Psiko Pencuri Hati















Hari ini genap seminggu Psiko Pencuri Hati ditayangkan di pawayam seluruh Malaysia. Saya tak terkejut kalau pembaca tak pernah dengar pasal filem ni sebab promosinya 'kureng' sedikit. Kalau ada pun, di media-media sosial dan berita. Jadi maklumat payah nak sampai kepada peminat-peminat filem di kawasan pendalaman dan yang tidak memiliki akaun media sosial.

Saya berminat untuk menonton filem ini kerana 3 perkara :- Pertama, ia diarahkan oleh Namron; Kedua, lakon layar oleh Ayam Fared; Ketiga, pelakon pembantunya Amerul Affendi.

Apabila saya membaca komen-komen penonton yang telah menonton filem ini di pawagam, ramai yang memberikan respon positif dan menyatakan bahawa filem Psiko Pencuri Hati memberikan nafas baru kepada industri filem Malaysia.

Pada saya, oleh kerana filem ini dijayakan oleh ketiga-tiga nama yang saya sebut di atas, saya dan kawan-kawan saya telah meletakkan satu piawai yang sangat tinggi terhadap isi kandungan filem ini.

Psiko Pencuri Hati ialah filem genre misteri/seram tentang seorang penulis novel misteri yang selalu melihat 'bayangan' pembunuh bersiri yang sedang berkeliaran di ibu kota pada waktu itu. Pembunuh bersiri tersebut diberi gelaran 'Pencuri Hati' oleh media/polis kerana mangsa akan dikerat dadanya dan organ (jangtung/paru-paru atau hati?) akan dikeluarkan. Penulis novel tersebut memerlukan ketenangan jadi kawan baiknya telah mengajak beliau untuk pergi bercuti di sebuah pulau.

Kemudian ada watak seorang bekas peguam (ya, Ayam dan Nam Ron memang ada 'soft spot' untuk peguam dalam kebanyakan produksi) bersama suaminya. Mereka mengalami masalah rumahtangga dan berharap keadaan akan jadi lebih baik sekiranya mereka pergi bercuti. Dan mereka telah pergi bercuti di pulau yang sama dengan penulis novel.

Di pulau pula, ada watak pemilik rumah penginapan bersama isterinya. 

Persamaan kesemua watak-watak yang disebutkan di atas ialah kebanyakan mereka adalah 'psycos in denial' tapi cuba hidup sebagai manusia normal. Dalam apa juga keadaan, hanya ada seorang pembunuh di kalangan mereka. 

Walaubagaimanapun, disebabkan kami telah siap meletakkan piawai yang tinggi sebelum mula menonton, reaksi yang kami beri selepas habis ialah 'bagus, tapi kami harapkan ia lebih bagus, kerana ini Nam Ron.' Lebih-lebih lagi 'twist' cerita yang cuba ditonjolkan bukanlah sesuatu yang baru- mungkin baru untuk filem Malaysia tetapi saya pernah lihat di filem asing sebelum ini. 

Kalau hendak dibandingkan dengan filem-filem Malaysia komersil, Psiko Pencuri Hati memang lebih baik. Lakonan yang diselia oleh Namron dan Ayam hasilnya sudah tentu tidak mengecewakan. Sudah tentu plot jalan cerita ini lebih berisi dan menghiburkan. Malah, tiada siapa akan menyangka filem ini adalah filem berbajet rendah kerana kualiti yang ditonjolkan. Dan para peminat pelakon-pelakon berbakat seperti Sharifah Amani, Bront Palarae dan Amerul Affendi wajar tidak melepaskan peluang menonton pelakon-pelakon kesayangan mereka melakonkan watak yang jarang mereka bawa sebelum ini.

Jadi para pembaca sekalian, jika anda mahu menonton filem Malaysia yang baik dengan pelakon-pelakon yang baik, tontonlah Psiko Pencuri Hati di pawagam.





Selak:Serak



Aku tak pandai gantung 'banner' kat blog. Ni je yang aku boleh buat.

Sebelum terlewat, silalah pergi menonton Selak:Serak di PJ Live Arts di Jaya One. Esok (Ahad) pukul 3 petang.

Teater yang diarahkan oleh Ayam Fared, dilakonkan oleh hanya 2 orang iaitu Khairil Ridzuan K'n dan Lorna  Hoong dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Menyingkap tentang kesan kematian dalam tahanan terhadap ahli-ahli keluarga dan mereka yang terlibat. Satu isu negara yang elok direnungkan semua lagi-lagi di bulan yang mulia ni.

Selalunya topik macam ni bosan dipentaskan, tapi di tangan Ayam Fared, semuanya okay :) 

Selamat berpuasa!

Posto!

Rakan-rakan blogger lain ramai yang tulis pasal peristiwa di Lahad Datu dan Semporna. Tidak kurang juga tentang Festival Filem Malaysia ke-25 yang memberikan anugerah terhormat Pembela Seni dan Budaya Malaysia kepada Dr. Rais Yatim. Tapi aku biarkan dulu. Orang kata, tak baik menulis ketika sedang marah. Nanti menyesal.

(Sebenarnya ayat di atas adalah alasan terbaru untuk aku tangguh update blog ni lagi.... heh heh.)

Tapi tu tak bermakna yang aku tidak menulis langsung. Aku ada... cuma bukan di ruangan ini.

Gambar yang ditepek di bawah adalah bukti terbaru kecurangan aku terhadap blog sendiri.


Muka hadapan Posto!

Posto! ialah projek terbaru kawan-kawan, hasil kerja kuat blogger KulupSakah aka kartunis Ronasina. Di dalamnya banyak tulisan menarik dan kebanyakkannya adalah orang muda, antaranya ialah:

Najwan Halimi - Meroboh Hegemoni
Wan Ji- Konsep Negara Adil
Afiq M. Noor - Kebebasan Media
Athina Marzuki- Aktivisme Anak Muda
Faizal Riduan - Undi Sampah
Lim Hong Siang - Apa Cina Mau?
Adam Adli - Sekolah Jalanan
Wahyudi - PAWAGAM
Aku - Anak Muda dan Pilihanraya

... dan banyak lagi. Best woi!

Cara untuk membeli boleh dilihat di sini.




Dah Nak Dekat Dah!


Anda pernah mengundi? Dah mendaftar sebagai pengundi?

Saya dah dua kali mengundi, iaitu sejak berusia 23 tahun. (ya, sila kira umur saya). Saya mendaftar mengundi sebaik sahaja masuk umur 21. Bukannya susah pun, cuma perlu bawa kad pengenalan dan isi sekeping borang. Tak sampai 2 minit.

Mengundi juga tak susah. Cuma perlu beratur, ambil kertas undi dan tanda pangkah. Tak sampai 10 minit.

Sebenarnya, proses pendaftaran dan pengundian yang singkat itu bukanlah proses paling menyeronokkan ketika pilihanraya.

Proses yang paling menyeronokan ialah ketika  kempen pilihanraya.

Tampal poster atas kereta, depan rumah, lencana, kibar bendera, pakai kemeja-T seragam dan jerit-jerit pakai pembesar suara sambil pusing keliling kampung, saya rasa semua orang pernah buat (kecuali bahagian terakhir tu, mungkin segelintir saja yang pernah buat. Ruginya!)

Tak lama lagi pilihanraya umum ke-13 akan berlangsung. Pilihanraya kali ini mungkin lebih ‘sweet’, sebab encik ahem saya pun berminat untuk berkempen. Selain daripada berdemonstrasi jalanan sama-sama, saya dapati berkempen pilihanraya sama-sama juga agak romantik.

Untuk adik-adik yang masih belum punya pasangan tapi impikan boyfriend atau girlfriend yang celik politik, mungkin anda boleh cuba nasib dengan menjadi sukarelawan untuk kempen parti politik pilihan masing-masing.

Itu cuma cadangan.