Diam.

Sejak akhir-akhir ni aku seronok pula menjadi senyap. Tapi itu bukan bermakna aku tak bekerja. Aku masih berulang alik ke selatan untuk kes pengusiran dan rampasan tanah peneroka yang tak sudah-sudah. Masih meneruskan kes saman terhadap polis yang melepaskan tembakan rambang. Masih berlari-lari ke balai polis bila mereka sewenang-wenang menahan pejuang hak asasi yang mewakili suara rakyat. Dan yang penting masih makan gaji. Kalau takde gaji, takde nasi. Takde nasi, takde tenaga. Kalo aku takde tenaga, siapa nak berlari-lari ke balai polis bila korang kena tangkap?

Jadi kenapa aku senyap?

Sebab, bulan ni bulan Disember.

Sebenarnya beberapa tahun sebelum tahun 2009, bulan Disember ialah waktu aku bercuti. Hampir sebulan. Kenapa lama sangat? Sebab, sepanjang tahun aku tak ambil cuti. Takde masa. Aku hanya ambil cuti untuk pergi ke Kamunting, melawat tahanan ISA. Oh ya, tahun 2008 aku ambil cuti 4 hari untuk berkempen pilihanraya. Aku hanya akan perasan bila bos kata 'sila ambil cuti dan habiskan cuti tahunan anda', lebih kurang macam tu lah. Bila dah dicampur tolak cuti hujung minggu, cuti hari Natal dan Raya Haji (yang kebetulan asyik jatuh pada bulan Disember waktu tu), memang hampir sebulan.

Cuti hampir sebulan aku buat apa? Mula-mula tidur. Fuhhh tergolek-golek wa cakap lu. Aku pi beli langsir tebal semata-mata untuk jadi 'dracula'. Lepas bosan tidur, tengok tiwi, makan. Lepas tu tenung makanan, tiba-tiba rasa nak belajar masak. Jadi aku akan belajar masak. Bila masuk minggu kedua selalunya masakan aku dah sedap, dah boleh makan. Tapi untuk tempoh sebulan tu sajalah. Sebabnya bila nak masuk bulan Januari, aku akan takde masa nak masak semula. Masuk bulan Mac dah lupa semua (eleh alasan sebenarnya masakan aku memang tak sedap pun).

Dalam masa sebulan tu, aku akan ambil masa seminggu buat 'road trip'. Pi jalan-jalan cari makan. Tapi selalunya dalam negeri ajalah, sebab waktu tu gaji cukup-cukup makan. Aku hanya pi luar negara bila ada 'orang' belanja, yakni pergi konferens sana sini.

Tapi semua tu dah tinggal kenangan.

Bila aku masuk firma baru, paten cuti sebulan tu dah takde. Sebab paling utama ialah aku mula kerja pada bulan September. Gila kau baru kerja 2 bulan dah nak minta cuti sebulan? Jadi aku tukar pola. Di Malaysia ni Mahkamah terutamanya Mahkamah Tinggi akan 'berehat' daripada melakukan 'kerja-kerja berat' pada pertengahan bulan Jun dan Disember. Jadi, aku minta cuti bulan Jun. Tak banyak, minta cuti 7 hari je. Tapi campur tolak hujung minggu, boleh la pi Vietnam.

Tapi entah kenapa, bila dah masuk bulan Disember ni, aku mula rasa tak keruan. Disember tahun lepas aku masih gagah. Mungkin kerana teruja dengan kerja baru dan masih terlalu awal untuk bercuti. Tapi bila dah lebih setahun ni, angin hujung tahun tu datang balik. Mungkin aku rindu saat-saat tidur tergolek-golek dalam bilik yang gelap 24 jam. Mungkin sebab dah lama tak tenung makanan sambil fikir alangkah bestnya kalo aku boleh masak cenggitu. Mungkin dah lama tak tengok tiwi cerita Akademi Fantasia sambil fikir 90% daripada diorang ni tak sedar ke diorang takde bakat? Jadi aku mula mendiamkan diri.

Dengan rakan-rakan media juga aku begitu. Aku sedar dunia masih berputar walaupun aku tiada. Masih ramai yang ditindas hak asasi mereka oleh orang-orang jahat. Kepada kawan-kawan, maafkan aku bila korang nak wawancara, aku menolak. Minta beri kenyataan tentang kes baru pula aku dengan sebaik mungkin menolak dan minta telefon rakan sejawat. Bila toleh kiri kanan takde orang, baru aku buka mulut. Aku agak selesa kalau namaku tak disebut di mana-mana. Buat pc apatah lagi. Itu barulah namanya cuti.

Tapi jangan risau, aku masih 'available' jika dikehendaki untuk berlari-lari ke balai polis, jika diperlukan. Aku juga masih ke Mahkamah. Tetapi selain daripada itu, aku adalah di dalam angin cuti. Hari biasa, aku buat kerja seminimum mungkin. Hujung minggu pula berada di rumah, tengok tiwi, tenung makanan, bergolek-golek, dan keluar jalan-jalan dengan encik 'ehem'. Dan tak bawa pulang fail-fail ofis ke rumah.

Selagi loyar seumpama aku masih boleh dikira dengan jari, bak kata Tuan Haji Sulaiman kerja berlari-lari yang aku buat itu ialah fardu kifayah. Berdosa kalau tak tolong. Haa...sebab itulah, kita perlu rekrut lebih ramai loyar-loyar baru yang berani untuk melawan penindasan. Yang boleh buat lebih daripada sekadar forum di dalam dewan atau menulis berjela-jela di dalam rantaian emel yang takde pembaca untuk di-'convert'. Tapi itu cerita lain. Pokoknya, kita perlu lebih ramai loyar berani supaya korang tak bosan asyik tengok muka yang sama dan aku pula boleh tidur tergolek-golek pada bulan Disember.

Selamat meraikan hari kelahiran Nabi Isa, selamat bercuti dan selamat berehat semua.



3 komen:

kulupSakah berkata...

aku benci dengan sorang kolumnis malaysiakini yg tak apdet tulisan dia tu..tah brapa lama nak ngadap cite hukuman gantung tu tah..

Yuyun@HanLeeYun a.k.a. KuLaT_NaKaL berkata...

cik loyar, selamat hari natal dan selamat berhujung minggu! Heheh..

OrangGilak berkata...

kulup: jgn la bencikan beliau.. beliau sedang berehat :/

yuyun: selamat kepada kamu juga!