Bersatu Teguh, Bercerai Roboh

Adakalanya, seorang peguam kena buat lebih daripada menjadi seorang peguam. Adakalanya, tugas merepresentasi bukan sahaja perlu dibuat di dalam Mahkamah atau ketika menandatangani perjanjian.

Tetapi juga, merepresentasi mereka di atas jalan raya.

Minggu lepas adalah kali pertama aku lihat bos aku berdemo dan memprotes bersama-sama dengan anak-anak guam kami, iaitu penduduk-penduduk Kg. Sg. Terentang.

Kalau korang nak tahu apa yang telah berlaku, sila baca sini dan sini dan sini.

Jangan salah faham pula, kami bukanlah jenis peguam yang tidak tahu menghormati keputusan Mahkamah yang Mulia atau berniat hendak menghina Mahkamah. Sebenarnya kes ini ada dua bahagian- satu saman terhadap TNB, dan satu lagi saman terhadap Kerajaan Negeri Selangor. Walaupun kes saman terhadap TNK telah didengar sehingga ke peringkat Persekutuan, tetapi saman terhadap kerajaan negeri Selangor masih belum didengar dan masih di dalam peringkat pengurusan kes.

Kes ini berlaku sebelum kerajaan PR mengambil alih Selangor lagi. Kerajaan lama telah memberi tanah orang kampung kepada TNB untuk mendirikan pencawang eletrik. Mereka menggunakan Akta Pengambilan Tanah. Jika menggunakan Akta tersebut, pengambilan tanah oleh kerajaan akan menjadi halal dan penduduk yang terlibat wajib meninggalkan tanah tersebut, samada suka atau tidak.

Sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa notis pengusiran daripada TNB adalah sah, TNB dengan tak sabar-sabar terus datang ke kampung tersebut dengan jentolak mereka untuk merobohkan rumah. Sangka mereka kerja tu senang je, sebab mereka tak sangka yang 200 lebih orang-orang kampung akan datang menunggu mereka di pintu masuk kampung!

Sehari sebelum itu, aku menerima sms daripada bos, meminta aku datang ke kampung tersebut pada awal pagi. Bila aku tanya kenapa, katanya "supaya kamu boleh bersedia untuk menjamin saya keluar lokap nanti". Sangkaku bos tengah buat lawak, tapi rupanya tidak.


Bosku duduk di antara YB Tian Chua dan YB Gan

Di dalam kes ini, pihak kami serta kerajaan negeri yang baru telah cuba untuk berdiskusi dengan TNB dengan memberikan laluan dan tanah alternatif atau cara alternatif iaitu dengan pemasangan kabel di bawah tanah. Tapi pada peringkat awal, TNB masih berdegil, mereka nak kampung itu juga, dan nak bina pencawang juga. Apa yang best sangat bina pencawang di atas tanah kampung itu, aku pun tak tahu.


Gambar di belakang t-shirt ini sudah cukup untuk menerangkan ketakutan penduduk


Moon Hui daripada SUARAM juga turun memberikan sokongan kepada org kampung

Kes ini adalah antara kes 'urgent-arrest' paling senang yang aku pernah lakukan, kerana orang-orang kampung lebih garang daripada aku. Apa yang aku hanya perlu lakukan ialah memerhati mereka dari jauh sambil minum teh. Setakat ini orang-orang kampung telah berjaya menghalau orang-orang TNB serta beberapa malaun yang cuba-cuba menghasut orang-orang kampung supaya meminta tolong daripada orang BN. Eleh... sejak dari tahun 2005 apabila orang-orang kampung tu kena tangkap kerana mempertahankan kg, korang ada buat apa-apa ke? :p


Pakcik berantai emas besar ini cuba menghasut orang2 kampung supaya meminta tolong drpd MCA, tapi kemudian dia dihalau oleh orang-orang kampung

Selepas beberapa drama berlaku, akhirnya kami menerima satu panggilan daripada bos yang menyatakan bahawa Menteri Tenaga telah bersetuju untuk mengadakan satu rundingan dgn TNB, kerajaan negeri dan orang kampung dan telah berjanji bahawa TNB tidak akan datang mengganggu kampung tersebut untuk beberapa hari sehingga selesai rundingan.

Begitulah kuasa rakyat. Kalau ramai-ramai bersatu, perkara mustahil akan jadi tak mustahil. Aku harap rundingan akan berjaya sebab kalau tidak, aku kena ke Rawang lagi, minum teh sambil memerhati orang-orang kampung yang bersopan-santun berubah menjadi garang.