Di bawah ialah satu emel comel yang aku terima daripada King Chai, salah seorang daripada pelajar sains politik UKM yang dikenakan tindakan di bawah AUKU setahun lalu akibat berada di kawasan pilihanraya Hulu Selangor (weiii dia tu pelajar sains politik lah mestilah nak belajar pasal pilihanraya itupon takleh fikir ke?)
Pada hari kejadian aku sedang buat kerja di opis seperti biasa dan terima panggilan daripada mahasiswa yang minta bantuan. Maka aku dan Radzlan pun pergi membantu. Di situlah kami berkenalan dengan 4 orang pelajar sains politik ini yang kemudiannya digelar UKM4.
Aku telah minta kebenaran daripada King Cai untuk menerbitkan kandungan emel beliau kerana aku rasa pandangan dan suara hatinya wajar dikongsi bersama :)
Salam hormat kepada kalian,
Emel ini ditulis dan dihantar khas kepada kamu semua kerana kalian merupakan antara core group kepada  perjuangan untuk mansuhkan AUKU, bukan kerana masa depan kami berempat  sahaja, tetapi kerana kalian ingin membebaskan minda generasi muda ini  daripada kongkongan AUKU.
   Bagi diri saya sendiri, saya merasakan bahawa  perjuangan ini jauh dari selesai dan saya rasa amat syukur kepada Ilahi  kerana mempunyai kalian, bukan sahaja sebagai rakan seperjuangan dan  komrad, tetapi juga sebagai abang, kakak dan adik kepada saya sepanjang  tempoh satu tahun ini.
 Banyak pengajaran dan pengalaman yang telah kami  berempat perolehi daripada usaha kami, terutamanya dari segi bertindak  balas untuk menentang kezaliman dan hegemoni negatif oleh pihak yang  berkuasa ke atas kami, empat orang mahasiswa, yang bergantung sepenuhnya  kepada sokongan keluarga, rakan-rakan dan kepercayaan daripada  masyarakat umum untuk membebaskan minda dan pemikiran generasi ini. 
 Kepercayaan.
Komitmen.
Disiplin.
Pengorbanan.
Semua ini merupakan nilai-nilai yang telah ditanamkan dalam diri kami, jurusan daripada kes ini. Hanya kerana kami ingin belajar dan kami ingin tahu.
Apakah itu keadilan apabila sekali lagi kami akan diheret untuk menghadapi prosiding tatatertib pada 4hb. Mei 2011  apabila kami semua begitu hampir untuk menamatkan pengajian 3 tahun  kami? Lebih-lebih lagi apabila kami sedang bertungkus-lumus menyiapkan  tesis serta mengulangkaji untuk menghadapi peperiksaan akhir yang akan  menentukan masa depan kami berempat. 
 Apakah itu keadilan apabila kami dihentam dan difitnah di Facebook, Twitter, blog oleh proksi-proksi kepada pihak yang berkepentingan dalam kes kami? 
Bagi saya, perkara ini amat straight forward dan  tidak perlu berbelit-belit. Sudah 1 tahun kita berjuang bersama untuk  menghadapi cabaran dan tohmahan yang dilontar kepada kami berempat dan  penghinaan kepada kematangan mahasiswa. Dan kita tidak boleh  menghampakan rakan-rakan dan barisan mahasiswa yang lain, yang telah  memberi komitmen, sokongan dan kepercayaan kepada kumpulan kami untuk  meneruskan perjuangan.
 Tanggal 22hb. April 2011, kes UKM4 akan genap satu  tahun dan saya ingin mengambil peluang untuk berterima kasih kepada  kalian kerana sanggup bersama kami berempat sepanjang tahun ini. Jangan  kita berputus asa lagi. Selagi AUKU itu masih wujud dan terus menjadi  alat kepada hegemoni pemikiran mahasiswa di Malaysia, selagi itu kita  ada tanggung jawab untuk mencabar legitimasi dan autoriti undang-undang  yang drakonian dan mengekang pembangunan masyarakat.
    Student power!
 King Chai
 18 April 2011
 
 
 
2 komen:
jap....
Bagi diri saya sendiri, saya merasakan bahawa perjuangan ini jauh dari selesai dan saya rasa amat syukur kepada Ilahi kerana mempunyai kalian, bukan sahaja sebagai rakan seperjuangan dan komrad, tetapi juga sebagai abang, kakak dan adik kepada saya sepanjang tempoh satu tahun ini.
king chai ke yang tulis nih?
ha ah
Catat Ulasan