lah tu. Aku juga nampak tempoh pameran darurat tersebut berlangsung. Tadi, 30hb Ogos ialah hari terakhir. Pukul 3ptg tadi, ketika di rumah, tiba2 aku teringat dan rasa nak pergi. Jadi aku pergi.

Aku memilih untuk pakai baju gaun bunga-bunga sebagai tanda bahawa aku adalah orang yang ceria dan gembira untuk pergi ke muzium. Ini adalah kerana aku sudah menjangkakan bahawa aku akan didera secara mental kerana sudah pasti pameran tersebut memperlekeh2kan perjuangan orang2 yang bukan dari Parti Perikatan dalam mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu dan sudah pasti muka aku akan masam mencuka.

Aku gosok baju pelan-pelan. Lepas tu, baca bismillah sebelum keluar rumah. Aku tarik nafas dalam-dalam dan menghidupkan enjin kereta. Pandu pelan-pelan. Sampai depan muzium, belok kiri. Kena tahan dengan penjaga tempat letak kereta. Bayar 2 ringgit. Entah kenapa aku enggan keluar dari kereta. Jadi aku layan dulu 2 buah lagu Muse. Baca bismillah, dan keluar dari kereta menuju ke muzium. Kena bayar lagi 2 ringgit untuk masuk. Ceh.

Sangka aku, Muzium Negara akan menggunakan keempat-empat dewan pameran untuk acara ini. Tapi tidak. Hanya ruang legar utama digunakan.



Aku membaca semua 'cerita' yang disampaikan satu persatu. Ada yang aku ulang baca beberapa kali. Ada juga beberapa bahagian yang buat aku senyum sorang-sorang.

Seperti yang dijangka, komunis adalah jahat. Komunis bunuh orang. Tapi, nama-nama yang disebut secara spesifik dan disenaraikan sebagai mangsa, semua nama orang putih. Orang-orang tempatan yang juga terkorban, diletakkan dalam satu perkataan saja iaitu samada 'orang-orang kampung' atau 'askar-askar Melayu'. Tak baik tul. Wah siapa yang sebenarnya beria-ia memerangi komunis ni?

Ada satu cerita sejarah yang aku rasa agak menarik, iaitu asal usul kejadian kad pengenalan di negara kita juga bermula pada era komunis. Tanggal 1hb September 1948 ialah hari pertama kad pengenalan diwajibkan untuk semua orang. Tujuannya adalah untuk mengenal pasti komunis-komunis di kalangan orang tempatan.

Di ruang pameran yang sama, ada 2 buah skrin diletakkan. Satu besar, satu kecil. Aku menonton skrin yang kecil sambil berdiri. Itu rakaman ketika darurat rasanya, sebab gambarnya hitam putih. Ada gambar lori terbakar, ada gambar wanita mengangkat senjata, ada gambar Tunku Abdul Rahman. Musik latarbelakangnya ialah runut bunyi filem Titanic. Pastu ada bunyi letup-letup. Kemudian, ada sarikata di bawah gambar yang tertulis "Akhirnya... negara kita selamat dari komunis" (lebih kurang macam tulah... tak berapa ingat). Tiba-tiba ada suara Tunku Abdul Rahman melaungkan 'Merdeka!' sebanyak tiga kali. Huiks.. kita peroleh kemerdekaan daripada komunis atau British??? Video tersebut berakhir dengan lagu 'Keranamu Malaysia'.

Waktu tu, aku sudah mula buat muka. Aku beredar dari situ dan menuju ke papan pameran yang lain. Tiba-tiba, aku terlihat seorang jejaka kacak sedang sibuk menelek cerita sejarah komunis. Kusyuk betul dia membaca. Dan kusyuk juga aku menghayati kekacakan beliau (ooops... puasa!).

Aku meneruskan berlegar-legar di ruang pameran tersebut. Ada beberapa gambar poster yang menarik perhatian aku.


Waktu ni Akta Hasutan belum digubal kot


Mahal gak harga pakcik komunis ni...mesti dia seorang yang terer


Senarai ahli-ahli komunis yang dikehendaki

Satu lagi cerita sejarah yang aku rasa menarik, ialah bahawa kerajaan pada waktu itu menggunakan pelbagai cara untuk memerangi komunis, termasuklah perang saraf dan perang psikologi. Mogok lapar, demonstrasi jalanan, 'road show' dan macam-macam lagi yang kalau nak dibuat sekarang, mesti dapatkan permit polis dulu.

Tapi...kenapa RTM1 kata itu bukan budaya kita?



Tiba-tiba, aku terlihat satu susuk yang agak menarik. Hensem tul... patung tu. Aku pandang keliling, kalau-kalau ada orang yang sudi tolong ambilkan gambar aku dengan patung tersebut. Dan seperti sudah tersurat, jejaka kacak tadi menghampiri tempat aku berdiri. Ceh ceh. Aku pun minta bantuan beliau.


Gila stylo rambut patung brader komunis ni, dan cool pula sebab bagi aku 'pinjam' topi dia sekejap. Miahahah :p

Selepas mengambil gambar, jejaka kacak itu memperkenalkan dirinya kepada aku. Dia tanya aku ni 'student' ke. Aku kata tak... aku dah kerja. Jejaka kacak tersebut bekerja di sebuah syarikat minyak orang putih. Mungkin sebab tu bila berbicara, dia guna slang-slang dan cakap campur-campur. Nasib baik kacak. Katanya, dia minat sejarah sebab tu datang tengok pameran tu. Selepas itu, kami membawa haluan masing-masing.

Aku meneruskan melihat-lihat pameran tersebut. Tiba-tiba, jejaka kacak tadi datang menghampiri aku. "Eyh... have you seen the senjata yang komunis2 tu buat sendiri dalam hutan?" "Err.. belum lagi". "Jum, kita tengok together". "Ok" (heheheheheheheh- yang ni dalam hati je).


Senjata buatan tangan komunis

Di hadapan senjata-senjata itu, jejaka kacak meneruskan perbualan. "Mereka ni bijak jugak kan, although they're terrorists..." "They're not terrorists!" Tiba-tiba aku ter-emo bila jejaka kacak tersebut panggil komunis sebagai pengganas, dan tiba-tiba angin gedik aku mati begitu sahaja. "They also fought for the independence of Malaya and they should be recognized!" Aku mula memalingkan badan untuk beredar dari situ, tapi kemudian jejaka kacak menyambung "Tapi Chin Peng tak pegang janji. Sepatutnya komunis surrender bila kita dah merdeka". "Tapi kita tak tahu hujung pangkal cerita perjanjian tu kan? Kenapa nak serah diri macam penjahat kalau berjuang melawan penjajah? Dan perjanjian sepatutnya kerja dua hala kan? Adakah Tunku Abdul Rahman dah laksanakan bahagiannya dalam perjanjian?"

Dan... begitulah. Jejaka kacak hanya menjadi seorang jejaka sahaja. Kami masing-masing minta diri. Aku meneruskan melihat-lihat pameran sambil memerhatikan gelagat para pengunjung pameran tersebut. Ada juga yang mengambil gambar dengan patung hensem tu. Ada yang lebih ekstrem dari aku... siap 'pinjam' rambut stylo patung hensem untuk dipakai bersama topi. Hahaha.

Selesai melawat muzium, aku pergi mencuci kereta untuk 'memerdekakan' kereta aku dari tahi burung Bangsar. Kemudian, aku ke kedai untuk membeli beberapa botol minuman dan cawan kertas. Aku akan berbuka puasa secara 'pot luck' dengan pasukan peguam siasatan awam SUHAKAM.

Mengenang kembali sebab siasatan awam SUHAKAM ini dijalankan, aku tersenyum lagi. Ye lah, dah 52 tahun merdeka, tapi hak asasi untuk berjumpa peguam pun takde dalam senarai. Siap tangkap peguam yang sedang menjalankan tugas :p


Fad, Adilah dan Saha


Murnie dan Valen

Kira-kira pukul 830 malam, aku minta diri dari acara. Aku ada acara makan kek sambil mengumpat dengan 'videographer' kegemaran aku, Chi Too. Tujuan perjumpaan sebenarnya ialah kerana Chi Too mahu menyerahkan sehelai t-shirt yang direkanya. Best.


Memakan kek sambil mengumpat adalah satu acara yang serius

Selepas mengumpat selama lebih 3 jam dan masing-masing telah menguap, kami memutuskan untuk menyambung acara pada esok petang.

Esok petang, tepat jam 4, kami dan beberapa orang rakan yang lain akan bermain layang-layang di tengah-tengah pusat bandaraya sempena menyambut hari kebangsaan.

Tak, aku tak buat lawak.

Dan, aku bercadang untuk bermain layang-layang sambil memakai baju di bawah:-




Selamat menyambut Hari Kebangsaan semua.

9 komen:

binjidan berkata...

keh33 ada hati nk ngorat jejaka kacak tu tapi tak sekepala pulak hahaha..

Did berkata...

biar tak kacak janji skepala...
kahkahkah...

kulupSakah berkata...

ada 2 perkara yg belum merdeka pemikiran dalam entry ni..runut bunyi Titanic menggambarkan seolah2 kita tiada lagu yg sesuai dan percaya lagu mat saleh lebih baik.

kedua- lelaki hensem pun mcm perempuan cantik.."kosong"..

merdeka yg cool ialah mencuci kereta yg masih belum habis bayar dan selalu bikin pening bila dpt gaji sbb hutang kereta memamah dua pertiga gaji..tih tih tih!

noraherni berkata...

femininnya aku tengok ko pakai baju bunge2 tuh...=)

fadiahnadwafikri berkata...

kacak dn sekpala paling best!:P

sang kegelapan berkata...

"huh kacak sangatkah rupenye?",soal sang kegelapan ngan nada jeles..

Anies.Kamardin berkata...

aku lebih tertarik kepada cerita jejaka.

OrangGilak berkata...

binjidan & did: *mengeluh*
kulup: tak semua lelaki hensem & perempuan cantik tu 'kosong'...
nora: hikhikhik
fad: mana nak dapat?
sang kegelapan: boleh laa tahan.. sebenarnya aku tergoda sebab dia pegi muzium... tu kira 'rare species' tu...
anies: ko memang :p

chi too berkata...

aku lebih tertarik kepada cerita seram dan misteri