Psiko Pencuri Hati















Hari ini genap seminggu Psiko Pencuri Hati ditayangkan di pawayam seluruh Malaysia. Saya tak terkejut kalau pembaca tak pernah dengar pasal filem ni sebab promosinya 'kureng' sedikit. Kalau ada pun, di media-media sosial dan berita. Jadi maklumat payah nak sampai kepada peminat-peminat filem di kawasan pendalaman dan yang tidak memiliki akaun media sosial.

Saya berminat untuk menonton filem ini kerana 3 perkara :- Pertama, ia diarahkan oleh Namron; Kedua, lakon layar oleh Ayam Fared; Ketiga, pelakon pembantunya Amerul Affendi.

Apabila saya membaca komen-komen penonton yang telah menonton filem ini di pawagam, ramai yang memberikan respon positif dan menyatakan bahawa filem Psiko Pencuri Hati memberikan nafas baru kepada industri filem Malaysia.

Pada saya, oleh kerana filem ini dijayakan oleh ketiga-tiga nama yang saya sebut di atas, saya dan kawan-kawan saya telah meletakkan satu piawai yang sangat tinggi terhadap isi kandungan filem ini.

Psiko Pencuri Hati ialah filem genre misteri/seram tentang seorang penulis novel misteri yang selalu melihat 'bayangan' pembunuh bersiri yang sedang berkeliaran di ibu kota pada waktu itu. Pembunuh bersiri tersebut diberi gelaran 'Pencuri Hati' oleh media/polis kerana mangsa akan dikerat dadanya dan organ (jangtung/paru-paru atau hati?) akan dikeluarkan. Penulis novel tersebut memerlukan ketenangan jadi kawan baiknya telah mengajak beliau untuk pergi bercuti di sebuah pulau.

Kemudian ada watak seorang bekas peguam (ya, Ayam dan Nam Ron memang ada 'soft spot' untuk peguam dalam kebanyakan produksi) bersama suaminya. Mereka mengalami masalah rumahtangga dan berharap keadaan akan jadi lebih baik sekiranya mereka pergi bercuti. Dan mereka telah pergi bercuti di pulau yang sama dengan penulis novel.

Di pulau pula, ada watak pemilik rumah penginapan bersama isterinya. 

Persamaan kesemua watak-watak yang disebutkan di atas ialah kebanyakan mereka adalah 'psycos in denial' tapi cuba hidup sebagai manusia normal. Dalam apa juga keadaan, hanya ada seorang pembunuh di kalangan mereka. 

Walaubagaimanapun, disebabkan kami telah siap meletakkan piawai yang tinggi sebelum mula menonton, reaksi yang kami beri selepas habis ialah 'bagus, tapi kami harapkan ia lebih bagus, kerana ini Nam Ron.' Lebih-lebih lagi 'twist' cerita yang cuba ditonjolkan bukanlah sesuatu yang baru- mungkin baru untuk filem Malaysia tetapi saya pernah lihat di filem asing sebelum ini. 

Kalau hendak dibandingkan dengan filem-filem Malaysia komersil, Psiko Pencuri Hati memang lebih baik. Lakonan yang diselia oleh Namron dan Ayam hasilnya sudah tentu tidak mengecewakan. Sudah tentu plot jalan cerita ini lebih berisi dan menghiburkan. Malah, tiada siapa akan menyangka filem ini adalah filem berbajet rendah kerana kualiti yang ditonjolkan. Dan para peminat pelakon-pelakon berbakat seperti Sharifah Amani, Bront Palarae dan Amerul Affendi wajar tidak melepaskan peluang menonton pelakon-pelakon kesayangan mereka melakonkan watak yang jarang mereka bawa sebelum ini.

Jadi para pembaca sekalian, jika anda mahu menonton filem Malaysia yang baik dengan pelakon-pelakon yang baik, tontonlah Psiko Pencuri Hati di pawagam.





0 komen: