Bacalah

Karya terbaru Rahmat Haron, buat Shamsiah Fakeh.

AWAS API PEREMPUAN INI

Jam sembilan pagi hari hartal 20 Oktober
tapi ini tahun 2008 – enam puluh satu tahun kemudian
dia menghembuskan
nafasnya yang penghabisan,
meninggalkan
sejarah besar
dan khalayak yang kecil
memberi hormat
pada tamat
jalan hidupnya;
di kuburan
pokok nangka
rumpun pandan dan pohon kelapa,
berkumpul
dua tiga orang anak-anaknya,
menangis
dua tiga orang cucu-cucunya,
sedikit sahabat-handai
sedikit keluarga
dua tiga kerat pemimpin
dan sedikit peminat
bersedih-sedihan mengalirkan air mata.
sedikit musuhnya Bernama RTM
-tiba-tiba membawa berita tanpa tipu setelah hayatnya tiada-
setelah helah bertahun-tahun dia dihitamkan tanpa putih,
paling kurang menjadi kelabu pun tak ada
dan
parti telah lama membuangnya.

benar ini bandar
ada urusan dan alasan
ada mesyuarat dan persidangan
ada kerja dan kesibukan
ada janji dan pertemuan
ada parti berseronok dan parti politik
apalah pentingnya
jenazah tanpa nyawa
“kita ambil hikmahnya
belajar sejarahnya, itu yang utama.”
ah, kuburan tanda kematian
pengkebumian itu ritual agama
adat resam dan budaya.


aku memang dah tak ada kerja lain
bolehlah menyibuk-nyibukkan diri,
kalau tidakpun
aku hanya
melepak dan berkhayal dan bermimpi dan bercakap dan membebel
tentang revolusi yang tak pernah jadi-jadi.


awan gelap
bergumpal hodoh
keruh langit
meratapi
pemergian seorang tokoh,
benar juga ini bukan pesta keramaian
tidak perlu berdedai-dedai
manusia seperti keldai
berbaris
memberi tabik hormat,
tidak perlu dipaksa semua ini,
dia bukan jenderal atau menteri atau longgokan bangkai-bangkai di makam-makam mahal atau artifak awetan dalam muzium
penuh prestij, ada kelas dan tinggi martabat itu.

dingin selepas asar
waktu arab
kasar hujan berat dan angin kuat
kencang bertiup
lembut tanah basah
kampung
malaysia raya
mengambus jasadnya
di sana mata air sungai besi
begitulah keras hatinya
seperti waja keluli.

Kesedihanpun mengalir
dalam hatiku seorang laki-laki
yang lemah
tak berdaya berdepan dengan sejarah dan cerita
gagahnya
aku hanya berkata-kata, bercakap, menjerit terlolong
terhoyong-hayang
meneguk alkohol, memegang botol-botol kecewa
sambil melukis atau menulis-nulis puisi cinta dan benci.


Kau tahu, suatu waktu dia cukup garang bersuara
melaungkan revolusi merdeka ibu pertiwi
seorang perempuan penuh api di dada
jiwa yang luas, fikiran yang cerdas
otakku semakin kerdil dibuatnya
aku hanya bersemangat buas,
tapi melihat matanya aku menjadi terlalu ringan seperti kapas
dan buta kerana warnaku cukup pekat merahnya tapi hanya pada buku dan gaya dan cap dan jenama dan stail dan fesyen belaka.

berat senjata dan cita-cita di tangannya – tangan seorang perempuan
yang menggoncang penjajahan dan dunia ketuanan laki-laki
di tanganku hanya keringat
gementar kesejukan
kederatku selalu tak larat
merdekaku hanya khayal semata
dan dia serikandi benar-benar memegang janji
sebuah revolusi
merdeka dengan darah!
“pengorbanan, berkorban, terkorban”
dan dia adalah korban,
dalam perjalanan sejarah yang panjang
dalam perang melawan penindasan
dalam darurat dan khianat
dalam berontak
meniti zaman pergolakan.

dia benar-benar
menyintai tanah air
seorang kawan
seorang komrad
seorang pemberani
seorang gerilyawati
seorang sosialis
seorang komunis
seorang pemimpin
seorang pemikir
seorang penulis
seorang pensyarah
seorang buruh kilang besi
seorang kekasih
seorang isteri
seorang emak
seorang nenek
dan tindakan-tindakan telah bergerak
amal dan pengalaman
telah mengoyak-ngoyakkan teori
kulit luruh menampakkan isinya.


Tapi aku cuma bermimpi
dan dia benar-benar nyata
bukan khayal membina syurga di bumi.

aku lelaki kehilangan upaya
hanya rupa seolah wira
ber t-shirt kan che guevara
dan wajah-wajah gagah
engels, marx, lenin, stalin, trotsky, castro
atau lei feng atau ak gopalan – AKG,
iya yang kutatap masih juga tegap tubuh-tubuh laki-laki.
di tanganku panji-panji
berbenderakan tukul dan sabit dan kukuh genggaman tangan
buruh dan petani
memetik bintang-bintang
keindahan ayat-ayat cerita orang lain
sengsara dan bahagia oktober 1917
sengsara dan bahagia rakyat di Kuba
sengsara dan bahagia di Selatan Amerika
aku menjadi pengkhayal rupanya
mendambakan romantika kejayaan revolusi yang jauh
lalu menghirup teh tarik kow kurang manis
di restoran mydin bangsaT utama
bersama kawan-kawan
roti canai mencecah kari
bersembang dan berbual panjang tentang itu dan ini
menunggu datangnya mati.

peduli apa aku
pada deng xio peng
atau mao tse tung
pada merah
revolusi budaya

tapi aku peduli
padanya
Shamsiah Fakeh
dan AWAS revolusi
tanah Melayu,
iya
revolusi
yang gagal itu
kerana
dia berjaya
menyalakan
api dalam diriku
untuk belajar menjadi seorang laki-laki berani
bukan berani menjadi hamba atau tuan
tapi tidak takut mengangkat saksama sesama manusia
salutku pada nya
seorang perempuan
revolusioner sejati.

20 Oktober 2008
aku tak hadir di sekolah revolusi.
dari kuchai lama
ke tanah perkuburan kg. malaysia raya, sungai besi, kl.


Sedih

Hari ini ulang tahun ke-61 Hartal Se-Malaya. Satu kebetulan, Ketua Angkatan Wanita AWAS, Shamsiah Fakeh pula meninggal dunia pagi tadi. Aku dapat tahu daripada Din Petai pada pukul 12 lebih. Masa tu, aku baru pulang dari Mahkamah Shah Alam menuju je ofis. Sampai di ofis, aku cuba untuk menyibukkan diri dengan membuat kerja yg deadlinenya esok, tapi aku tak boleh.

Maka aku pon hubungi Black, dan kata aku mau pegi. Lepas tu hubungi bos, kata mau pegi pengebumian. Lepas tu hubungi Black balik, tanya nak jumpa kat mana. Black kata naik kereta aku lah senang, dan minta aku menyimpang separuh jalan untuk ambil kawan kami, Isham.

Kenapa agaknya aku beria2 nak ke pengkebumian arwah Shamsiah Fakeh? Selain daripada hakikat bahawa beliau seorang lagenda, sebab2 lain adalah seperti di bawah:-

a. beliau kawan baik arwah atok dan wanku (ya... atok dan wanku 'satu grup' dgn beliau)
b. beliau contoh wanita berani. Kalau aku sultan, dah lama dapat Tun dan Panglima beliau ni. (Sultan tau, bukan Yang Dipertua Melaka)
c. aku setuju dgn beliau, iaitu kalau nak menentang penjajah, biar habis2an dan berdarah2an. Kalau tak, memang penjajah takkan reti bahasa. Tgklah sekarang, org kita pulak yang dah tak reti bahasa.
d. beliau salah sorang susuk yang buat aku tak percaya lagi dgn buku sejarah sekolah.
e. kesimpulannya, beliau best.

Aku sedih dan terkilan sebab tak dapat meluangkan masa melawat beliau ketika beliau terlantar di hospital, walaupun aku telah lama dimaklumkan (siap ada alamat dan no. bilik wad, okay? ya, sila tampar saya sekarang). Aku rasa diri sendiri sangat jahat. Tengok wayang, ada masa pula. Pegi makan kat telawi, ada masa pulak. Tapi bila nak melawat 'a living legend' yang sedang sakit, seribu dalih pulak.

Dalam perjalanan menuju ke tenpat pengkebumian, Black beritahu aku, yang semalam dia baru je menziarahi seorang 'living legend' dengan kawan2 kami yg lain. Aku tanya alamat 'living legend' tersebut, supaya aku boleh menziarahi beliau selagi ada kesempatan. Black beritahu alamatnya, dan rupa-rupanya 'living legend' tersebut tinggal dengan anaknya, betul2 di belakang rumah ayahku di USJ Subang. Kalau buka tingkap belakang rumah, dah boleh nampak. Beliau tinggal di sana bertahun2 dah. Tak guna punya jiran la aku ni.

Ya, sila tampar saya sekarang.



atas:sementara menunggu jenazah disembahyangkan-rahmat, aku, isham dan din
tengah: dimasukkan ke dalam van- 3 dari kiri belakang ialah Dr. SyedHusin
bawah: siap untuk dikebumikan-belakang ialah syukree aka pokok
(gambar2 oleh Black)

Menyambut Lebaran


*Burp* Alhamdulillah. Itu je la yang dapat aku beritahu pasal sambutan hari raya aku tahun ni :D