Meraikan Kematian Demokrasi


Tidak berapa lama dahulu aku pernah bercerita secara ringkas tentang pelarian di negara kita. Betapa ramai orang kita yang tidak tahu membezakan di antara pendatang asing dan pelarian, antara pekerja migran dengan pelarian.

2 hari lepas, Amerika Syarikat telah menyenaraihitamkan Malaysia sebagai negara penyeludup manusia terburuk, dan semalam, Malaysia telah 'berjaya' mengekalkan rekodnya pada tahun lepas sebagai negara yang paling teruk untuk didiami pelarian berdasarkan layanan yang mereka terima di sini.

Korang tak percaya... dan rasa laporan itu berat sebelah?

Tadi, sepatutnya kami meraikan hari jadi pejuang demokrasi Burma iaitu Daw Aung San Suu Kyi. Demi keraian ini, aku pulang awal daripada biasa. Balik dari pejabat, pulang ke rumah sebentar dan terus menuju ke Taman Jaya. Aku membantu seorang ahli MBPJ menyelengarakan upacara ini. Kerja pertama yang aku lakukan ialah meniup belon2 merah dengan pam. Haha. Baru tengahari tadi aku melangkaui waktu makan dan berkejar ke Keramat untuk mendapatkan pam2 tersebut daripada Kak Laila. Semangat gila~

Hampir pukul 7mlm, beberapa orang pelarian Burma datang. Mereka ni sangat ringan tulang. Datang saja, terus membantu kami buat persiapan. Angkat kerusi, gantung poster, tiup belon dsb. Kami bergelak ketawa sesama sendiri dan aku baru perasan yang wajah mereka adalah lebih kurang je dengan wajah orang Malaysia. Inilah yang dikatakan bangsa serumpun, kataku di dalam hati.

Akan tetapi, keseronokan kami agak terganggu sedikit dengan kehadiran beberapa orang SB yang aku nampak lalu lalang di situ. Apabila mereka menyedari bahawa kami tahu bahawa mereka ni SB, maka dengan tak malunya mereka mulalah tercegat di khemah tempat kami bekerja dan buat macam khemah sendiri.


Tetamu yang tak diundang- sapa suruh amik gambar aku? Nah, sekarang aku amik pulak gambar ko!

Hari makin gelap. Jam menunjukkan hampir pukul 745mlm. Aku rasa sedikit pelik... kenapa tetamu2 tak ramai? Kan majlis mula pukul 8mlm? Kek pon tak sampai lagi! Beberapa ketika selepas itu, aku dan Kak Lat mula dihujani panggilan telefon daripada kawan2 dan tetamu jemputan khas. Kata mereka, semua jalan menuju ke Taman Jaya telah disekat oleh pihak polis. Mereka tanya jalan alternatif untuk ke Taman Jaya daripada kami. Fadiah juga terima panggilan daripada pembeli kek, Farhana yang melaporkan yang sama.

Makluman itu buatkan aku bengang. Bengang sebengang-bengangnya. Mereka ni takde keje lain ke? Orang nak meraikan Aung San Suu Kyi, lah! bukannya pembunuh kanak2 bersiri (yang masih gagal ditangkap polis)!

Hampir pukul 8, kami semua dapat lihat dari jauh hampir 10 orang SB yang berpakaian biasa menuju ke arah kami. Kami sudah bersedia. Aku masih memegang pam belon.

Tapi, kali ini mereka kurang ajar, lebih daripada biasa. Mereka tidak memberi salam pada tuan rumah. Malah, mereka tak ambil kisah pun untuk bertanyakan siapakah pengendali majlis pada malam itu. Mereka terus menuju ke arah pelarian2 Burma yang kami jemput khas untuk membuat persembahan nyanyian pada malam itu, merampas sijil status pelarian yang dikeluarkan oleh UNHCR daripada mereka, dan memberi amaran kepada mereka supaya tidak berganjak daripada bangku tempat mereka duduk.


Pelarian2 Burma yang mempunyai status sah daripada UNHCR yang dibuli SB pada malam tadi

Kejadian tersebut membuatkan Kak Lat dan Eric, seorang bekas peguam hak asasi dan bekas pegawai UN khusus dalam bidang pelarian dan 'stateless person', mengamuk. Mereka terus meluru ke arah seorang pegawai polis yang nampaknya mengetuai kejadian kurang ajar itu dan bertanya kepada polis tersebut apakah justifikasi tindakan mereka itu. Aku sempat rakamkan sedikit adegan itu. Maaflah sebab tak nampak, cuma boleh dengar suara je... telefon kurang canggihlah :(



Selepas adegan itu, aku rasa polis itu mula tak puas hati. Dia terus meninggalkan tempat itu dan membuat panggilan telefon. Beberapa minit selepas itu, beberapa trak polis termasuk FRU juga datang ke Taman Jaya. Wow... sungguh efisyen polis2 kita!

Pada masa yang sama, tetamu2 yang terlewat kerana sekatan jalan raya juga mula hadir. Aku nampak Irene Fernandez dan ahli2 keluarganya, Kak Renuka seorang peguam hak asasi yang banyak mengendalikan kes-kes pelarian dan pekerja asing, beberapa orang rakan wartawan, YB Ronnie, Black dan Meor yang sepatutnya membuat persembahan pada malam itu bersama Rahmat Haron, dan lain2 lagi.

Kak Renuka menyuruh Fadiah dan aku mengumpul nama2 pelarian yang berada di situ bersama2 dengan nombor pengenalan status pelarian yang telah diberi oleh UNHCR. Ketika Fadiah menghulurkan kertas untuk diisi oleh mereka, aku lihat tangan pelarian2 itu terketar2. Mereka dalam ketakutan. Aku rasa sangat hiba melihatnya.

Manakala, Kak Lat dan Eric masih lagi sedang 'bergaduh' dengan polis. Kata polis, mereka menunggu pihak Imigresen datang ke Taman Jaya. Akan tetapi, tidak berapa lama kemudian, polis tukar rancangan pula. Mereka telah diarahkan untuk mengangkut kesemua pelarian ke IPD PJ. Aku sudah mula berasa risau. Entah apalah nasib mereka jika dibawa ke balai.

Eric sudah mula beremosi kurang baik. Dia mula mengingatkan polis2 tersebut bahawa pelarian2 Burma yang datang ke negara kita adalah pejuang pro-demokrasi dan lari kerana tekanan politik daripada junta Myanmar yang kejam. Jika mereka dihantar pulang ke negara itu, mereka sudah pasti akan dibunuh oleh junta tentera. Oleh itu, kita secara tidak langsung sedang menghantar mereka untuk dibunuh! Akan tetapi, polis2 yang tidak berhati perut itu buat tak tahu je.

Tidak berapa lama kemudian, aku lihat orang2 di sekelilingku mula batuk2. Aku rasa pelik. Kemudian, tekakku mula rasa pedih dan rasa pahit. Ah... semburan gas kimia rupanya. Tapi kali ni mereka gunakan yang ringan punya, ia tak pedihkan mata tapi boleh dirasa di tekak dan hidung (wah aku sudah pakar sekarang. sila tepuk). Tak cukup bajet ke, bang?

Kak Lat kemudiannya mengarahkan kami supaya bersedia di balai polis (IPD PJ). Dia minta aku sebarkan SMS kepada peguam2 hak asasi yang lain. Maka aku mula menyebarkan SMS ke seberapa ramai peguam yang boleh, kali ni bukan sahaja kepada pasukan 'urgent arrest' Pusat Bantuan Guaman, tetapi juga kepada peguam2 drpd Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam yang aku kenali.

Setibanya di IPD PJ, aku nampak Temme, koordinator SUARAM yang mengendalikan kes2 pelarian berdiri di hadapan balai. Itu menandakan bahawa perkara itu sudah tersebar luar dan SUARAM akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan polis secepat mungkin.

Tidak berapa lama kemudian, YB Tian muncul. Beliau sepatutnya memberikan ucapan khas pada majlis hari jadi yang tidak sempat diadakan itu. Kemudian, beberapa orang peguam yang telah dihubungi juga tiba. Kami semua berlegar2 di hadapan balai kerana tidak dibenarkan masuk, dan pagar balai telah dihalang oleh FRU.


Pegawai2 FRU yang ditugaskan menjaga pagar balai. Wow. 'Pengganas'nya kami!

Disebabkan kebosanan menunggu bulan jatuh ke riba, aku dan beberapa peguam muda lain bertanya kepada Kak Lat samada kami patut menyambung saja acara di hadapan balai ini, memandangkan kek kek kek sudah tiba. Ya... kami ada 3 biji kek! Kak Lat jawab... kalau 'daring', buatlah.

Ha apa lagi. Itu dah kira lampu hijau la tu. Farhana dan Sasha mula menuju ke kereta untuk mengambil 2 biji kek. Satu lagi kek adalah daripada wakil DAP (dan kek mereka lebih lawa daripada kek kami :p). Black & Meor yang sedang minum di gerai berdekatan, dipanggil untuk memeriahkan majlis. Kak Lat menyuruh kami menyimpan sebiji kek untuk 16 pelarian yang ditangkap. Maka kami buka 2 kotak kek (kami punya dan DAP punya), dan letakkannya di atas kotak2 air mineral yg kami bawa sekali. Kami pasang lilin dan nyanyi lagu Selamat Harijadi kepada Aung Sang Suu Kyi. Kemudian, ada orang suruh nyanyi lagu itu sekali lagi untuk Eric. sebab 19hb Jun juga adalah harijadi dia. Ooo patutlah dia beremosi terlebih :-)

Selepas nyanyi lagu Selamat Harijadi, Black pun mula nyanyi lagu2 kebebasan. Semua orang bertepuk tangan. Kemudian kami mula potong kek dan agih2kannya di kalangan kami. Anehnya, polis tak ganggu pon kami walaupun kami agak bising. Kan elok kalau mereka biarkan je kami teruskan acara di Taman Jaya tadi? Sama je!!!

Kemudian, Tian telah buat tindakan kelakar dengan menghulurkan 2 pinggan kek kepada polis2 di sebalik pagar yang ditutup. Dan, mereka ambil kek2 itu dan makan! Tsk3x...

Tidak lama kemudian, 3 orang pelarian yang mempunyai status sah telah dibenarkan keluar oleh polis. Walaubagaimanapun, 13 lagi masih ditahan. Kami terus menunggu.

Apabila jam menunjukkan hampir pukul 12, Kak Lat telah menerima SMS daripada seorang pelarian daripada dalam balai yang menyatakan bahawa mereka akan dibawa ke lokap pada malam itu. Beberapa minit kemudian, kami nampak sebuah trak polis keluar daripada balai. Sebaik sahaja trak tersebut melepasi kami, kami nampak para pelarian tersebut di dalam trak melambai2 ke arah kami.

Aku rasa sangat sebak pada waktu itu. Ini adalah kerana kes2 pelarian tidak sama dengan kes2 biasa. Kemungkinan besar mereka akan dihantar pulang ke negara asal atau disumbat ke kem pelarian yang sesak dan kotor. Atau, bagi mereka yang masih belum memperoleh sijil pelarian (walaupun sudah membuat permohonan sah kepada UNHCR), mereka akan dihukum di Mahkamah dan akan disebat sebelum dihantar ke kem sebelum dihantar ke negara asal.

Adakah ini akan menjadi kali terakhir aku melihat mereka? Aku teringat akan keseronokan kami bersama2 membuat persiapan untuk acara petang tadi. Ketika aku menoleh ke kiri, aku lihat Fadiah yang berada di sebelah aku telah menitiskan air mata dan matanya merah.

Selepas trak itu berlalu pergi, kami secara beransur2 meninggalkan perkarangan IPD PJ. Perasaan kami bercampur baur. Kami rasa sedih kerana majlis itu dianjurkan kami. Kami juga marah kerana polis tidak sepatutnya menangkap pelarian2 tersebut. Mereka mempunyai status sah pelarian yang diiktiraf komuniti antarabangsa dan mereka bukan penjenayah!

Aku tak tahu bagaimana untuk menamatkan cerita kali ini kerana aku rasa ia belum sampai ke penghujungnya. Aku harap aku akan dengar khabar yang baik tentang pelarian2 tersebut tak lama lagi.

Cerita ini aku taip sambil makan kek yang sepatutnya diberikan kepada pelarian2 yang ditangkap, tapi tak sempat diberi. Hiba.

3 komen:

Jim. Heris berkata...

pelarian Burma... selekeh, tak hensem, busuk, sebab tu kena layan macam tu. Kalau dari Bosnia Herzegovina ke, Georgia ke, tentu diorang join bikin konsert!

tali kasut berkata...

bila agaknya nak celebrate bday tok guru nik aziz plak..semangat jugak nak pegi..

Diba berkata...

Kisah yang touching. Tidak berada di sana tp dpt imagine/gambaran drpd kisah tu. Any update about the refugees, plz let us know. Semoga mereka selamat. Amin