Bersatu Teguh, Bercerai Roboh

Adakalanya, seorang peguam kena buat lebih daripada menjadi seorang peguam. Adakalanya, tugas merepresentasi bukan sahaja perlu dibuat di dalam Mahkamah atau ketika menandatangani perjanjian.

Tetapi juga, merepresentasi mereka di atas jalan raya.

Minggu lepas adalah kali pertama aku lihat bos aku berdemo dan memprotes bersama-sama dengan anak-anak guam kami, iaitu penduduk-penduduk Kg. Sg. Terentang.

Kalau korang nak tahu apa yang telah berlaku, sila baca sini dan sini dan sini.

Jangan salah faham pula, kami bukanlah jenis peguam yang tidak tahu menghormati keputusan Mahkamah yang Mulia atau berniat hendak menghina Mahkamah. Sebenarnya kes ini ada dua bahagian- satu saman terhadap TNB, dan satu lagi saman terhadap Kerajaan Negeri Selangor. Walaupun kes saman terhadap TNK telah didengar sehingga ke peringkat Persekutuan, tetapi saman terhadap kerajaan negeri Selangor masih belum didengar dan masih di dalam peringkat pengurusan kes.

Kes ini berlaku sebelum kerajaan PR mengambil alih Selangor lagi. Kerajaan lama telah memberi tanah orang kampung kepada TNB untuk mendirikan pencawang eletrik. Mereka menggunakan Akta Pengambilan Tanah. Jika menggunakan Akta tersebut, pengambilan tanah oleh kerajaan akan menjadi halal dan penduduk yang terlibat wajib meninggalkan tanah tersebut, samada suka atau tidak.

Sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa notis pengusiran daripada TNB adalah sah, TNB dengan tak sabar-sabar terus datang ke kampung tersebut dengan jentolak mereka untuk merobohkan rumah. Sangka mereka kerja tu senang je, sebab mereka tak sangka yang 200 lebih orang-orang kampung akan datang menunggu mereka di pintu masuk kampung!

Sehari sebelum itu, aku menerima sms daripada bos, meminta aku datang ke kampung tersebut pada awal pagi. Bila aku tanya kenapa, katanya "supaya kamu boleh bersedia untuk menjamin saya keluar lokap nanti". Sangkaku bos tengah buat lawak, tapi rupanya tidak.


Bosku duduk di antara YB Tian Chua dan YB Gan

Di dalam kes ini, pihak kami serta kerajaan negeri yang baru telah cuba untuk berdiskusi dengan TNB dengan memberikan laluan dan tanah alternatif atau cara alternatif iaitu dengan pemasangan kabel di bawah tanah. Tapi pada peringkat awal, TNB masih berdegil, mereka nak kampung itu juga, dan nak bina pencawang juga. Apa yang best sangat bina pencawang di atas tanah kampung itu, aku pun tak tahu.


Gambar di belakang t-shirt ini sudah cukup untuk menerangkan ketakutan penduduk


Moon Hui daripada SUARAM juga turun memberikan sokongan kepada org kampung

Kes ini adalah antara kes 'urgent-arrest' paling senang yang aku pernah lakukan, kerana orang-orang kampung lebih garang daripada aku. Apa yang aku hanya perlu lakukan ialah memerhati mereka dari jauh sambil minum teh. Setakat ini orang-orang kampung telah berjaya menghalau orang-orang TNB serta beberapa malaun yang cuba-cuba menghasut orang-orang kampung supaya meminta tolong daripada orang BN. Eleh... sejak dari tahun 2005 apabila orang-orang kampung tu kena tangkap kerana mempertahankan kg, korang ada buat apa-apa ke? :p


Pakcik berantai emas besar ini cuba menghasut orang2 kampung supaya meminta tolong drpd MCA, tapi kemudian dia dihalau oleh orang-orang kampung

Selepas beberapa drama berlaku, akhirnya kami menerima satu panggilan daripada bos yang menyatakan bahawa Menteri Tenaga telah bersetuju untuk mengadakan satu rundingan dgn TNB, kerajaan negeri dan orang kampung dan telah berjanji bahawa TNB tidak akan datang mengganggu kampung tersebut untuk beberapa hari sehingga selesai rundingan.

Begitulah kuasa rakyat. Kalau ramai-ramai bersatu, perkara mustahil akan jadi tak mustahil. Aku harap rundingan akan berjaya sebab kalau tidak, aku kena ke Rawang lagi, minum teh sambil memerhati orang-orang kampung yang bersopan-santun berubah menjadi garang.

PTPTipu dan Sampah Plastik

Pagi tadi, aku ke Kl Sentral menjalankan rutin bulananku untuk membayar pinjaman PTPTN (ya, aku adalah seorang pembayar hutang PTPTipu, sila tepuk tangan. Digelar PTPTipu selepas ada isu kenaikan faedah pembayaran semula masa aku belajar dulu). Walaupun lorong kereta untuk ke tempat parkirnya adalah sangat sempit seperti lubang kubur, selepas dihon beberapa kali sebab bawa kereta 'super-slow', aku pun berjaya sampai dan memparkir keretaku dengan selamat tanpa ada kesan calar. Heh.

Bulan ni aku bayar lebih banyak daripada biasa, sebab nak qada' bulan lepas aku tak bayar. Sebenarnya aku bukannya NAK sangat bayar, tapi aku takut kena senaraihitam dengan Jabatan Imigresen, tu aje. Nanti terbantutlah rancangan aku nak ber'backpacking' ke Vietnam bulan Jun ini :p

Selesai membayar, tiba-tiba perutku berbunyi (aku benci tul cerita kebetulan-kebetulan ni macam drama melayu kat tv3). Nak duduk bersarapan, takut tak sempat. Jadi aku pergi ke kedai roti berhampiran kaunter PTPTN tadi. Aku beli 2 roti, satu beintikan tuna, satu sosej ayam berkeju. Aku perhatikan adik yang menjaga kaunter itu memasukkan roti-roti tersebut di dalam plastik lutsinar yang berlainan. Mungkin kerana hendak menjaga rasa dan teksturnya. Kemudian dikeluarkannya lagi sebuah plastik bertangkai, tujuannya untuk memasukkan kedua-dua plastik lutsinar bersisi roti itu tadi.

"Tak payahlah dik", kata aku.

"Tak nak ke?" adik tadi bertanya pada aku dengan muka yang agak terkejut.

"Ye, saya boleh masukkan dalam beg, muat ni".

Aku rasa, adik penjaga kaunter tu telah bertanyakan soalan yang salah. Isunya bukan samada aku nak atau tak nak plastik tersebut, tapi samada aku PERLU atau tidak plastik tersebut? Dua buah plastik telah habis digunakan untuk melindungi roti, kalaupun hendak bagi kesenangan kepada pengguna dengan memberikan plastik bertangkai, kenapa tidak disediakan saja plastik bertangkai untuk tujuan yang pertama tadi?

Itu tandanya, ramai orang kita yang masih belum sedar akan kesan pembuangan plastik dan keburukkannya terhadap alam sekitar. Plastik ni, bila dah jadi bahan terbuang, ia susah nak dilupuskan dan susah nak diuraikan untuk menjadi sebahagian daripada tanah. Akhirnya ia akan terkumpul berlonggok macam besi-besi buruk dan komputer-komputer lama yang dah tak boleh pakai (Betul ke penerangan saya ni cikgu?)

Di Selangor, kerajaan negeri telah melancarkan kempen 'Hari Tanpa Plastik' di seluruh Selangor pada setiap hari Sabtu, berkuatkuasa sejak awal Januari lepas. Tujuannya ialah untuk mengurangkan penggunaan plastik dan menjaga alam sekitar. Kalau korang nak beli barang di mana-mana pasaraya di Selangor terutamanya di pusat bandar pada hari Sabtu, silalah bawa beg/bakul sendiri. Kalau tidak, korang akan dikenakan bayaran tambahan sebanyak 20sen untuk plastik yang diberikan.



Selain di Selangor, sebuah pasaraya di tempat aku tinggal di Bangsar juga telah mengambil inisiatif yang serupa. Pasaraya ni lebih 'advanced' lagi, kerana penalti yang dikenakan dikuatkuasakan setiap hari. 10sen untuk setiap pembelian menggunakan plastik.

Kesimpulannya, jagalah alam sekitar supaya hidup kita tak dikekelilingi oleh sampah, penalti bersen-sen (lama-lama jadi bukit wooo) dan hutang PTPTN.

Eh, ada kena mengena ke?

Kisah Pontianak dan Pengajaran

Pada malam Sabtu yang lepas, aku ke sebuah kedai buku yang agak besar di The Curve. Buku-buku cerita berbahasa Inggeris banyak, samada yang baru atau yang terpakai. Aku melalui satu bahagian kedai buku itu, iaitu bahagian buku kanak-kanak. Di bahagian kanan bahagian itu, terdapat 2 buah rak buku yang ditempatkan untuk buku kanak-kanak dalam bahasa Melayu. Apabila meneliti buku-buku tersebut, aku dapati bahawa ada 4 barisan rak tersebut ditempatkan untuk seorang penulis yang sama, dan judul-judul bukunya mengandungi sebuah perkataan yang sama iaitu Pontianak dan Hantu.

Kenapa buku tentang pontianak dan hantu-hantu diletakkan di bahagian kanak-kanak? Setelah membelek-belek buku-buku tersebut, baru aku tahu bahawa buku itu adalah satu siri bacaan ringan untuk matapelajaran Bahasa Melayu, kerana di bahagian terakhir buku-buku tersebut, ada ruangan "pengajaran' dan 'ujian kefahaman' yang perlu diisi oleh adik-adik yang membaca.

Oleh kerana buku-buku tersebut sangat nipis, aku sempat habis membaca 3 buah daripada buku-buku pontianak dan hantu-hantu tersebut, dan aku tak tahu samada nak ketawa atau menangis:-

Cerita 1- Pontianak Mengganas

Pontianak telah menyerang sebuah kampung. Ramai penduduk ketakutan. Akhirnya seorang ustaz dipanggil untuk menghalau pontianak. Ustaz tersebut membaca ayat Al-Quran dan menghembuskannya ke muka pontianak. Pontianak pun mati. Kata Ustaz, pontianak itu ketika hayatnya adalah seorang perempuan yang banyak dosa, lalu ia pun mati dipanah petir.

Pengajaran- janganlah kita melakukan banyak dosa ketika hidup, nanti buruk padahnya.

Cerita 2- Pontianak Wanita Inggeris

Beberapa orang penduduk kampung dan pemandu teksi telah ditakut-takutkan oleh seorang pontianak yang menyerupai wanita Inggeris. Setelah diselidik, rupa-rupanya bukan sahaja pontianak itu, malah seluruh ahli keluarganya telah mati dibunuh oleh seorang pembantu rumahnya warga Filipina maka rumah itu pon berhantu dan wanita Inggeris itu menjadi pontianak.

Pengajaran- janganlah kita terlalu mempercayai seseorang itu walaupun kita rapat dengan dia.

Cerita 3- Kisah Orang Tua dan Budak Toyol

Seekor budak toyol telah dikejar oleh orang kampung. Seorang pakcik tua kasihan dengan budak toyol itu, selamatkan dia dan bawanya lari sampai ke atas bukit. Akhirnya budak toyol dan pakcik tua mati dibunuh oleh orang kampung.

Pengajaran- walaupun tolong-menolong adalah amalan yang baik, tetapi janganlah kita membantu orang membuat kejahatan.


Sekian.

Ayam dan Kestabilan



Pertama kali aku berjumpa dengan susuk yang bernama Fared 'Ayam' ni, dia baru habis berlakon dan mengarah pementasan teater berjudul 'Stabil'. Watak Ayam ialah seseorang yang bekerja tak tentu masa. Ada duit, adalah. Tak fikir jangka panjang. Menikmati waktu seadanya. Wataknya berakhir dengan kematian. Terjun flat.

Teater kedua yang Ayam lakonkan juga berakhir dengan kematian. Seorang penyajak yang tak ada pekerjaan lain, tapi ada awek yang kerjanya stabil. Kerana takut ditinggalkan, Ayam ambil jalan membunuh aweknya sebelum membunuh dirinya sendiri. Isk.

Kenapalah agaknya kestabilan menjadi isu penting bagi Ayam? Generasi kedua sebuah penempatan FELDA di Johor dan bekas pelajar jurusan kejuruteraan marin tajaan Petronas ini telah mengambil keputusan penting dalam hidupnya apabila berhenti belajar dan menyambung pengajian di ASWARA. Katanya, dia rasa lebih senang mengekspresikan diri dan pendapatnya melalui seni. Mungkin dia telah rimas diasak oleh pertanyaan-pertanyaan daripada kawan-kawan dan sahabat handai tentang keputusan yang dibuatnya. Yelah, kehidupan sebagai orang seni sepertinya selalu dilihat tidak stabil. Boleh hidup ke?

Baiklah. Mari bercerita tentang buku Ayam. Judulnya? Stabil.

Buku ini adalah kompilasi tulisan-tulisan Ayam yang bersepah2 di buku-buku notanya dan di laman-laman web. Orang cadangkan buat belog, dia tak mau. Nasib baik ada seorang dua kawan yang mengambil inisiatif mengumpulkan tulisan-tulisan Ayam untuk dimuatkan dalam sebuah buku.

Puisi pertama di dalam buku itu, judulnya "Stabil untuk Siapa?' Enough said. Ada juga beberapa catatan, seperti Cangang (catatan bengang), Casan (catatan picisan), Cadiri (cacatan syok sendiri), Cariti (catatan sampahriti) Catat (catatan pantat) dan Cafir (catatan musafir). Semua catatan adalah berdasarkan pengalaman dan perasaan Ayam sendiri, dan perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya dan kawan-kawannya, termasuklah aku. Ceh (nak tau yang mana, sila cari sendiri).

Terdapat juga beberapa puisi berkenaan dengan FELDA dan generasi kedua. Ini bukan puisi biasa, bukan bercerita tentang keindahan kampung, sawah padi, pokok kelapa sawit atau apa-apa sajalah. Ini puisi tentang kemarahan penyelewengan di FELDA, tanah yang makin tandus. Ayam mengajak generasinya kembali ke FELDA sekali sekala, daripada membiarkan tanah itu dimonopoli pihak-pihak yang mengaut keuntungan sesuka hati. Salah satunya pernah aku siarkan di belog ini apabila aku menulis tentang ulasan filem Karaoke, di sini.

Apabila tak mahu menghurai, Ayam akan biarkan saja catatan pengalamannya dalam bentuk dialog. Dialog yang membawa banyak makna, di antara Ayam dan orang-orang di sekeliling. Dialog tentang bangsa dan kaum, dialog tentang persepsi orang terhadap penampilannya, dialog di kedai makan.

Aku syorkan buku ini untuk semua orang. Tak kira siapa- pelajar, peguam, penjaja, pembelog sepenuh masa, penganggur sepenuh masa atau yang masih mencari identiti. Bacalah, dan selamat berkenalan dengan Ayam.



Buku Ayam boleh didapati melalui Zulhabri (019-3083804 atau di laman FBnya). RM10.

Meraikan Perempuan

Berhujung Minggu Bersama Efek Rumah Kaca

Korang pernah dengar pasal band Efek Rumah Kaca? Aku tak pernah... sehinggalah Zulhabri perkenalkan kira-kira 2 bulan lalu. Itupun secara tak sengaja, sebab Zul tertinggalkan CDnya di dalam kereta aku semasa kami ramai-ramai pergi Janda Baik. Memandangkan Zul pada ketika itu masih belum memulangkan CD Kembara aku (hingga sekarang), jadi aku suka-suka hati je lah dengar segala CDnya yang ditinggalkan di dalam kereta aku.

Mula-mula dengar, aku ingat band ni adalah penyanjung Pram (sebab salah satu karyanya juga berjudul Rumah Kaca) atau mungkin juga pencinta alam sekitar. Tapi bila ditanya pada sesi soal jawab di Annexe Pasar Budaya 26hb Februari lalu, kata mereka, ia hanyalah sebuah nama yang catchy. Tsk.

Terus terang, ketika aku mendengar CD mereka di dalam kereta, aku ada rasa sedikit bosan. Susah nak fokus pada lirik apabila musiknya perlahan dengan gaya nyanyian yang agak emo. Tapi bila melihat dan mendengar mereka membuat persembahan secara langsung, baru aku rasa suka dengan band ini. Kekuatan mereka adalah pada permainan musik yang agak terperinci, tersusun dan suara yang mantap (bila nyanyi secara langsung takde la emo sangat mamat tu).

Aku tambah suka bila pada malam pertama yang bertemakan diskustik itu, 4lagu dinyanyikan secara akustik iaitu lagu bertajuk Jangan Bakar Buku (tentang kebebasan berkarya dan pengetahuan), Hujan Jangan Marah (tentang banjir), Di Atas Udara (tentang aktivis Munir yang mati diracun di dalam kapal terbang) dan Cinta Melulu (lagu sinis tentang lagu-lagu cinta yang tangkap leleh). Lepas tu, acara diskusi berlangsung. Kata-kata ahli-ahli Efek Rumah Kaca seperti "pemberian anugerah dalam musik adalah permulaan kehancuran", "apabila keadaan perlu, kami akan turun ke jalan" dan banyak lagi semakin menyerlahkan keseksian mereka. Oops.

Malam kedua, konsert Efek Rumah Kaca di Onecafe, KL.



Efek Rumah Kaca sebagai tarikan utama, menyanyikan hampir 20 lagu tanpa henti, tapi suara tetap maintain. Ini mengukuhkan lagi dakwaan mereka pada malam diskustik, iaitu apabila mereka berlatih, mereka akan berlatih berterusan selama beberapa jam sehinggalah mereka rasa bulu roma mereka meremang, yang menandakan bahawa lagu yang mereka main mempunyai rasa yang cukup, baru mereka akan berhenti. Dasyat tak?


Muka gembira nonton konsert

Lepas konsert, aku dan rakan-rakan lain makan lewat malam bersama Efek Rumah Kaca. Vokalisnya Cholil bertukar-tukar cerita dan pandangan dengan kami, terutamanya dengan Hasmi yang cakap tak berhenti. Rupa-rupanya Cholil pernah menulis untuk Kompas, sebuah akhbar di Indonesia selama 13 keluaran menjelang Pemilu yang lalu. Beliau sangat prihatin dengan isu korupsi di negaranya. Beliau juga bertanyakan tentang Saharil dan karyanya Teroris Bahasa, yang agak laku di Indonesia :)


Bersama Efek Rumah Kaca :) (oleh Hafiz)


Kalau selalu makan lewat malam ramai-ramai macam ni, bolehlah buat gerakan baru :D (oleh Amri)

Aku sangkakan malam itu adalah penutup acara musik yang berfikiran ini, tapi rupa-rupanya tidak. Esoknya, ada lagi:-



Dengan ahli-ahli panel forum yang terdiri daripada Isham Rais @ Tukar Tiub, Fared Ayam, Hasmi Hashim, ahli kumpulan Nitrus dan penampilan istimewa YB Nurul Izzah, tempoh selama 2 jam setengah itu dirasakan hanya sekejap. Syabas untuk Zulhabri dan rakan-rakan... lain kali buat la lagi acara macam ni ye?

Kalau yang mahu mengenali band Efek Rumah Kaca ni, silalah dapatkan CD mereka sekarang. Er tapi kat mana ek? nantilah aku tanya Zul... yang pastinya di kedai-kedai musik dekat rumah korang memang tak kan dapek punyo.



Aku tinggalkan korang dengan sebuah lagu Efek Rumah Kaca berjudul Kenakalan Remaja di Era Informatika (aku dapat dari YouTube... heh). Tak perlulah lap skrin laptop korang, memang konsepnya kabur-kabur gitu, ala-ala kena censored.



Selamat malam.