Planet Puspa - Jawa (1)

Semusim dikala suara itu
Menjamu merayu bisu
Menghampar merindu... mu

Tiada gusar menghantui biru
Terambah menawar pilu
Terkapar mencumbu... mu



Lagu Bogor Biru di atas telah membawa saya ke kota Bogor, Jawa Barat, Indonesia. Pada mulanya apabila saya dan Nik memutuskan untuk ber-backpacking ke Kepulauan Jawa hujung tahun lepas, Bogor tidak terlintas dalam fikiran. Kemudian apabila saya meneliti laluan bas dan keretapi di atas peta Kepulauan Jawa, saya ternampak Bogor yang jaraknya kira-kira 2 jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta. 'Bogor Biru' memang lagu kesukaan saya. Seseorang juga pernah memberitahu saya bahawa Bogor juga dikenali sebagai Kota Hujan kerana kota itu hujan setiap hari sepanjang tahun. Bogor juga terkenal dengan Kebun Raya iaitu taman botanikal yang luasnya 87 hektar. Saya memikirkan adalah lebih baik kota Bogor dijadikan destinasi pertama, kerana sehingga sehari sebelum bercuti, jadual saya padat dengan perbicaraan dan pendengaran. Saya mahu duduk diam di dalam kota beberapa hari, berjalan di tengah hujan dan minum kopi. Nik pun baru habis peperiksaan sarjananya.

Maka kami pun melakukannya.










Tidak susah untuk mencari kota Bogor. Dari lapangan terbang, kami menuju ke perhentian bas di luar dan menunggu bas yang tertulis 'Bogor'. Ada juga pilihan lain iaitu teksi, yang dikira murah jika anda mengembara lebih dari seorang. Kalau naik bas seorang Rp45,000 dan kalau teksi kira-kira Rp100,000 tanpa mengira bilangan penumpang. Dari stesen bas di Bogor pula, ada banyak Angkutan Kota (bas mini/van penumpang murah) yang lebih dikenali sebagai 'angkot' atau kalau tidak biasa, naiklah teksi, tapi pastikan teksi itu menggunakan meter.

Kota Bogor walaupun sesak di siang hari, tapi masih dikira tenteram berbanding Jakarta. Selain dari Kebun Raya, ada juga tempat berekriasi yang lain. Rumah tumpangan yang didiami terletak hampir dengan Taman Topi, pasar dan stesen kereta api. Waktu petang kami berjalan-jalan di sekitar situ mencari 'gorengan' dan melihat gelagat orang tempatan. Kalau mahu bergerak lebih jauh, naik angkot yang sangat murah iaitu kira-kira Rp3000. RM1=Rp3400. 

Kawasan kami juga dekat dengan sebuah sekolah agama (Islam). Bila subuh menjelang, saya dengar azan lebih dari satu suara. 3 atau 4, kot? Tertanya-tanya juga saya ada berapa buah masjid di sini? Ada juga beberapa gereja Kristian. Walaupun mendapat jolokan Kota Hujan, saya nampak juga papan tanda 'Bogor Kota Beriman' di sini.



Seperti yang dijangka, Kota Hujan memang hujan setiap hari. Selang sejam dua, sebenarnya. Tapi hujannya tidak lebat, cukup dengan memakai baju berhud atau payung kecil sahaja. Waktu malam baru saya dengar bunyi hujan yang lebat. Bilik yang kami diami bilik murah dan hanya ada keperluan asas. Mungkin kerana sentiasa hujan, airnya sejuk macam air kat rumah nenek di Pilah :p 

Akhirnya, Bogor kami tinggalkan untuk ke Bandung.