Planet Puspa- Kemboja Bhgn 2

Daripada Phnom Penh, aku dan Nik meneruskan perjalanan ke Kampong Cham. Kenapa kami memilih Kampong Cham? Kerana khabarnya di sini ada penempatan Melayu Islam Champa. Saja lah kan. Sebenarnya Kampong Cham tu bukan kampung. Ia adalah sebuah wilayah. Di dalam Kampong Cham itu sendiri, memang ada sebuah kampung yang bernama Kampung Cham, yang dihuni oleh Melayu Islam Champa itu tadi. Agak mengelirukan. Dari segi sejarah moden, Kampong Cham juga terkena tempias kekejaman rejim Khmer Rouge, apabila ketua keagamaan (mufti) di sini diseksa dan dibunuh. Begitu juga dengan ketua sami dan sesiapa yang memberontak. Di sini juga terdapat 'killing fields' kecil. Kemuncak kemarahan rakyat Kampong Cham ialah apabila mereka membunuh ketua tentera iaitu adik lelaki kepada Perdana Menteri pada waktu itu yang ditugaskan menjaga Kampong Cham. Mereka membunuhnya dan mengeluarkan hatinya. Ada cerita menyatakan bahawa hatinya telah dibawa ke sebuah restoran Cina dan tukang masak tersebut telah diarahkan memasak hati tersebut sebelum dipotong-potong dan dimakan beramai-ramai. Entahlah.

Kami bergerak ke wilayah Kampong Cham dengan bas. Kira-kira 3 jam. Kami tiba pukul 6 petang lebih. Hujan renyai-renyai, hari pun dah gelap dan kami tak tahu mana nak cari rumah tumpangan. Rasa malas nak tengok peta sebab hujan. Kami ikut saja arah menuju ke Sungai Mekong. Dalam perjalanan, terserempak dengan seorang mat saleh. Aku tegur mat saleh tu dan tanya kawasan mana banyak tempat penginapan untuk backpackers. Dia suruh jalan terus, belok kiri, jalan terus lagi. Direction yang diberikan membawa kami ke sebuah rumah tumpangan usang.

Ruang bawah rumah tumpangan tu agak menakutkan dan berbau lama. Ada 2 orang mat saleh di bawah yang sedang lepak-lepak sambil berbual. Kami tanya pekerja motel, satu malam berapa Reel di situ. Katanya USD3 tanpa bilik air, dan USD 5 dengan bilik air. Tapi, bilik yang ada bilik air dah habis. Oklah tu kot, kongsi dua orang, seorang USD1.5. Murah gila. Lagipun, dah malas nak keluar dan cari rumah tumpangan lain.


Rupa bilik USD 3/malam

Lepas letak barang, kami mandi dan kemudian keluar mencari makanan. Ada sebuah kafe di depan Sungai Mekong khas untuk pelancong. Kedai-kedai tempatan semuanya dah tutup. Pekan ni macam pekan koboi, pukul 8 dah takde apa kecuali bebarapa kafe yang berdekatan dengan rumah-rumah tumpangan yang dikunjungi pelancong. Kami berbual-bual dengan pekerja kafe dan bertanya selok belok bandar. Pekerja kafe mencadangkan supaya kami berjumpa dengannya pada awal esok pagi untuk keterangan lanjut.

Esoknya kami bangun awal pagi. Seperti yang dijanjikan kami pergi semula ke kafe tersebut. Pekerja kafe menerangkan kepada kami jalan yang patut dituju dan tempat-tempat menarik. Beliau juga memberikan sekeping peta. Tapi... bahasa...

Peta ialah di dalam bahasa Perancis

Kami patah balik semula ke rumah tumpangan untuk mengambil basikal. Sewa basikal ialah USD1.2 sebuah untuk satu hari. Agak mencabar kerana kereta sudah mulai memenuhi jalan. Kami perlu menyeberangi Sungai Mekong kerana kampung melayu Cham terletak di seberang.

Jambatan yang perlu diseberangi


Kalau ikut peta yang diberikan tadi, perhentian pertama kami ialah sebuah rumah api yang dibina oleh askar Perancis. Aku tunggu kat luar dan biarkan Nik panjat sorang. Sebab, gayat.


Jalan masuk ke kampung ni macam jalan nak masuk kampung aku kat Pilah je. Sepanjang perjalanan kami disapa oleh budak-budak yang dok "hello... hello... hellooooooo" kat kitorang. Tapi agak malang sebab itu je yang diorang tau. Berbeza dengan di pekan, orang-orang ni kampung ni memang tak reti berbahasa Inggeris langsung. Pada kebanyakkan masa, kami hanya senyum dan guna bahasa isyarat. Nasib baik mereka sudah biasa dengan pelancong agaknya, jadi mereka main agak-agak je kami nak pergi mana dan mereka tunjukkan jalan dengan bahasa isyarat.


Jalan yang agak becak sebab malam sebelum tu hujan lebat

Masjid di dalam kampung

Kuda ialah haiwan pertanian biasa di Kemboja

Kira-kira pukul 12 tengahari, kami pulang semula ke pekan. Harus tukar pakaian sebab seluar dah habis kotor dengan becak. Kami makan di sebuah restoran tanpa untung yang bernama Smile Restaurant. Restoran ini dibina oleh 7 orang sami yang kemudiannya melatih remaja terbiar dan tak berumah untuk mengusahakan kafe tersebut. Selepas tamat tempoh 2 tahun, mereka digalakkan untuk keluar dan mencari pekerjaan sendiri dengan menggunakan ilmu yang dipelajari. Menurut cerita, sami-sami ini terpanggil untuk memulakan gerakan tersebut selepas berasa rimas dan malu dengan tanggapan orang ramai bahawa ahli-ahli keagamaan seperti mereka hanya tahu berceramah sahaja, tetapi tidak membantu di dalam pembangunan sosio-ekonomi dan masyarakat.

Selesai makan, kami mengupah 2 orang mat motor yang diperkenalkan oleh pekerja rumah tumpangan untuk membawa kami ronda-ronda di sekitar wilayah Kampong Cham. Mat motor yang membawa aku tu baru berusia 19 tahun. Beliau belajar bahawa Inggeris di sebuah sekolah seliaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Beliau menggunakan peluang bekerja sebagai pemandu pelancong supaya dapat berinteraksi dalam bahasa Inggeris dengan pelancong, sebab kawan-kawan kampungnya tak berbahasa Inggeris.

Perhentian pertama kami ialah dua buah bukit, iaitu Phnom Pros (Bukit Lelaki) dan Phnom Srei (Bukit Wanita). Ada banyak versi tentang asal usul nama bukit-bukit ini. Tapi nak dipendekkan cerita, sekumpulan lelaki dan sekumpulan wanita bertanding siapa yang dapat membuat tangga tertinggi untuk sampai ke puncak bukit. Jadi, satu kumpulan ambil satu bukit. Pertandingan hendaklah tamat bila matahari terbit. Kumpulan wanita membuat helah dengan menyalakan unggun api yang besar di sebalik bukit yang dikerjakan kumpulan lelaki. Melihat cahaya daripada unggun api tersebut, lelaki-lelaki tersebut sangka matahari dah naik, jadi mereka pun berhenti membina tangga dan tidur. Kumpulan wanita mengambil kesempatan dengan terus bekerja sehingga matahari yang betul muncul, dan mereka pun menang.

Bukit pertama yang kami pergi ialah yang mana tangganya dibina oleh kumpulan wanita. Memang tinggi. Di puncak bukit, sebuah kuil Buddha telah dibina.

Panjat tangga bukit dengan bersemangat

Lepas tu, tak larat

Kuil di puncak bukit

Selepas Bukit Wanita (Phnom Srei), kami pergi pula ke Bukit Lelaki (Phnom Pros). Tangga tu tak tinggi mana pun, berapa puluh anak tangga je sebab tak siap. Tapi, yang aku hairan tu apasal di sekeliling bukit tu dibangunkan menjadi asrama dan sekolah sami, tempat beribadat dan perlancongan, dan Bukit Wanita macam sunyi sepi je? Ish tetiba rasa tak adil :p Tak caya, lihat gambar-gambar di bawah.

Ada Sleeping Buddha

Bangunan-bangunan kecil tu sebenarnya ialah makam

Asrama sami. Bilik-bilik kotak kecil di belakang tu dihuni sami atau pelatih. Satu bilik, seorang

Perpustakaan yang digunakan para sami

Patung Buddha lagi

Patung-patung yang menceritakan tentang kisah hidup Buddha

Habis di situ, kami pergi ke sebuah tempat tersorok yang penuh dengan kuil dan bangunan lama. Walaupun kuil utama dihuni sami ajaran Buddha, tetapi banyak juga patung-patung dan bangunan yang masih ada sisa-sisa Hinduism. Aku nampak beberapa patung Vishnu dan Shiva di pinggiran, tapi banyak yang sudah tak sempurna badannya. Ini adalah kerana sebelum ajaran Buddha berkembang pesat di Kemboja, raja-rajanya merupakan penganut ajaran Hindu.


Lukisan di dinding dan siling kuil menceritakan tentang kisah hidup Buddha

Balik. Yey

Kami dibawa pulang ke rumah tumpangan kira-kira pukul 5 petang. Tiba-tiba rasa nak minum kopi. Jadi, daripada rumah tumpangan, kami jalan kaki mencari kopi. Di sebuah kedai kopi, kami berbual-bual dengan pelayan kedai iaitu seorang gadis awal 20-an. Gadis itu fasih berbahasa Inggeris. Kami beritahunya bahawa selepas Kampong Cham, destinasi seterusnya ialah wilayah Kratie. Beliau kemudiannya mencadangkan beberapa rumah penginapan kepada kami.

Di tepi Sungai Mekong, orang ramai lebih dari biasa. Barulah aku tersedar bahawa hari itu ialah hari Ahad. Mereka beriadah dengan bermacam-macam cara. Ada yang bermain sepak raga, berbasikal, jogging, tapi paling ramai sekali, aerobik. Tapi bukan percuma, ya. Di tengah-tengah kerancakkan aerobik, ada seorang gadis muda yang mengutip wang daripada semua peserta yang menyertai sukan aerobik tersebut.


Di seberang jalan di atas padang, ada fun fair. Kami berganjak ke seberang sebentar sambil makan jagung rebus, Istimewanya jagung rebus di sini ialah ia direbus dengan daun sup. Selalunya, jagung yang direbud ialah jagung yang tak cukup umur lagi. Harganya lebih murah.

Makcik-makcik ini mengikut gerak langkah seorang brader yang berdiri di atas tembok



Kami menghabiskan sisa-sisa hari dengan makan, berbual dan berehat. Esok pagi, kami akan bertolak ke wilayah Kratie dengan bas.

1 komen:

pondok usang berkata...

bestnye dapat jalan2 negara orang. ingat pas abis travel dalam malaysia, baru nak travel luar negara pulak..hehe
banyak artikel meanrik di sini
Sepasang Blogger Dibunuh