Student Power

Di bawah ialah satu emel comel yang aku terima daripada King Chai, salah seorang daripada pelajar sains politik UKM yang dikenakan tindakan di bawah AUKU setahun lalu akibat berada di kawasan pilihanraya Hulu Selangor (weiii dia tu pelajar sains politik lah mestilah nak belajar pasal pilihanraya itupon takleh fikir ke?)

Pada hari kejadian aku sedang buat kerja di opis seperti biasa dan terima panggilan daripada mahasiswa yang minta bantuan. Maka aku dan Radzlan pun pergi membantu. Di situlah kami berkenalan dengan 4 orang pelajar sains politik ini yang kemudiannya digelar UKM4.

Aku telah minta kebenaran daripada King Cai untuk menerbitkan kandungan emel beliau kerana aku rasa pandangan dan suara hatinya wajar dikongsi bersama :)


Salam hormat kepada kalian,

Emel ini ditulis dan dihantar khas kepada kamu semua kerana kalian merupakan antara core group kepada perjuangan untuk mansuhkan AUKU, bukan kerana masa depan kami berempat sahaja, tetapi kerana kalian ingin membebaskan minda generasi muda ini daripada kongkongan AUKU.

Bagi diri saya sendiri, saya merasakan bahawa perjuangan ini jauh dari selesai dan saya rasa amat syukur kepada Ilahi kerana mempunyai kalian, bukan sahaja sebagai rakan seperjuangan dan komrad, tetapi juga sebagai abang, kakak dan adik kepada saya sepanjang tempoh satu tahun ini.

Banyak pengajaran dan pengalaman yang telah kami berempat perolehi daripada usaha kami, terutamanya dari segi bertindak balas untuk menentang kezaliman dan hegemoni negatif oleh pihak yang berkuasa ke atas kami, empat orang mahasiswa, yang bergantung sepenuhnya kepada sokongan keluarga, rakan-rakan dan kepercayaan daripada masyarakat umum untuk membebaskan minda dan pemikiran generasi ini.

Kepercayaan.

Komitmen.

Disiplin.

Pengorbanan.

Semua ini merupakan nilai-nilai yang telah ditanamkan dalam diri kami, jurusan daripada kes ini. Hanya kerana kami ingin belajar dan kami ingin tahu.

Apakah itu keadilan apabila sekali lagi kami akan diheret untuk menghadapi prosiding tatatertib pada 4hb. Mei 2011 apabila kami semua begitu hampir untuk menamatkan pengajian 3 tahun kami? Lebih-lebih lagi apabila kami sedang bertungkus-lumus menyiapkan tesis serta mengulangkaji untuk menghadapi peperiksaan akhir yang akan menentukan masa depan kami berempat.

Apakah itu keadilan apabila kami dihentam dan difitnah di Facebook, Twitter, blog oleh proksi-proksi kepada pihak yang berkepentingan dalam kes kami?

Bagi saya, perkara ini amat straight forward dan tidak perlu berbelit-belit. Sudah 1 tahun kita berjuang bersama untuk menghadapi cabaran dan tohmahan yang dilontar kepada kami berempat dan penghinaan kepada kematangan mahasiswa. Dan kita tidak boleh menghampakan rakan-rakan dan barisan mahasiswa yang lain, yang telah memberi komitmen, sokongan dan kepercayaan kepada kumpulan kami untuk meneruskan perjuangan.

Tanggal 22hb. April 2011, kes UKM4 akan genap satu tahun dan saya ingin mengambil peluang untuk berterima kasih kepada kalian kerana sanggup bersama kami berempat sepanjang tahun ini. Jangan kita berputus asa lagi. Selagi AUKU itu masih wujud dan terus menjadi alat kepada hegemoni pemikiran mahasiswa di Malaysia, selagi itu kita ada tanggung jawab untuk mencabar legitimasi dan autoriti undang-undang yang drakonian dan mengekang pembangunan masyarakat.


Student power!


King Chai
18 April 2011

2 komen:

Tanpa Nama berkata...

jap....
Bagi diri saya sendiri, saya merasakan bahawa perjuangan ini jauh dari selesai dan saya rasa amat syukur kepada Ilahi kerana mempunyai kalian, bukan sahaja sebagai rakan seperjuangan dan komrad, tetapi juga sebagai abang, kakak dan adik kepada saya sepanjang tempoh satu tahun ini.

king chai ke yang tulis nih?

OrangGilak berkata...

ha ah