Pusat Bantuan Guaman-Pengenalan

Oleh: Valen Khor Xiou Shan (disiarkan dengan kebenaran)


Majlis Peguam Malaysia merupakan satu-satunya badan bukan kerajaan di dunia yang memberikan khidmat guaman percuma kepada golongan masyarakat yang kurang berkemampuan tanpa mendapat sebarang tajaan atau sokongan kewangan daripada pihak kerajaan. Setiap peguamcara dan peguambela berdaftar dimestikan mencarum sejumlah wang sebanyak RM100 untuk Tabung Bantuan Guaman setiap tahun bagi membolehkan mereka memperbaharui Sijil Amal Tahunan.


Minggu Kesedaran Undang-Undang Kebangsaan merupakan salah satu aktiviti kepentingan awam Majlis Peguam yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Bantuan Guaman Majlis Peguam Malaysia. Pelancaran Minggu Kesedaran Undang-Undang Kebangsaan tahun ini akan dilancarkan di Sungai Petani, Kedah.


Pada peringkat negeri pula, Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam (Kuala Lumpur) yang beroperasi di Wisma Kraftangan, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur merupakan salah satu Pusat Bantuan Guaman yang paling sibuk dengan pelbagai jenis perkhidmatan dan aktiviti kesedaran. Perkhidmatan guaman pada asalnya hanya tertumpu dalam memberikan nasihat guaman dan representasi guaman kepada mereka yang tidak berupaya untuk melantik peguam. Walau bagaimanapun, bidang khidmat Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam telah diperluaskan kepada kes-kes kepentingan awam seperti isu-isu peneroka dan representasi guaman dalam tangkapan beramai-ramai.


Walaupun terdapatnya perkhidmatan guaman disediakan oleh Majlis Peguam kepada mereka yang memerlukan, akan tetapi kebanyakan ahli masyarakat tidak menyedari akan kewujudannya. Meskipun ada golongan yang mempunyai pengetahuan bahawa terdapatnya perkhidmatan tersebut, ada di antara mereka tidak mengetahui tempat dan cara untuk mendapatkan bantuan tersebut.


Jawatankuasa Kebangsaan Bantuan Guaman Majlis Peguam menyedari akan hakikat ini, akan tetapi publisiti yang melebih-lebih tidak semestinya memanfaatkan semua ahli masyarakat yang memerlukan bantuan guaman tersebut. Ini adalah kerana setiap Pusat Bantuan Guaman di negeri-negeri yang berlainan berfungsi dengan bergantung kepada caruman RM100 daripada ahli-ahli Majlis Peguam. Dengan peruntukan kewangan yang terhad, Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam tidak berupaya untuk mengendalikan bilangan kes yang terlampau banyak. Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam tidak ingin memberikan harapan kosong kepada mereka yang datang ke pusat-pusat bantuan guaman mendaftarkan kes mereka tetapi tidak diperuntukkan peguam untuk mengendalikan kesnya.


Keadaan ini menjadi semakin serius apabila badan kehakiman Malaysia memperkenalkan sistem ‘fast track’ dan mengeluarkan pekeliling supaya penangguhan kes tidak akan diizinkan kecuali dalam keadaan terdesak dan/ atau berkecuali. Pegawai-pegawai kehakiman kini tidak membenarkan penangguhan kes meskipun dalam keadaan di mana tertuduh tidak diwakili oleh peguam dan seterusnya memberi arahan supaya tertuduh membela diri tanpa representasi sekiranya dia masih gagal mendapatkan perkhidmatan guaman di tarikh sebutan akan datang. Dalam keadaan sebegini, sekiranya Pusat Bantuan Guaman mendaftarkan kesemua kes tetapi gagal mendapatkan peguam untuk mewakili anakguam-anakguam tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh mahkamah, maka mereka terpaksa mengendalikan kes itu atas usaha dirinya tanpa representasi guaman. Sekiranya hal sedemikian berlaku, ia bagaikan satu janji kosong yang diberi oleh Pusat Bantuan Guaman dan seterusnya memudaratkan kepentingan anakguam tersebut kerana hak asasinya untuk mendapatkan representasi guaman telah dinafikan.


Bersambung esok...

"No one is above the law" konon...

15 tahun dulu, setiap kali aku nampak segerombolan polis berjalan-jalan dengan baju uniform mereka, aku akan kata "uuuu smartnya" dan "uuuu kilatnya kasut" dan "heheheh selamat sikit jalan kat sini, polis ramai" dan lepas tu aku akan lemparkan senyuman ke arah mereka.

Kini, kalau aku nampak segerombolan polis, aku akan rasa "hek eleh" dan "tu nak pegi mana la tu" atau lebih teruk lagi kalau nampak kereta yang ditahan polis aku akan rasa "ha tu nak minta duit kopi la tu".

Di manakah silapnya?

Soalan tu sekarang dah menjadi retorik kan.

Masalah, masalah, masalah. Jadi sebab tu aku hubungi Hong Siang dan beritahu dia yang aku nak tukar isi artikel, dari permasalahan FELDA ke permasalahan peribadi aku dengan polis. Walaupun kedua-dua sama penting, tapi yang lagi satu tu lebih 'urgent''. Artikel FELDA akan menyusul nanti. Sabar ye...

Kalau nak baca artikel tu, pegi sini.

Katak Bawah Tempurung v Katak Bawah Gelas

Sebaik saja tersiarnya tulisan aku di bawah yang mengandungi nota kaki "bagi yang 'blur' dan katak bawah tempurung", ada laa pulak kawan-kawan yang terasa kononnya dan ada pulak laa yang menjawab dengan sedih di dalam belognya "ye lah, aku memang katak bawah tempurung". Dan, aku yang evil ni telah jawab balik dalam belog dorang "memang pun". Hahaha

Tapi itu bukan intipati tulisan kali ni. Kali ni aku nak buat perbandingan di antara katak bawah tempurung dengan katak bawah gelas.

Pada aku, katak bawah gelas adalah lebih berbahaya daripada katak bawah tempurung. Kenapa?

Katak bawah tempurung memang tak tahu apa-apa (ye lah tempurung tu kan gelap) sebab dorang tak baca suratkhabar, baik suratkhabar perdana atau alternatif. Mereka juga tak melayari berita-berita alam maya ni sebab caridotcom dan guadotcom lebih best. Jadi kadang-kadang ko nak berdebat atau marah mereka ni pon ko kena fikir 2-3 puluh kali, sebab mereka ni memang tak tahu apa-apa jadi buang masa je ko nak ambil hati.

Katak bawah gelas pulak ialah jenis katak yang bukannya tak tahu apa-apa (sebab gelas tu cerah jadi boleh nampak luar), tapi lepas tahu pon mereka buat deekkk je. Ni ialah jenis orang yang suka marah2 kau sebab kau tak buat kerja/parti ko ada masalah/organisasi ko penuh dengan orang ntah apa-apa dan lepas tu pandai-pandai bagi nasihat suruh buat itu ini dan lepas tu bila kau minta mereka tolong kau, mereka akan bagi seribu macam alasan.

Beb, zaman orang takut dengan pemerintah dah berlalu lah. Boleh tak kau tolong bangun dari kerusi empuk tu dan sama-sama berjuang. Sebab kalau tak ada perubahan, lama-lama kerusi yang empuk tu akan mendap dan menipis juga.

Bebas yang Tidak Bebas

Malam tadi aku ke majlis pelancaran album Meor, Dari Rakyat Untuk Rakyat di Keramat. Akibat kesejukan di dalam dewan, aku ke luar sebentar berbual-bual dengan kartunis Zunar. Tiba-tiba, aku ternampak Kak Laila yang juga keluar dewan. Kami saling berpelukan dan aku sempat mengucapkan tahniah kepadanya.

Dah lama aku tak berjumpa dengan Kak Laila, iaitu sejak suaminya, saudara Mat Sah dibebaskan daripada Kem Kamunting kira-kira 2 bulan yang lalu. Mat Sah telah ditahan selama lebih 7 tahun di bawah ISA.

Rupa Kak Laila sangat berseri-seri. Aku teringat dulu-dulu, setiap kali ada berita pembebasan tahanan ISA yang bukan suami beliau, aku takut gila nak berdepan dengan Kak Laila sebab tak tahu nak beri reaksi yang macam mana.

Tapi Kak Laila kuat. Beliau terus berjuang. Aku juga kagum dengan saudara Mat Sah yang tidak pernah menegah Kak Laila daripada aktif bersama GMI walaupun beliau masih di dalam tahanan. Mereka tidak akan berkompromi dengan prinsip.

Kak Laila beritahu aku bahawa beliau perlu pulang awal kerana Mat Sah diberi perintah berkurung di dalam rumah selepas pukul 9 malam setiap hari. Hmm... Beliau juga beritahu aku bahawa saudara Mat Sah kini rajin mengumpul gambar-gambar gerakan, dan salah satu daripadanya terselit gambar aku yang ditangkap ketika perhimpunan 1hb Ogos yang lalu.

Aku beritahu Kak Laila, aku nak berjumpa dengan saudara Mat Sah, nak tanya khabar kerana aku belum berkesempatan bertemu dengan beliau sejak beliau dibebaskan. Kak Laila bawa aku ke pintu pagar, kerana suaminya sedang menunggunya di sana. Aku juga bawa sekali Murnie dan Syuhaini, 2 orang peguam muda yang juga ada kesedaran anti-tahan tanpa bicara.

Daripada cerita-cerita Kak Laila, aku dapat tahu bahawa Mat Sah dan ahli keluarga kini sedang cuba menyesuaikan diri masing-masing, kerana 7 tahun bukannya tempoh yang sekejap. Saudara Mat Sah juga sudah punya belog. Aku harap mereka hidup gembira dan aman sehingga ke akhir hayat.

MANSUHKAN ISA!
BEBASKAN SEMUA TAHANAN!


Sempat bergambar bersama Kak Laila dan saudara Mat Sah

Satu Ribu Ringgit Malaysia

Atas permintaan ramai, tarikh tutup dilanjutkan ke 31hb Oktober 2009. Sila layari suaram.net untuk keterangan lanjut.

Antara Pilihan Hidup, Politik Luar Bandar dan Filem Karaoke



Dalam hidup, kita akan diberi banyak pilihan. Tapi yang menarik, pilihan tu kadang-kadang bukannya pilihan sendiri. Cuba baca betul-betul. Kita DIBERI banyak pilihan. Maknanya, pilihan yang kita ada, bukannya datang dari kehendak kita. Kita telah dipaksa untuk memilih daripada beberapa jenis pilihan yang orang lain dah pilih siap-siap untuk kita. Itulah kekuatan makroekonomi. Komersil. Kapitalisme.

Selalunya, orang-orang yang memilih untuk menjadikan perkara-perkara di atas sebagai cara hidup dan ideologi, dikatakan sebagai orang yang maju. Maju, atas niat hendak membangun diri, bangsa dan negara. Konon. Belajar kena tinggi-tinggi. Lepas tamat sekolah menengah mesti masuk universiti. Lepas tu kena kerja kolar putih. Tinggal di tengah-tengah bandar atau sub-urban. Beli kereta dan rumah besar (batu). Letak pokok bunga banyak-banyak dalam rumah. Bunga plastik.

Kita sangat jarang dengar, orang yang lepas belajar tinggi-tinggi, nak balik kampung dan beranak pinak di sana. Lebih-lebih lagi kampung yang takde apa-apa sangat. Estet atau ladang kelapa sawit. Permainan yang ada cuma jentera dan mesin arwah bapa yang dah rosak. Awek dahi licin pon ada sorang dua je.

Tapi bukan Betik.

Betik ialah nama watak utama di dalam filem Karaoke arahan Chris Chong Chan Fui.

Pertama kali aku dengar tentang filem ini, ialah bila ia diterbangkan dan ditayangkan di Festival Filem Cannes beberapa bulan yang lepas. Waktu tu aku fikir bahawa ia hanyalah salah satu daripada filem-filem artistik lain yang aku tak akan faham bila menonton.

Sinopsis filem ini berbunyi lebih kurang begini:-

Betik, budak lelaki umur awal/pertengahan 20an baru pulang ke kampung halamannya di pedalaman ladang kelapa sawit dari Kuala Lumpur. Tapi tujuannya bukan untuk menziarah. Betik mahu menetap terus di kampung itu. Bapa Betik dah meninggal beberapa tahun sebelum kepulangannya. Tinggal ibunya seorang. Barangkali sebab dah biasa tinggal seorang, kepulangan Betik buat ibunya rasa kekok, sebab tiba-tiba ada lelaki dalam rumah. Ibu Betik menguruskan sebuah pusat karaoke peninggalan arwah suaminya. Pusat karaoke ni, tak payahlah kau bayangkan macam yang di KL. Satu-dua kotak tv, lagu-lagu karaoke, lampu liplap dan air oren, cukuplah tu. Yang datang bertandang pon penduduk2 berhampiran, iaitu pekerja-pekerja estet dan orang-orang kampung. Pak Su, adik arwah bapa Betik yang membantunya menguruskan pusat itu. Pak Su banyak buat kerja 'freelance'. Satu hari kenalannya beritahu ada syarikat penerbitan filem nak bikin klip video karaoke di kampungnya. Nak guna alam semulajadinya. Jadi dia memohon untuk jadi 'crew'. Pak Su tarik Betik sekali.


Pak Su (Mohd Hariry) dan Betik (Zahiril Adzim)

Maka bermulalah kehidupan Betik di kampung itu sebagai pembantu pengurus pusat karaoke pada sebelah malam, dan budak suruhan pembikin klip video pada waktu siang yang tiba-tiba diangkat menjadi pelakon utama video karaoke selepas model yang sepatutnya melakonkan watak tu, tak datang. Satu jadual yang agak sibuk untuk budak yang punggungnya belum panas lagi di kampung itu. Tapi dalam sibuk-sibuknya, Betik sempat mengayat seorang gadis bernama Anisah. Anisah ni selalu digunakan oleh abang Anisah sebagai alasan untuk keluar rumah dan berkaraoke. Jadi bila abangnya sibuk menyanyi, Anisah habiskan masa berborak dengan Betik. Mula-mula borak tentang latar belakang. Lepas tu keadaan semasa. Lepas tu masa depan.


Anisah (Nadiyatul Nisaa) dan abangnya (Amerul Affendi)

Bunyinya seolah-olah Betik punya kehidupan yang hampir sempurna. Kampung halaman, kerja, cinta. Dan sempat pula menyimpan cita-cita. Tapi, tak lama. Sebab selepas beberapa ketika, baru Betik perasan yang kampung halamannya tu dah tak sama macam dulu. Orang-orangnya pun dah tak sama macam dulu, dari segi batin. Betik tak faham. Tambah tak faham bila ibu Betik beritahunya yang dia nak jual pusat karaoke tu dan pindah ke tempat lain.

Dari 'presskit' yang aku terima, kelihatan seolah-olah pengarahnya mahu mengajak kita menyelami kerenggangan hubungan di antara setiap watak. Tentang kemusnahan alam semulajadi. Tentang ilusi dan realiti.


Tapi BUKAN itu yang aku nampak.


Watak ibu Betik... lakonan Mislina Mustaffa



Watak ibu Betik adalah seorang perempuan yang tegas dan berdikari. Dia tak bergantung pada orang lain untuk menguruskan pusat karaoke peninggalan arwah suaminya. Dan bila dia rasa dah tak larat, dia jual dan mulakan hidup baru. Habis cerita. Tapi konflik datang dalam bentuk lain. Betik cuba tegah dia jual pusat karaoke tu. Katanya, "Betik pun ada hak". (Heloo.. kau dah la tak balik masa bapak kau mati, jenazah harap Pak Su kau yang uruskan, sekarang ni nak bicara tentang hak?)

Bicara tentang hak.

Sebagai seorang peguam, sudah tentulah aku akan memilih tentang konsep penentuan hakmilik, yang mana samada seseorang itu mempunyai kuasa untuk memindahmilik harta yang dipertikai kepada pihak ketiga atau tidak. Dalam isu ini, memang Betik ada hak. Tapi, dari segi rasional dan keadilan, Betik tak patut bicara tentang hak dengan ibunya, kerana Betik tak pernah mengusahakan pusat dan tanah itu sepertimana ibunya mengerjakannya.

Babak yang aku rasa menarik yang melibatkan watak ibu dan anak ni ialah bila Betik selepas menukar baju tidurnya dan duduk di atas lantai menghadap ibunya. Ibu Betik terus ambil sehelai cadar dan gantung ke pintu tak berpenghadang tu, untuk memisahkan mereka berdua. Waktu tu aku tak pasti, samada ibu Betik mahu memisahkan Betik dari dirinya, atau ibu Betik mahu memisahkan dirinya dari Betik.

Watak Betik, buat aku lemas. Dia ialah lelaki kampung tipikal yang baru pulang dari bandar, dan rasa boleh buat semua. Nak majukan pusat karaoke. Nak buat itu ini. Tapi, kelihatan seolah-olah dia hilang punca di tengah-tengah percubaannya. Paling kesian bila tak seorang pun saudara terdekatnya, termasuk ibunya yang nak dengar rancangan hebatnya untuk pusat karaoke. Jadi dia terpaksa meluahkan perasaan pada Anisah yang baru dikenali. Malangnya, Anisah bukan jenis yang sabar. Lama-lama Anisah rasa Betik ni jenis cakap je pandai, tapi tak buat. Jadi Anisah mula jauhkan dirinya dari Betik.

Bagi sebuah filem yang berdurasi lebih kurang 75 minit, aku rasa filem Karaoke mengambil masa yang terlalu panjang untuk memperkenalkan penontonnya kepada alam sekitar, estet dan ladang kelapa sawit serta permasalahan2nya. Walaupun ia tidak dibincangkan secara langsung di dalam filem ini, kita boleh lihat kesan pembangunan tak terancang apabila terdapat pokok-pokok kelapa sawit yang telah tua dan mati, yang dibiarkan begitu sahaja tanpa ditanam pokok yang baru. Juga ada babak di mana seorang lelaki meminta jasabaik sekumpulan lelaki menangguhkan masa mereka bermain bola sepak di padang, bagi memberi ruang kepada lembu-lembunya untuk makan rumput di padang itu. Tempat lain, rumput dah tak ada.

Ini mengingatkan aku tentang kawasan-kawasan sistem pembangunan tanah.

Di kawasan-kawasan sistem pembangunan tanah seperti FELDA, RISDA, hatta tanah rezab sekalipun, memang banyak terdapat masalah-masalah sebegini. Tanah-tanah ni diberi oleh kerajaan, tapi kemudian mereka serahkan bulat-bulat pada penduduk bagaimana untuk mengerjakannya. Yang mereka tahu, hujung bulan pegi kutip sewa. Bukan sahaja sewa hasil pertanian, tapi rumah yang didirikan atas tanah tu pun kena dibayar sewanya. Sewa yang sepatutnya sewa beli, lama-lama jadi sewa hutang. Tanah dah lama berbayar, tapi bertahun-tahun masih tak dapat geran (sekadar menyuarakan perasaan beberapa orang penduduk yang merasa ditindas). Penduduk tak diajar pun cara-cara untuk mengawal pembangunan. Atau untuk mengekalkan kehijauan. Lantak kaulah nak buat apa pun di tanah yang kami bagi tu, asal sewa dibayar, kata mereka. Lebih teruk kalau ada penyelewengan. Tender pembangunan diagihkan kepada kroni-kroni. Penduduk cuma mampu gigit jari. Tak ada apa-apa lagi yang tinggal untuk generasi kedua (orang muda).

Dulu-dulu aku pernah terbaca tentang isu ketidakpuasan hati penduduk FELDA. Kerajaan telah memaksa mereka melibatkan diri dalam program tanam semula getah dan kelapa sawit, tapi ia mesti di bawah pengurusan FELDA dan tidak boleh dibuat secara persendirian. Jadi mereka terus berhutang dengan FELDA. Geran tak dapat-dapat. Jadi mungkin sebab itu dah ada yang jadi malas atau berputus asa, dibiarkan saja pokok-pokok yang tua, mati. Tak tanam yang baru pun tak apa. Tak ada bezanya.

Kembali pada filem Karaoke.

Melihat daripada cara orang-orang muda di kampung Betik menghabiskan masa lapang mereka, aku terasa sangat yang mereka ni memang terpisah dari dunia luar. Mereka tak duduk depan komputer untuk berinternet dan baca belog atau main Farmville di Facebook. Satu-satunya hiburan yang mereka ada ialah bersukan cara kampung atau berkaraoke. Sekali sekala orang luar datang buat bisnes, mereka boleh cari duit lebih.

Hal ini mengingatkan aku tentang beberapa siri mesyuarat yang aku hadiri sebelum aku menonton filem Karaoke. Ada seorang ahli mesyuarat yang mencadangkan supaya dibuat satu belog dan laman web untuk menyebarkan pengetahuan politik dan isu semasa khusus untuk generasi muda di luar bandar. Tiba-tiba, pakcik yang duduk di sebelah aku ketawa. Katanya, belog-belog tu semua permainan orang bandar. Orang-orang muda di kawasan pendalaman, lepas habis sekolah pegi cari kerja di kilang-kilang atau bandar, tak pun kahwin. Hanya yang bernasib baik akan sambung belajar di bandar. Mana ada masa nak berinternet. Kalau ada masa pon, mereka takkan nak baca belog-belog yang penuh propaganda. Baca pasal gossip artis lagi best.

Sekarang aku percaya cakap pakcik tu.

Salah satu masalah bila kita nak berkempen di kawasan luar bandar di pedalaman ialah, mereka sangat susah nak mengubah mentaliti dan benda-benda yang dah sedia ada. Sebab tu, kalau nak pastikan mereka mengundi calon yang kita nak mereka undi, kalau boleh bawa lambang parti tu sekali. Tunjuk pada mereka, terutamanya generasi pertama. Mereka biasanya akan pangkah lambang yang mereka dah selalu pangkah. Mereka tak kenal lambang lain. Mereka tak tahu apa-apa pasal kisah di sebalik lambang yang mereka biasa pangkah tu. Pada mereka, lambang itulah kerajaan. Kata seorang nenek, "kalau lambang tu kalah, nanti kita tak ada kerajaan" (tak, aku tak buat lawak).

Hal di atas buat aku mengeluh, betapa susahnya nak bawa perubahan pada sesetengah orang.

Sebab tu aku terkejut bila ibu Betik kata dia nak berhijrah.

Dari sudut lakonan, aku lihat semua pelakon agak kekok berinteraksi sesama sendiri. Tapi menurut mereka, hal itu memang disengajakan oleh pengarah yang tidak mahu mereka menjadi rapat walaupun di luar filem sepanjang pembikinan. Maka kau boleh rasa jurang di antara mereka. Dan itulah niatnya.

Betik yang selama ini berada di KL, balik ke kampung dan masih berasa yang dia ialah sebahagian daripada kampung itu. Tapi hakikatnya tidak. Kampung itu seolah-olah tak peduli tentang Betik dan 'move on' walaupun tanpa Betik. Betik yang telah ketinggalan berasa tersisih. Bila berjalan-jalan di kampung pun, dia rasa sudah banyak yang berubah.

Perubahan fizikal tanpa kebajikan sosial tu kan memang 'kepakaran' kita.

Tapi kadang-kadang, pemikiran 'tak kisah' atau 'peduli apa aku' itu ada baiknya. Pergi kerja, balik kerja, bila rasa nak berhibur pergi pusat karaoke. Ada satu babak di mana seorang gadis keturunan India memilih untuk menyanyikan lagu nasyid, dan pengunjung-pengunjung pusat karaoke tersebut menyanyi bersama gadis tersebut sambil kepala digoyang ke kiri dan kanan sebagai tanda solidariti. Tiada kata-kata sinis seperti "lu ni nak masuk Melayu ka" atau "berani kau menghina agama kami" dari sesiapa. Ringkas. Ini kerana mereka tahu, sebaik sahaja lagu habis dinyanyikan dan mereka keluar dari pusat karaoke, mereka akan kembali ke alam realiti dan tidak ada apa-apa yang akan berubah.

Melihat pada jalan cerita, aku akur akan hakikat bahawa setiap kejadian itu memang ada ceritanya. Sama macam karaokelah. Di sebalik pembikinan klip-klip videonya, pasti ada cerita. Dan tak semua cerita itu indah dan sama. Bergantung pada interpretasi setiap oranglah.

Filem ini untuk genrenya adalah okay, cuma aku agak terkilan kerana aku hanya memahami keseluruhan isi kandungan selepas sesi sosal jawab dengan para pelakonnya, bukan sebaik sahaja cerita itu tamat.

Dan entah kenapa, selepas menonton, memikir dan merenung, aku rasa wajib pula aku letak puisi/balada saudara Fared Ayam anak peneroka FELDA sebagai penutup catatan aku kali ni

Balada Generasi Kedua

di sini
di tanah ini
yang kononnya dirancang
yang kononnya dibangunkan
atas nama ekonomi untuk bangsa
aku melihat anak anak muda
berkaraoke di tengahari di bulan puasa
aku melihat anak anak dara
beranak tiga di usia dua puluh dua
aku melihat adik adik remaja
melepak kosong di simpang tiga

di tanah bukit bukit lembah, jalan merah berbatuan kecil inilah
pokok pokok berakar tunjang kau tumbangkan
parit parit kau timbus, kau kering kontangkan
paya gersang berketak ketak hilang lembapan

di tanah gembur dan liat ini
yang dikatakan terhasilnya antara sumber utama ekonomi negara
aku melihat bayan dan punai
hilang tempat hinggapan
babi hutan hilang tempat berkubang
bujuk dan haruan hilang lubuk bersemayam
biawak mati bergelimpangan di tengah jalan

di sini
di lembaga kemajuan tanah persekutuan
kalau ini yang kau katakan ekonomi pembangunan
kalau ini yang kau katakan punca pendapatan
kalau ini yang kau katakan sebuah ' rancangan'
maka aku lebih rela jadi manusia gelandangan
yang tak pernah terancangkan

kembalikan kesemulajadian
atau akan aku mulakan hasutan!!


Filem Karaoke akan mula ditayangkan pada 26hb November 2009.



*Gambar-gambar oleh Danny Lim

Mari Melancong Part 6

Malam tadi, aku berbagan di Bagan Pinang lagi. Kali ni, pergi 5 orang. Kak Lat, Isham @ Tukar Tiub, Murnie, Fad dan aku. Naik kereta aku, tapi seperti biasa Kak Lat yang pandu, atas alasan yang biasa (aku memandu macam kura-kura. Ceh).

Dalam perjalanan, aku sms bos aku, tanya port ceramah yang best kat mana. Bos sms senarai penuh jadual DSAI. Selepas tengok jadual, kami semua memutuskan untuk pergi ke ceramah utama yang paling akhir untuk kempen pilihanraya kali ini, iaitu di tapak yang sama dengan hari pengumuman calon PAS hari itu.


Datang datang je... terus cari durian

Lepas makan durian, barulah kami pergi ke tapak ceramah. Kami letak kereta agak jauh... di kawasan-kawasan perumahan. Ramainya orang tak terkira.




Jangan tanya aku cemana penjual ubat ni boleh dapat port tengah2 tapak ceramah untuk menjual

Seperti biasa, DSAI akan berucap paling akhir. Sebelum itu, beliau ada ceramah2 di tempat lain juga. Kasihan, suara dah serak, sampai kami tak boleh cam kalau tak nampak.

Isi ceramah agak menarik. Undi tentera. KJ. Sokongan kaum India. Kugan. Teoh Beng Hock. Rasuah.

Selesai acara ceramah, penutupan telah dimeriahkan oleh seorang penyanyi nasyid penyokong PR.


Korang nampak apa yang aku nampak?

Takpe... di bawah ada gambar yang jelas sikit.


Kuang kuang kuang

Seperti biasa juga, selepas acara ceramah selesai, acara wajib seterusnya ialah makan. Namanya pun pelancong politik kan.


Ketua Penerangan dan Ketua Biro Politik bergurau senda


Gaya Isham dan aku selepas melantak 2 mangkuk mihun sup

Hampir 130 pagi, kami meneruskan perjalanan pulang ke KL. Jalan sesak gila, sampai nafas aku pun jadi sesak. Oleh kerana tak tahan, kami ambil keputusan untuk berhenti minum. Semasa mencari tempat minum, Kak Lat nampak kereta YB Siva. Kami pon 'join' beliau minum (dan makan nasi berlauk. Hohoh).


"Petai ni elok dengan sambal udang je... bukan sweet sour" kata Isham kepada YB Siva.

Orang-orang tua... kalau berborak memang lama. Jam dah pukul 3 pagi. Borak... borak.. borak... dan aku, telah bertukar menjadi ikan.


Kepenatan+Kebosanan=Muka ikan


Dah lebih dah ni


"Puspa... aku nak kench" "Sabar... sabar..."


Akhirnya, Murnie dan Fad memutuskan untuk menjadi 'cam whores'

Kami bergerak dari kedai makan tersebut dalam lebih kurang pukul 330 pagi. Walaupun dah lewat, jalan menuju ke KL masih sangat sesak dan tak bergerak. Akhirnya Isham mencadangkan kami ikut jalan lama. Katanya, dia tau.

Tau? Tauu?? Tauuuuuuuu????? Jalan lama yang gelap, takde lampu, sunyi, pastu sesat pulak! Sesat hampir satu jam. Takut gila. Dan Isham boleh buat lawak2 bodoh "eh korang nampak tak perempuan tepi jalan tu? Yang pegang bayi tu. Kahkahkah" Tak kelakar la!


Satu papan tanda yang dijumpai ketika sesat. Gambar Najib melawat Nik Aziz. So what? Isa tetap tak cool!

Pukul 5 pagi, akhirnya kami tiba juga di KL. Aku sangat pasti yang aku tidur berdengkur akibat kepenatan, sebab bila bangun, tekak aku sakit.

Selamat mengundi penduduk Bagan Pinang!