Jangan Jadi Pembenci

Sejak akhir-akhir ini negara kita telah dilanda oleh sebuah penyakit yang berbahaya. Penyakit ini, jika tidak dibendung, dijangka akan merebak dengan cepat dan memusnahkan sel-sel logik dan rasional di dalam otak kita. Kepantasan pemerebakan ini semakin menjadi-jadi dengan campur tangan dan dorongan daripada parti-parti politik, samada parti politik kiri dan kanan.

Penyakit ini namanya kebencian.

Benci terhadap etnik lain.
Benci terhadap agama lain.
Benci terhadap bangsa lain.
Benci terhadap gender lain.
Benci terhadap jantina lain.
Benci terhadap orang yang mempunyai pandangan lain.
Benci terhadap ideologi orang lain.

Benci, benci dan benci.

Orang yang membawa virus kebencian ini dirujuk sebagai pembenci. Bagaimana hendak mengesan simpton pembenci?

Pertama, pembenci memulakan hujah dengan menuding jari. Sebelum mencari-cari dalil, mereka akan terlebih dahulu menghukum dan memberi label.

Kedua, pembenci biasanya merupakan orang yang mempunyai pengetahuan yang terhad. Mereka tidak ada masa untuk membaca. Atau mungkin mereka malas membaca. Makanya mereka akan sering tersilap fakta. Malah, nama orang yang mereka benci juga mereka tidak boleh sebut dengan betul. Pembenci jenis ini, selain daripada individu dan parti politik, mereka juga boleh didapati dalam bentuk media massa.

Ketiga, pembenci hanya menggunakan ruang demokrasi untuk diri mereka sendiri dan bukannya untuk rakyat jelata. Contohnya, mereka akan menggunakan hak mereka untuk berhimpun untuk menyuarakan kebencian mereka terhadap hak asasi golongan yang lain.

Keempat, pembenci akan mula menyerang peribadi orang-orang yang berbeza pendapat dengan mereka tanpa berdebat secara rasional. Mereka akan mudah naik darah dan menggunakan kata-kata kesat.

Adakah anda mempunyai simpton-simpton yang dinyatakan di atas? Bagaimana untuk mengubatinya?



Planet Puspa-Kemboja Bhgn 3

Persinggahan kami yang ketiga di Kemboja ialah di wilayah Kratie. Kratie ni kebiasaannya hanya dijadikan tempat persinggahan pelancong yang datang dari Laos hendak ke Phnom Penh. Kami singgah di sini sebab Nik nak tengok ikan lumba-lumba. Ya, di sini boleh ditemui ikan lumba-lumba yang tinggal di perairan air tawar.

Kami tinggal di sebuah motel menghadap Sungai Mekong. Motel ini dicadangkan oleh seorang pengurus kafe yang kami temui di Kampong Cham. Harganya ialah USD7 untuk satu malam.

Kami tiba di Kratie pada kira-kira pukul 2 petang. Ketika berbual-bual dengan pekerja motel, kami menyatakan hasrat untuk melihat ikan lumba-lumba pada hari itu juga. Kami minta pekerja motel tersebut mencari mat motor atau tuk tuk untuk kami tumpang, sebab perjalanan agak jauh iaitu kira-kira satu setengah jam. Brader itu kata ok, dan minta kami tunggu di hadapan motel selepas 20 minit.

20 minit kemudian, brader pekerja motel itu muncul di hadapan motel dengan berpakai jeans dan kemeja-t. Rupa-rupanya, beliaulah mat motor tersebut. Ceh.

Tapi, kami hairan, kenapa hanya ada satu motor? Brader itu tersengih-sengih dan kata oleh sebab kami berdua kurus, satu motor boleh muat 3 orang. Huh, itu alasan sebab kedekut nak kongsi wang dengan mat motor lain lah tu! Walaubagaimanpun, oleh sebab tempat duduk motor tu agak panjang, maka kami pun bersetuju. Maka pengalaman pertama aku sebagai minah rempit-tak pakai topi keledar-naik 3 orang pun bermula. Nik, aku tak tahu. Mungkin beliau ada pengalaman.



Tersengih-sengih sebab ketakutan

Perjalanan daripada jeti ke tempat tinggal ikan lumba-lumba mengambil masa kira-kira 20 minit. Kami naik bot bersama-sama dengan sepasang pelancong dari Amerika Syarikat. Kami bergilir-gilir ambil gambar untuk masing-masing.


Bergambar di dalam bot. Disyaki senyuman semacam yang diberikan oleh kedua-dua perempuan di dalam gambar ini adalah kerana si tukang gambar ialah seorang mat saleh yang kacak


Nampak tak? Nampak tak?

Dalam perjalanan balik, hujan turun dengan sangat lebat. Mula-mula kami berhenti di sebuah warung, tapi brader mat motor kata hujan tak akan berhenti sampai ke malam. Di Kratie pada waktu itu adalah musim hujan dan hujan turun setiap hari pada sebelah petang. Oleh itu, kami hanya menyarung baju hujan dan meredah hujan lebat dengan motor. 3 orang. Tak pakai topi keledar. Tsk.

Esoknya, kami menyewa basikal dengan harga USD1.5 untuk satu hari. Kami pusing-pusing wilayah Kratie. Kecil je, tak sampai tengahari, kami dah habis pusing. Kami pergi semula kepada pekerja motel aka mat motor tersebut, tanya kat mana kami boleh jalan lagi. Katanya, dia boleh perkenalkan penduduk tempatan kepada kami untuk bawa jalan-jalan. Rupa-rupanya, kawannya itu mat motor juga. Maka pengalaman kedua aku sebagai minah rempit-tak pakai topi keledar-naik 3 orang pun bermula.



Kampung mat motor tersebut terletak di sebuah pulau dan kami perlu naik feri untuk ke kampungnya. Selepas 40 minit menunggu sambil mencangkung, feri pun tiba.



Jeti terletak di sebelah ladang jagung yang luas. Asalnya kami naik motor. Tapi, jalan sangat kecil dan Nik sangat berat, jadi aku rasa takut dan minta diturunkan dan kemudian aku jalan kaki je >_<




Kampung mat motor ni pada aku biasa je, tapi ia ada sesuatu yang jarang aku lihat di perkampungan Melayu Malaysia iaitu babi.








Oh, di kampung ini juga banyak kelawar.



Kami keluar dari pulau tersebut pada waktu petang. Selepas itu kami berehat di dalam bilik hotel sahaja, kerana di Kratie, tak banyak tempat menarik untuk lepak. Malam di sini sangat cepat, pukul 6 dah gelap. Pukul 8 malam kami keluar mencari makanan, tetapi hanya satu kafe yang buka. Ada beberapa warung, tapi kami dah cuba semalam. Megi goreng je. Kami pilih untuk makan di kafe kerana lebih banyak pilihan.

Oh ya, lupa pula nak cerita pasal 'tv kabel' di sini. Kat motel tu bukan main tulis ada 'tv kabel', tapi rupa-rupanya mereka hanya pasang dvd. Ada filem-filem lakonan Stephen Chow dan Jet Li dalam bahawa Kemboja- nasib baik ada sarikata,walaupun salah eja. Kami ingat, dvd tersebut dipasang oleh motel tersebut, tapi bila kami keluar makan di kafe luar hotel, cerita yang sama sedang dipasang. Yang buat kami tahu itu ialah dvd ialah sebab pada awal cerita, siap ada slot sila tekan 'play' 'subtitle' 'set-up'. Ceh.

Malam itu kami habiskan dengan bersembang. Kemudian kami cepat-cepat tidur dengan harapan pagi akan cepat tiba. Esok pagi, kami akan ke Siem Rep.

Planet Puspa- Kemboja Bhgn 2

Daripada Phnom Penh, aku dan Nik meneruskan perjalanan ke Kampong Cham. Kenapa kami memilih Kampong Cham? Kerana khabarnya di sini ada penempatan Melayu Islam Champa. Saja lah kan. Sebenarnya Kampong Cham tu bukan kampung. Ia adalah sebuah wilayah. Di dalam Kampong Cham itu sendiri, memang ada sebuah kampung yang bernama Kampung Cham, yang dihuni oleh Melayu Islam Champa itu tadi. Agak mengelirukan. Dari segi sejarah moden, Kampong Cham juga terkena tempias kekejaman rejim Khmer Rouge, apabila ketua keagamaan (mufti) di sini diseksa dan dibunuh. Begitu juga dengan ketua sami dan sesiapa yang memberontak. Di sini juga terdapat 'killing fields' kecil. Kemuncak kemarahan rakyat Kampong Cham ialah apabila mereka membunuh ketua tentera iaitu adik lelaki kepada Perdana Menteri pada waktu itu yang ditugaskan menjaga Kampong Cham. Mereka membunuhnya dan mengeluarkan hatinya. Ada cerita menyatakan bahawa hatinya telah dibawa ke sebuah restoran Cina dan tukang masak tersebut telah diarahkan memasak hati tersebut sebelum dipotong-potong dan dimakan beramai-ramai. Entahlah.

Kami bergerak ke wilayah Kampong Cham dengan bas. Kira-kira 3 jam. Kami tiba pukul 6 petang lebih. Hujan renyai-renyai, hari pun dah gelap dan kami tak tahu mana nak cari rumah tumpangan. Rasa malas nak tengok peta sebab hujan. Kami ikut saja arah menuju ke Sungai Mekong. Dalam perjalanan, terserempak dengan seorang mat saleh. Aku tegur mat saleh tu dan tanya kawasan mana banyak tempat penginapan untuk backpackers. Dia suruh jalan terus, belok kiri, jalan terus lagi. Direction yang diberikan membawa kami ke sebuah rumah tumpangan usang.

Ruang bawah rumah tumpangan tu agak menakutkan dan berbau lama. Ada 2 orang mat saleh di bawah yang sedang lepak-lepak sambil berbual. Kami tanya pekerja motel, satu malam berapa Reel di situ. Katanya USD3 tanpa bilik air, dan USD 5 dengan bilik air. Tapi, bilik yang ada bilik air dah habis. Oklah tu kot, kongsi dua orang, seorang USD1.5. Murah gila. Lagipun, dah malas nak keluar dan cari rumah tumpangan lain.


Rupa bilik USD 3/malam

Lepas letak barang, kami mandi dan kemudian keluar mencari makanan. Ada sebuah kafe di depan Sungai Mekong khas untuk pelancong. Kedai-kedai tempatan semuanya dah tutup. Pekan ni macam pekan koboi, pukul 8 dah takde apa kecuali bebarapa kafe yang berdekatan dengan rumah-rumah tumpangan yang dikunjungi pelancong. Kami berbual-bual dengan pekerja kafe dan bertanya selok belok bandar. Pekerja kafe mencadangkan supaya kami berjumpa dengannya pada awal esok pagi untuk keterangan lanjut.

Esoknya kami bangun awal pagi. Seperti yang dijanjikan kami pergi semula ke kafe tersebut. Pekerja kafe menerangkan kepada kami jalan yang patut dituju dan tempat-tempat menarik. Beliau juga memberikan sekeping peta. Tapi... bahasa...

Peta ialah di dalam bahasa Perancis

Kami patah balik semula ke rumah tumpangan untuk mengambil basikal. Sewa basikal ialah USD1.2 sebuah untuk satu hari. Agak mencabar kerana kereta sudah mulai memenuhi jalan. Kami perlu menyeberangi Sungai Mekong kerana kampung melayu Cham terletak di seberang.

Jambatan yang perlu diseberangi


Kalau ikut peta yang diberikan tadi, perhentian pertama kami ialah sebuah rumah api yang dibina oleh askar Perancis. Aku tunggu kat luar dan biarkan Nik panjat sorang. Sebab, gayat.


Jalan masuk ke kampung ni macam jalan nak masuk kampung aku kat Pilah je. Sepanjang perjalanan kami disapa oleh budak-budak yang dok "hello... hello... hellooooooo" kat kitorang. Tapi agak malang sebab itu je yang diorang tau. Berbeza dengan di pekan, orang-orang ni kampung ni memang tak reti berbahasa Inggeris langsung. Pada kebanyakkan masa, kami hanya senyum dan guna bahasa isyarat. Nasib baik mereka sudah biasa dengan pelancong agaknya, jadi mereka main agak-agak je kami nak pergi mana dan mereka tunjukkan jalan dengan bahasa isyarat.


Jalan yang agak becak sebab malam sebelum tu hujan lebat

Masjid di dalam kampung

Kuda ialah haiwan pertanian biasa di Kemboja

Kira-kira pukul 12 tengahari, kami pulang semula ke pekan. Harus tukar pakaian sebab seluar dah habis kotor dengan becak. Kami makan di sebuah restoran tanpa untung yang bernama Smile Restaurant. Restoran ini dibina oleh 7 orang sami yang kemudiannya melatih remaja terbiar dan tak berumah untuk mengusahakan kafe tersebut. Selepas tamat tempoh 2 tahun, mereka digalakkan untuk keluar dan mencari pekerjaan sendiri dengan menggunakan ilmu yang dipelajari. Menurut cerita, sami-sami ini terpanggil untuk memulakan gerakan tersebut selepas berasa rimas dan malu dengan tanggapan orang ramai bahawa ahli-ahli keagamaan seperti mereka hanya tahu berceramah sahaja, tetapi tidak membantu di dalam pembangunan sosio-ekonomi dan masyarakat.

Selesai makan, kami mengupah 2 orang mat motor yang diperkenalkan oleh pekerja rumah tumpangan untuk membawa kami ronda-ronda di sekitar wilayah Kampong Cham. Mat motor yang membawa aku tu baru berusia 19 tahun. Beliau belajar bahawa Inggeris di sebuah sekolah seliaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Beliau menggunakan peluang bekerja sebagai pemandu pelancong supaya dapat berinteraksi dalam bahasa Inggeris dengan pelancong, sebab kawan-kawan kampungnya tak berbahasa Inggeris.

Perhentian pertama kami ialah dua buah bukit, iaitu Phnom Pros (Bukit Lelaki) dan Phnom Srei (Bukit Wanita). Ada banyak versi tentang asal usul nama bukit-bukit ini. Tapi nak dipendekkan cerita, sekumpulan lelaki dan sekumpulan wanita bertanding siapa yang dapat membuat tangga tertinggi untuk sampai ke puncak bukit. Jadi, satu kumpulan ambil satu bukit. Pertandingan hendaklah tamat bila matahari terbit. Kumpulan wanita membuat helah dengan menyalakan unggun api yang besar di sebalik bukit yang dikerjakan kumpulan lelaki. Melihat cahaya daripada unggun api tersebut, lelaki-lelaki tersebut sangka matahari dah naik, jadi mereka pun berhenti membina tangga dan tidur. Kumpulan wanita mengambil kesempatan dengan terus bekerja sehingga matahari yang betul muncul, dan mereka pun menang.

Bukit pertama yang kami pergi ialah yang mana tangganya dibina oleh kumpulan wanita. Memang tinggi. Di puncak bukit, sebuah kuil Buddha telah dibina.

Panjat tangga bukit dengan bersemangat

Lepas tu, tak larat

Kuil di puncak bukit

Selepas Bukit Wanita (Phnom Srei), kami pergi pula ke Bukit Lelaki (Phnom Pros). Tangga tu tak tinggi mana pun, berapa puluh anak tangga je sebab tak siap. Tapi, yang aku hairan tu apasal di sekeliling bukit tu dibangunkan menjadi asrama dan sekolah sami, tempat beribadat dan perlancongan, dan Bukit Wanita macam sunyi sepi je? Ish tetiba rasa tak adil :p Tak caya, lihat gambar-gambar di bawah.

Ada Sleeping Buddha

Bangunan-bangunan kecil tu sebenarnya ialah makam

Asrama sami. Bilik-bilik kotak kecil di belakang tu dihuni sami atau pelatih. Satu bilik, seorang

Perpustakaan yang digunakan para sami

Patung Buddha lagi

Patung-patung yang menceritakan tentang kisah hidup Buddha

Habis di situ, kami pergi ke sebuah tempat tersorok yang penuh dengan kuil dan bangunan lama. Walaupun kuil utama dihuni sami ajaran Buddha, tetapi banyak juga patung-patung dan bangunan yang masih ada sisa-sisa Hinduism. Aku nampak beberapa patung Vishnu dan Shiva di pinggiran, tapi banyak yang sudah tak sempurna badannya. Ini adalah kerana sebelum ajaran Buddha berkembang pesat di Kemboja, raja-rajanya merupakan penganut ajaran Hindu.


Lukisan di dinding dan siling kuil menceritakan tentang kisah hidup Buddha

Balik. Yey

Kami dibawa pulang ke rumah tumpangan kira-kira pukul 5 petang. Tiba-tiba rasa nak minum kopi. Jadi, daripada rumah tumpangan, kami jalan kaki mencari kopi. Di sebuah kedai kopi, kami berbual-bual dengan pelayan kedai iaitu seorang gadis awal 20-an. Gadis itu fasih berbahasa Inggeris. Kami beritahunya bahawa selepas Kampong Cham, destinasi seterusnya ialah wilayah Kratie. Beliau kemudiannya mencadangkan beberapa rumah penginapan kepada kami.

Di tepi Sungai Mekong, orang ramai lebih dari biasa. Barulah aku tersedar bahawa hari itu ialah hari Ahad. Mereka beriadah dengan bermacam-macam cara. Ada yang bermain sepak raga, berbasikal, jogging, tapi paling ramai sekali, aerobik. Tapi bukan percuma, ya. Di tengah-tengah kerancakkan aerobik, ada seorang gadis muda yang mengutip wang daripada semua peserta yang menyertai sukan aerobik tersebut.


Di seberang jalan di atas padang, ada fun fair. Kami berganjak ke seberang sebentar sambil makan jagung rebus, Istimewanya jagung rebus di sini ialah ia direbus dengan daun sup. Selalunya, jagung yang direbud ialah jagung yang tak cukup umur lagi. Harganya lebih murah.

Makcik-makcik ini mengikut gerak langkah seorang brader yang berdiri di atas tembok



Kami menghabiskan sisa-sisa hari dengan makan, berbual dan berehat. Esok pagi, kami akan bertolak ke wilayah Kratie dengan bas.

Planet Puspa- Kemboja Bhgn 1

Tora datang lagi! Yasssh jika tahun lepas Planet Puspa membawa anda ke Vietnam, tahun ni Planet Puspa menjelajah ke Kemboja @ Cambodia pula. (Walaupun penjelajahan dilakukan kira-kira 2 bulan yang lalu, cuma sekarang baru boleh diceritakan sebab baru sempat muatnaik gambar.)

Yup yup... begitulah kira-kiranya sebab musabab kenapa belog ini begitu sunyi sepi sepanjang bulan Jun lepas. Selepas menyimpan wang (bukan sejak kecil) dan membuat sedikit bayaran PTPTN (sebab takut kena senaraihitam dan tak dapat pi backpacking), maka cukup sudah duit yang dikumpul oleh aku dan Nik Waheeda untuk meronggeng di Kemboja selama kira-kira 2 minggu.

Duit yang dikumpul bertaburan di atas lantai bersama-sama harapan yang meluap-luap untuk ke Kemboja. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit

Bagi yang tidak tahu di manakah letaknya Kemboja itu, ia bersempadan dengan Vietnam, Laos dan Thailand.


Seperti acara ber-backpacking yang lepas, kami hanya membeli tiket pergi-balik sahaja. Perkara lain seperti ke manakah hendak dituju dan di manakah kami hendak tidur, hanya akan ditentukan selepas tiba sahaja. Seperti biasa, kami pastikan yang kami turun di lapangan terbang lain dan naik di lapangan terbang yang lain pula. Untuk kali ini, disebabkan kami meramalkan akan menghabiskan banyak masa di Siem Rep atau lebih spesifik lagi di kota Angkor, maka kami memutuskan untuk hanya melawat ke 4 buah wilayah sahaja. Kami memilih untuk bergerak dari Phnom Penh, kemudian ke Kampong Cham, Kratie dan akhir sekali Siem Rep.


Malam sebelum cuti ialah malam yang paling terkocoh-kocoh sekali. Siapkan kerja sampai lewat malam... iaitu pukul 2 pagi lepas tu balik rumah terus kemas kain baju sumbat dalam beg. Penerbangan dari LCCT pukul 620 pagi. Bertolak dari rumah pukul 4 pagi. Hufffff huffff

Kami tiba di Lapangan Terbang Phnom Penh pada pukul 720 pagi. Hari yang indah dan kami disambut dengan "tuk tuk... tuk tuk madam tuk tuk?"

Okay. Maka tuk tuk lah ia. Wajah gembira

Tuk tuk di sebelah adalah sangat sesak dengan orang

Selepas berjalan mencari rumah tumpangan murah akhirnya jumpa juga dengan rumah tumpangan satu malam USD10. Boleh la tu kongsi 2 orang. Kami minta bilik berkipas saja, sebab kalau bilik berhawa dingin kena tambah lagi USD5. Kami tidak tahu berapa lama hendak tinggal di Phnom Penh. Bilik itu antara yang paling selekeh di motel tersebut, dan tingkapnya boleh "see through". Melihat kami berdua ialah perempuan, tauke motel tersebut mengarahkan pekerjanya memasang langsir di dalam bilik kami. Selepas menyimpan barang kami turun ke kaunter dan minta disediakan tuktuk untuk sehari.


Perhentian pertama ialah 'Killing Fields of Choeung Ek". Ia merupakan sebuah taman peringatan- terdapat sebuah muzium, stupa, tempat tayangan video dan yang paling penting, terdapat beribu-ribu bekas kubur di tempat ini. Di kawasan ini hampir sejuta orang telah dibunuh beramai-ramai.

Seperti jirannya Vietnam, Kemboja juga pernah terlibat dalam perang saudara. Negara jirannya, Vietnam turut campur tangan. Khmer Rouge mendapat sokongan Vietnam Utara dan Viet Cong manakala kerajaan Kemboja pada waktu itu mendapat sokongan Vietnam Selatan dan Amerika Syarikat. Pada mulanya, ramai rakyat menyokong Khmer Rouge kerana kerajaan yang sedia ada pun bukannya best sangat. Tetapi, apabila Khmer Rouge yang dipimpin oleh setiausaha agungnya Pol Pot berkuasa, mereka sangat kejam dan membunuh ramai orang yang mereka syaki menyokong pihak kerajaan termasuk ketua keagamaan dan para intelek. Mereka juga membunuh wanita, kanak-kanak dan bayi kerana tidak mahu bayi tersebut membalas dendam atas kematian keluarganya apabila dewasa nanti. Di antara tahun 1975 dan 1979, hampir 1.5 juta penduduk Kemboja telah mati dibunuh di dalam perang saudara. Orang-orang yang dibunuh dicampak ke dalam lubang yang besar beramai-ramai.

Pada kebanyakkan masa, kaedah lain selain daripada menggunakan peluru digunakan, kerana mahu menjimatkan peluru. Bayi-bayi dihempas sahaja ke batang pokok yang besar supaya mati. Terdapat banyak lubang yang kemudiannya telah ditimbus dan rumput tumbuh di atasnya.

Selepas perang tamat, kubur-kubur yang penuh dengan tulang manusia tersebut telah ditemui dan mengejutkan seluruh dunia. Setiap kubur mengandungi beratus-ratus mayat manusia yang hanya tinggal rangka dan tengkorak. Kawasan tersebut kini dikenali sebagai "the Killing Fields" dan menjadi tarikan pelancong.

Antara lubang kubur yang ditemui.



Pokok yang digunakan untuk membunuh bayi dan kanak-kanak

Berjalan-jalan di sekitar taman peringatan sambil melihat bekas kubur yang telah ditumbuhi rumput

Stupa yang didirikan untuk menyimpan tengkorak-tengkorak para mangsa

Tengkorak-tengkorak ini disusun mengikut golongan usia

Kami menghabiskan masa kira-kira 3 jam di dalam taman peringatan ini. Cuaca sangat panas iaitu kira-kira 40 darjah celcius dan memenatkan. Sebenarnya, aku rasa lebih penat kerana selepas melihat kawasan pembunuhan tersebut, perasaan adalah sangat tertekan.

Selepas itu, pemandu tuktuk membawa kami ke Muzium Tuol Sleng atau lebih dikenali sebagai bekas kem penjara S-21.

Tertidur di dalam tuk tuk

Ingatkan s-21 ini berupa penjara yang biasa, tapi sangkaan aku meleset. Rupa-rupanya, beberapa bulan selepas Khmer Rouge memerintah, mereka telah mengambil alih sebuah sekolah dan menjadikannya sebuah penjara dan tempat soal-siasat.


Terdapat beberapa buah blok di sekolah ini. Blok pertama yang kami pergi ialah blok tempat soal-siasat dan seksaan. Kami berjalan agak berhati-hati dan memandang ke bawah kerana di beberapa tempat, kesan darah masih kelihatan :(

Antara katil dan peralatan yang digunakan untuk menyeksa tahanan


Baru pergi satu blok, dah penat. Ini adalah kerana kami menjengah dari bilik ke bilik. Takut ada apa-apa yang tertinggal. Ada bilik yang tak ada katil, tapi ada darah. Nik geli, aku pula control macho.

Blok kedua pula ialah bilik tahanan. Bilik tahanan ini sebenarnya ialah bilik darjah. Bilik darjah ini kemudian dibahagi-bahagikan menjadi bilik-bilik kecil. Sangat kecil. Ada yang dibina daripada kayu, ada yang dibina daripada batu-bata. Bahagian tengah dinding yang memisahkan satu bilik darjah dengan bilik darjah yang lain dipecahkan supaya menjadi laluan. Pada kebanyakkan masa, Nik memegang tangan aku sebab dia takut. Ceh.



Kami menghabiskan masa yang agak lama di blok kedua ini. Lepas tu, dah penat. Air minuman pun dah hampir habis. Di tepi padang, ada sebuah warung menjual air. Sambil duduk di atas bangku, aku terlihat seorang pelancong mat salih yang kacak. Tapi dia nampak sangat murung. Di sebuah bangku yang lain, seorang mat salih lain kelihatan mengesat matanya yang disembunyikan dengan kaca mata hitam. Aku teringat pernah melihat keadaan yang sama ketika melawat muzium perang di Vietnam tahun lalu.


Apabila kami pergi ke blok ketiga, barulah kami faham kenapa mat-mat salih tadi sedih. Rejim Khmer Rouge bukan sahaja membuat pembunuhan beramai-ramai, tetapi mereka mendokumentasikan mangsa-mangsa mereka sebelum disoal-siasat dan dibunuh. Mereka disuruh duduk di atas sebuah kerusi dan memandang kamera. Beratus-ratus gambar tanpa nama... dan beratus-ratus kanak-kanak...



Kerusi yang digunakan untuk mengambil gambar

Kami keluar dari bekas penjara tersebut selepas kira-kira 2-3 jam. Perasaan adalah sangat tertekan, dan lapar. Pemandu tuk tuk menghantar kami balik semula ke pekan. Hari pun dah lewat petang. Kami makan dan minum di bandar, kemudian balik ke motel dan tidur sebab malam tadi tak tidur. Kira-kira pukul 8 malam, kami keluar mencari makanan dan lepak-lepak sekejap di tepi sungai.

Pada pendapat aku, bandar Phnom Penh ni biasa saja. Tak banyak beza dengan bandar-bandar lain. Aku nak lihat Kemboja yang sebenar. Aku beritahu Nik, aku tak suka Phnom Penh. Rupa-rupanya Nik pun berasa begitu. Jadi kami mengambil keputusan bahawa esok petang ialah hari terakhir kami di sini. Kemudian, kami akan bergerak ke wilayah lain. Kami pulang ke motel dan meminta pekerja motel membelikan kami tiket bas ke Kampong Cham.

Esoknya, kami bangun awal pagi dan menghabiskan waktu siang kami di Phnom Penh. Kami berjalan-jalan di sebuah pasar pagi. Pasar ini tak jauh bezanya dengan pasar pagi di KL.


Malam tadi lepak di sini

Berteduh dari panas


Muka tahan panas

Sepanjang pagi hingga tengahari, kami berjalan-jalan ke beberapa buah pagoda dan sekadar melihat gelagat penduduk tempatan di tepi-tepi jalan. Kami mahu pergi ke muzium dan ke istana, tetapi ia ditutup pada waktu makan tengahari dan hanya dibuka pada pukul 2 petang. Kami mengambil kesempatan itu untuk kembali ke motel dan mendaftar keluar. Kami tinggalkan beg pakaian di dalam jagaan pekerja motel dan kembali ke tengah bandar. Bas kami akan bertolak pada kira-kira pukul 330 ptg.

Istana yang dimaksudkan ialah istana negara dan ia masih berpenghuni. Kemboja ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Keturunan raja di sini agak aktif berpolitik. Terdapat beberapa kawasan di dalam istana tersebut yang dibenarkan untuk dilawati. Pelawat hendaklah berpakaian sopan.

Di perkarangan istana


Selepas habis melawat beberapa pagoda, muzium, Killing Fields dan istana, kami berasa habislah sudah matlamat kami di Phnom Penh. Daripada kota besar, kami akan bergerak ke kawasan yang lebih sunyi, iaitu Kampong Cham. Perjalanan akan mengambil masa kira-kira 3 jam. Misi utama ialah merentas Sungai Mekong dengan basikal dan mencari perkampungan etnik Cham yang beragama Islam. Yang itu, kita cerita lain kali.

Bye-bye Phnom Penh