Hope2Walk- Hidup Mesti Terus






Kenal dengan dua orang kanak-kanak di atas ini? Mereka ialah anak-anak Kak Sham (Raja Rohaisham) bersama kartunis Ronasina aka KulupSakah aka Fandi yang banyak melukis untuk Merdekareview sekarang. An-nur dan An-Nisa mengalami Cerebral Palsy (lumpuh otak), Mitchondrial Disease dan Global Developmental Delay. Aku agak rapat dengan keluarga ini walaupun Ronasina pernah sabotaj aku dengan melukis aku berleher besar.





Meraikan harijadi Kak Sham.

Sejak beberapa bulan yang lalu, keluarga ini telah melancarkan kempen Hope2Walk untuk An-Nur dan An-Nisa. Kempen ini bertujuan untuk mendapatkan dana bagi perbelanjaan perubatan An-Nur dan An-Nisa di Beijing menjalani rawatan, latihan fisioterapi dan program pemulihan yang intensif sebelum meneruskan program rawatan dan persekolahan khas Cerebral Palsy di United Kingdom. Jumlah wang yang disasarkan ialah sekurang-kurangnya RM500 ribu dikutip pada Februari 2012. Untuk maklumat lanjut kempen ini, sila klik di sini.

Pelbagai cara telah dilakukan untuk menjayakan kempen Hope2Walk, termasuklah membuat rayuan dan permohonan melalui kaca tv.

Walaubagaimanpun, Tuhan lebih sayangkan kanak-kanak ini. Di tengah-tengah kerancakkan kempen Hope2Walk, pada 22 Disember 2011, An-Nisa telah menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika usianya baru 10 tahun kira-kira pukul 9:30 pagi, padahal arwah dan adiknya baru saja muncul di kaca tv pada pagi tersebut.

Berbekalkan baki semangat yang masih ada, keluarga, kawan-kawan dan para sukarelawan Hope2Walk meneruskan kempen ini untuk An-Nur. Kempen ini sudah hampir tiba di penghujungnya kerana An-Nur sekeluarga akan berangkat ke Beijing pada pertengahan Februari ini. Bukan kerana wang sudah cukup, tetapi rawatan tidak boleh ditangguh lagi melihat pada keadaan struktur tulang An-Nur yang dikhuatiri akan membahayakan organ-organ dalamannya.

Esok, Hope2Walk akan mengadakan satu acara jualan sambil menderma di Muzium Negara sepanjang siang. Sila rujuk pada poster di bawah untuk butir-butir acara. Aku juga akan berada di sana, jadi tukang angkut barang.



Sekiranya ada yang tidak boleh datang acara di atas, anda masih boleh menghulurkan sumbangan melalui nombor akaun yang tertera di bawah:



Jumpa di sana :)


Annisa 8 Feb 2001-22 Disember 2011

0 komen: