Planet Puspa- Kemboja Bhgn 1

Tora datang lagi! Yasssh jika tahun lepas Planet Puspa membawa anda ke Vietnam, tahun ni Planet Puspa menjelajah ke Kemboja @ Cambodia pula. (Walaupun penjelajahan dilakukan kira-kira 2 bulan yang lalu, cuma sekarang baru boleh diceritakan sebab baru sempat muatnaik gambar.)

Yup yup... begitulah kira-kiranya sebab musabab kenapa belog ini begitu sunyi sepi sepanjang bulan Jun lepas. Selepas menyimpan wang (bukan sejak kecil) dan membuat sedikit bayaran PTPTN (sebab takut kena senaraihitam dan tak dapat pi backpacking), maka cukup sudah duit yang dikumpul oleh aku dan Nik Waheeda untuk meronggeng di Kemboja selama kira-kira 2 minggu.

Duit yang dikumpul bertaburan di atas lantai bersama-sama harapan yang meluap-luap untuk ke Kemboja. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit

Bagi yang tidak tahu di manakah letaknya Kemboja itu, ia bersempadan dengan Vietnam, Laos dan Thailand.


Seperti acara ber-backpacking yang lepas, kami hanya membeli tiket pergi-balik sahaja. Perkara lain seperti ke manakah hendak dituju dan di manakah kami hendak tidur, hanya akan ditentukan selepas tiba sahaja. Seperti biasa, kami pastikan yang kami turun di lapangan terbang lain dan naik di lapangan terbang yang lain pula. Untuk kali ini, disebabkan kami meramalkan akan menghabiskan banyak masa di Siem Rep atau lebih spesifik lagi di kota Angkor, maka kami memutuskan untuk hanya melawat ke 4 buah wilayah sahaja. Kami memilih untuk bergerak dari Phnom Penh, kemudian ke Kampong Cham, Kratie dan akhir sekali Siem Rep.


Malam sebelum cuti ialah malam yang paling terkocoh-kocoh sekali. Siapkan kerja sampai lewat malam... iaitu pukul 2 pagi lepas tu balik rumah terus kemas kain baju sumbat dalam beg. Penerbangan dari LCCT pukul 620 pagi. Bertolak dari rumah pukul 4 pagi. Hufffff huffff

Kami tiba di Lapangan Terbang Phnom Penh pada pukul 720 pagi. Hari yang indah dan kami disambut dengan "tuk tuk... tuk tuk madam tuk tuk?"

Okay. Maka tuk tuk lah ia. Wajah gembira

Tuk tuk di sebelah adalah sangat sesak dengan orang

Selepas berjalan mencari rumah tumpangan murah akhirnya jumpa juga dengan rumah tumpangan satu malam USD10. Boleh la tu kongsi 2 orang. Kami minta bilik berkipas saja, sebab kalau bilik berhawa dingin kena tambah lagi USD5. Kami tidak tahu berapa lama hendak tinggal di Phnom Penh. Bilik itu antara yang paling selekeh di motel tersebut, dan tingkapnya boleh "see through". Melihat kami berdua ialah perempuan, tauke motel tersebut mengarahkan pekerjanya memasang langsir di dalam bilik kami. Selepas menyimpan barang kami turun ke kaunter dan minta disediakan tuktuk untuk sehari.


Perhentian pertama ialah 'Killing Fields of Choeung Ek". Ia merupakan sebuah taman peringatan- terdapat sebuah muzium, stupa, tempat tayangan video dan yang paling penting, terdapat beribu-ribu bekas kubur di tempat ini. Di kawasan ini hampir sejuta orang telah dibunuh beramai-ramai.

Seperti jirannya Vietnam, Kemboja juga pernah terlibat dalam perang saudara. Negara jirannya, Vietnam turut campur tangan. Khmer Rouge mendapat sokongan Vietnam Utara dan Viet Cong manakala kerajaan Kemboja pada waktu itu mendapat sokongan Vietnam Selatan dan Amerika Syarikat. Pada mulanya, ramai rakyat menyokong Khmer Rouge kerana kerajaan yang sedia ada pun bukannya best sangat. Tetapi, apabila Khmer Rouge yang dipimpin oleh setiausaha agungnya Pol Pot berkuasa, mereka sangat kejam dan membunuh ramai orang yang mereka syaki menyokong pihak kerajaan termasuk ketua keagamaan dan para intelek. Mereka juga membunuh wanita, kanak-kanak dan bayi kerana tidak mahu bayi tersebut membalas dendam atas kematian keluarganya apabila dewasa nanti. Di antara tahun 1975 dan 1979, hampir 1.5 juta penduduk Kemboja telah mati dibunuh di dalam perang saudara. Orang-orang yang dibunuh dicampak ke dalam lubang yang besar beramai-ramai.

Pada kebanyakkan masa, kaedah lain selain daripada menggunakan peluru digunakan, kerana mahu menjimatkan peluru. Bayi-bayi dihempas sahaja ke batang pokok yang besar supaya mati. Terdapat banyak lubang yang kemudiannya telah ditimbus dan rumput tumbuh di atasnya.

Selepas perang tamat, kubur-kubur yang penuh dengan tulang manusia tersebut telah ditemui dan mengejutkan seluruh dunia. Setiap kubur mengandungi beratus-ratus mayat manusia yang hanya tinggal rangka dan tengkorak. Kawasan tersebut kini dikenali sebagai "the Killing Fields" dan menjadi tarikan pelancong.

Antara lubang kubur yang ditemui.



Pokok yang digunakan untuk membunuh bayi dan kanak-kanak

Berjalan-jalan di sekitar taman peringatan sambil melihat bekas kubur yang telah ditumbuhi rumput

Stupa yang didirikan untuk menyimpan tengkorak-tengkorak para mangsa

Tengkorak-tengkorak ini disusun mengikut golongan usia

Kami menghabiskan masa kira-kira 3 jam di dalam taman peringatan ini. Cuaca sangat panas iaitu kira-kira 40 darjah celcius dan memenatkan. Sebenarnya, aku rasa lebih penat kerana selepas melihat kawasan pembunuhan tersebut, perasaan adalah sangat tertekan.

Selepas itu, pemandu tuktuk membawa kami ke Muzium Tuol Sleng atau lebih dikenali sebagai bekas kem penjara S-21.

Tertidur di dalam tuk tuk

Ingatkan s-21 ini berupa penjara yang biasa, tapi sangkaan aku meleset. Rupa-rupanya, beberapa bulan selepas Khmer Rouge memerintah, mereka telah mengambil alih sebuah sekolah dan menjadikannya sebuah penjara dan tempat soal-siasat.


Terdapat beberapa buah blok di sekolah ini. Blok pertama yang kami pergi ialah blok tempat soal-siasat dan seksaan. Kami berjalan agak berhati-hati dan memandang ke bawah kerana di beberapa tempat, kesan darah masih kelihatan :(

Antara katil dan peralatan yang digunakan untuk menyeksa tahanan


Baru pergi satu blok, dah penat. Ini adalah kerana kami menjengah dari bilik ke bilik. Takut ada apa-apa yang tertinggal. Ada bilik yang tak ada katil, tapi ada darah. Nik geli, aku pula control macho.

Blok kedua pula ialah bilik tahanan. Bilik tahanan ini sebenarnya ialah bilik darjah. Bilik darjah ini kemudian dibahagi-bahagikan menjadi bilik-bilik kecil. Sangat kecil. Ada yang dibina daripada kayu, ada yang dibina daripada batu-bata. Bahagian tengah dinding yang memisahkan satu bilik darjah dengan bilik darjah yang lain dipecahkan supaya menjadi laluan. Pada kebanyakkan masa, Nik memegang tangan aku sebab dia takut. Ceh.



Kami menghabiskan masa yang agak lama di blok kedua ini. Lepas tu, dah penat. Air minuman pun dah hampir habis. Di tepi padang, ada sebuah warung menjual air. Sambil duduk di atas bangku, aku terlihat seorang pelancong mat salih yang kacak. Tapi dia nampak sangat murung. Di sebuah bangku yang lain, seorang mat salih lain kelihatan mengesat matanya yang disembunyikan dengan kaca mata hitam. Aku teringat pernah melihat keadaan yang sama ketika melawat muzium perang di Vietnam tahun lalu.


Apabila kami pergi ke blok ketiga, barulah kami faham kenapa mat-mat salih tadi sedih. Rejim Khmer Rouge bukan sahaja membuat pembunuhan beramai-ramai, tetapi mereka mendokumentasikan mangsa-mangsa mereka sebelum disoal-siasat dan dibunuh. Mereka disuruh duduk di atas sebuah kerusi dan memandang kamera. Beratus-ratus gambar tanpa nama... dan beratus-ratus kanak-kanak...



Kerusi yang digunakan untuk mengambil gambar

Kami keluar dari bekas penjara tersebut selepas kira-kira 2-3 jam. Perasaan adalah sangat tertekan, dan lapar. Pemandu tuk tuk menghantar kami balik semula ke pekan. Hari pun dah lewat petang. Kami makan dan minum di bandar, kemudian balik ke motel dan tidur sebab malam tadi tak tidur. Kira-kira pukul 8 malam, kami keluar mencari makanan dan lepak-lepak sekejap di tepi sungai.

Pada pendapat aku, bandar Phnom Penh ni biasa saja. Tak banyak beza dengan bandar-bandar lain. Aku nak lihat Kemboja yang sebenar. Aku beritahu Nik, aku tak suka Phnom Penh. Rupa-rupanya Nik pun berasa begitu. Jadi kami mengambil keputusan bahawa esok petang ialah hari terakhir kami di sini. Kemudian, kami akan bergerak ke wilayah lain. Kami pulang ke motel dan meminta pekerja motel membelikan kami tiket bas ke Kampong Cham.

Esoknya, kami bangun awal pagi dan menghabiskan waktu siang kami di Phnom Penh. Kami berjalan-jalan di sebuah pasar pagi. Pasar ini tak jauh bezanya dengan pasar pagi di KL.


Malam tadi lepak di sini

Berteduh dari panas


Muka tahan panas

Sepanjang pagi hingga tengahari, kami berjalan-jalan ke beberapa buah pagoda dan sekadar melihat gelagat penduduk tempatan di tepi-tepi jalan. Kami mahu pergi ke muzium dan ke istana, tetapi ia ditutup pada waktu makan tengahari dan hanya dibuka pada pukul 2 petang. Kami mengambil kesempatan itu untuk kembali ke motel dan mendaftar keluar. Kami tinggalkan beg pakaian di dalam jagaan pekerja motel dan kembali ke tengah bandar. Bas kami akan bertolak pada kira-kira pukul 330 ptg.

Istana yang dimaksudkan ialah istana negara dan ia masih berpenghuni. Kemboja ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Keturunan raja di sini agak aktif berpolitik. Terdapat beberapa kawasan di dalam istana tersebut yang dibenarkan untuk dilawati. Pelawat hendaklah berpakaian sopan.

Di perkarangan istana


Selepas habis melawat beberapa pagoda, muzium, Killing Fields dan istana, kami berasa habislah sudah matlamat kami di Phnom Penh. Daripada kota besar, kami akan bergerak ke kawasan yang lebih sunyi, iaitu Kampong Cham. Perjalanan akan mengambil masa kira-kira 3 jam. Misi utama ialah merentas Sungai Mekong dengan basikal dan mencari perkampungan etnik Cham yang beragama Islam. Yang itu, kita cerita lain kali.

Bye-bye Phnom Penh

1 komen:

rawsktar berkata...

Phnom Penh ialah kota yang depressing. aku benci PP jugak. nyan nyan nyan