Bantuan Guaman dan Peranan Kerajaan

Sila klik sini.

Bunohan


Baru-baru ini Orang Gilak menghadiri tayangan perdana filem Bunohan (cara sebut: bu no he). Orang Gilak dah lama dah tunggu filem ni. Niat tu makin kuat bila kawan-kawan yang berlakon filem tu pun tak sabar-sabar nak tunggu filem tu ditayangkan di negara sendiri. Sebelum ini filem Bunohan telah ditayangkan di festival-festival luar negara di Toronto, Taipei, Amerika Latin dan Eropah.

Apa itu Bunohan? Bunohan tu sebenarnya nama sebuah kampung di Kelantan. Ya, tempat tu memang wujud. Kalau anda rajin meng-google, macam-macam versi asal-usul nama Bunohan yang korang boleh jumpa. Tapi yang paling banyak diperkatakan ialah perihal terjadinya banyak kejadian pembunuhan di kampung tersebut ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu, dan oleh sebab itu kampung tersebut digelar Bunohan.

Dialog-dialog di dalam filem Bunohan di dalam dialek Kelantan. Tapi jangan bimbang, ada sarikata bahasa Malaysia dan Inggeris untuk warganegara bukan Kelantan. Agak menarik bila Ho Yuhang mampu fasih berbahasa Kelantan. Selain daripada beliau, lakonan Jimmy Lor juga agak mengesankan sebagai seorang nelayan Cina di Kelantan. Agak sedih juga bila memikirkan bahawa jika ini bukan filem berlatarbelakangkan Kelantan, watak yang dipegang Ho Yuhang dan Jimmy Lor mungkin samada akan berbahasa Manglish atau Melayu ke-apek-apek-an.

3 watak utama di dalam Bunohan ialah adik-beradik berlainan ibu. Mereka ialah Ilham (Faizal Hussein), Bakar (Pekin Ibrahim) dan Adil (Zahiril Adzim). Watak-watak utama filem ini juga diperkenalkan secara tidak langsung oleh watak-watak tanpa nama di awal filem ini secara menyebut nama pelakon yang muncul di kaca televisyen sebuah warung kopi. Selepas bertahun-tahun tidak berjumpa (dan ada yang belum pernah berjumpa), ketiga-tiga mereka pulang ke Bunohan pada masa yang hampir sama tanpa berjanji. Ilham, seorang pembunuh upahan pulang untuk mencari Bunga Lalang yang khabarnya lari menyembunyikan diri di Bunohan. Bakar yang sudah lama menetap di Kuala Lumpur pulang untuk memujuk bapanya supaya menjual tanah di kampung kepada pemaju, manakala Adil seorang peninju tomoi lari bersembunyi selepas enggan meneruskan perlawanan tomoi 'lawan sampai mati' yang terpaksa disertainya kerana berhutang.

Filem ini mengajak kita supaya tidak melihat manusia dari dasarnya sahaja- contohnya watak Ilham seorang pembunuh upahan, bila sedang 'berkerja' sangatlah tidak beremosi. Tapi, sekembalinya ke Bunohan, banyak betul sisi-sisi romantis Ilham yang boleh dilihat. Dia marah bila dapat tahu kubur arwah ibunya dialihkan ke tempat lain dan telah mengambil masa berhari-hari untuk meletakkannya semula ke tempat asal. Ilham juga sangat sayangkan darah dagingnya sendiri- tapi dengan caranya yang tersendirilah. Dalam masa yang sama, dia tidak lupa dengan etika dan peraturan sebagai seorang pembunuh upahan. Watak Bakar pula nampak baik dari segi rupa- mat belia, pakai spek baju semat ke dalam, cikgu pula. Tapi Bakar sangat tamak dan licik hingga sanggup mengkhianati keluarganya sendiri.


Ilham selepas membunuh orang

Adil seorang peninju tomoi adik paling bongsu, lari dari kampung sebab merajuk dan terasa kurang dapat kasih sayang dari keluarga. Bila berjumpa dengan bapanya selepas 5 tahun, hal itu juga yang diungkit. Antara babak filem Bunohan yang Orang Gilak paling suka ialah bila Adil bertinju dengan Muski (Amerul Affendi) kawan baiknya sendiri. Dua-dua berlawan dengan bersungguh-sungguh dengan agenda masing-masing, sampai Orang Gilak tak tahu nak sokong yang mana satu sebab kedua-duanya ada sebab yang baik walaupun dengan cara yang salah.


Muski membantu Adil melarikan diri

Bunohan juga ada unsur-unsur mistik, yang mana terdapat elemen semangat Main Puteri dan Wayang Kulit. Bapa 3 beradik tersebut, Pak Eng merupakan bekas Tok Dalang yang handal di kawasan tersebut tetapi kaki perempuan. Walaupun tidak lagi aktif bermain wayang kulit, Pak Eng masih mempunyai 'ilmu' yang kemudiannya diturunkan kepada Adik, iaitu anak lelaki jirannya. Arwah ibu Ilham (lakonan Tengku Azura) dikatakan sebagai pawang wanita handal di Bunohan. Ilham sangat sayang dan arif dengan rahsia ibunya. Dia amat yakin yang ibunya akan 'kembali'. Tapi maaflah, Orang Gilak rasa Tengku Azura lakonannya kurang berkesan walaupun tanpa dialog. Kecualilah kalau memang 'semangat' yang muncul dari dalam air akan berjalan secara 'catwalk' ke daratan?

Filem ini juga menampakkan kekurangan yang mungkin disengajakan. Pertama, kurangnya pelakon wanita. Atau lebih tepat lagi memang tak ada pelakon wanita pun di dalam Bunohan kecuali Tengku Azura. Kat warung kopi tak ada, kat tepi pantai tak ada, kat gelanggang tinju apatah lagi? Mungkin semua perempuan Bunohan hanya duduk di rumah sahaja, sebab tu di dalam beberapa babak ada dengar 'suara'. Kalau nak dibaca secara mendalam mungkin kerana wanita Kelantan keluar berniaga di siang hari tatkala kaum lelaki melepak di kedai kopi. Atau mungkin pembikin filem Bunohan cuba menonjolkan sistem sosial 'patriarchy' yang sememangnya wujud di dalam masyarakat kita. Tapi kalau nak dibaca dengan lebih mendalam lagi, mungkin sebab diorang tak ada bajet.

Kedua, tak ada pihak berkuasa langsung. Orang mati disangka dibaham buaya dan cerita senyap begitu sahaja- bukan kena buat autopsi ke? Dan punyalah banyak gelanggang tinju haram- polis makan rasuah kot? Atau ia sepatutnya sesuatu yang melegakan? Segala-galanya diselesaikan sendiri- tidak perlu polis, kastam hatta ketua kampung sekalipun. Bunohan ialah sebuah negara anarki tanpa pemerintah, atau Bunohan ialah sebuah republik. Yang penting hanya wang. Itupon hanya segelintir yang tunduk. Selainnya sudah selesa dengan hidup yang santai dan lewa.

Memandangkan 'kekurangan-kekurangan' di atas, Orang Gilak rasa agak mengesankan jugalah bila tiba-tiba pembikin filem Bunohan boleh 'teringat' pada ahli-ahli politik? Politisi perlukan audiens (innuendo watak Pak Wah lakonan Nam Ron), perumpamaan licik macam politisi dan sebagainya. Tapi dua permainan budaya yang penting di dalam Bunohan iaitu wayang kulit dan main puteri bukanlah sesuatu yang digalakkan oleh politisi pemerintah Bunohan di alam realiti. Malah sukan tinju tomoi juga pernah diharamkan disebabkan tarian berunsur pemujaan di awal perlawanan, sebelum dibenarkan semula pada 2010 dengan peraturan pakaian menutup aurat bagi orang laki-laki. Orang Gilak juga rasa agak menarik apabila 2 orang pakcik yang baru balik dari surau berbual tentang Main Puteri dan mengeluh kerana kampung mereka sudah kepupusan pawang.

Orang Gilak gembira kerana berpeluang menonton filem karya tempatan yang bagus seperti ini. Orang Gilak juga tumpang gembira para pelakon yang akhirnya berpeluang menonjolkan bakat sebenar dengan adanya filem yang mempunyai jalan cerita dan skrip yang kuat. Tahniah juga kepada pengarahnya Dain Said dan para pelakon pembantu seperti Sofi Jikan dan Bront Palarae yang tidak mengecewakan.

Jadi kepada kawan-kawan yang membaca blog ini, Orang Gilak sarankan supaya anda semua menonton filem ini di pawagam bermula 8 Mac 2012. Beli tiket dan tonton di pawagam. Berbaloi. Jangan beli dvd yang cetak rompak, tak nampak nanti. Serius.

Orang Gilak letak di sini sedutan filem Bunohan sebagai pembuka selera:-



Barisan pelakon dan pengarah ketika sidang akhbar