Ada Apa Dengan Mimpi?

Dah lama tak menulis di belog ni. Bukan dah lupa, tapi tak sempat. Atau, walaupun punya kesempatan, tapi tak tahu apa yang wajar untuk ditulis. Ramai yang bertanya, dan ramai juga yang tertanya-tanya.

Kita tinggalkan dulu isu masa.

Aku nak cerita pasal arwah mak, mak yang aku tak sempat nak jumpa. Mungkin dah jumpa, tapi tak sempat nak kenal. Mungkin dah kenal, tapi tak ingat. Mak pergi bila usiaku berumur setahun. Lepas tu bapaku kahwin semula. Gagal, kemudian mencuba lagi.

Dulu-dulu, bekas mak tiriku pernah cakap, bahawa arwah mak muncul dalam mimpinya. Mak suruh dia jaga anak-anaknya baik-baik. Aku diamkan saja. Biasalah mainan tidur.

Kemudian, beberapa tahun selepas tu, bekas pengasuhku pula menghubungi aku. Waktu tu, bapaku dah bercerai dengan mak tiri tu. Bekas pengasuhku kata, dia mimpikan mak aku. Dia risau apa-apa jadi pada anak-anak dia.

Raya lepas, pakcik aku (abang mak) yang kujumpa ketika Hari Raya, kata mak muncul dalam mimpinya. Pakcikku ajak aku buat kenduri.

Semalam, ayah datang ke pejabat. Tiba-tiba je. Padahal, Ahad lepas aku dah jumpa ayah di rumahnya. Katanya, malam kelmarin mak muncul dalam mimpinya. Mak marah-marah ayah, katanya tak jaga anak dan tak adil dengan semua anak.-anaknya Ayah terkejut. Ayah tanya kepada aku, kalau-kalau dia tak cukup beri apa-apa. Aku kata tak ada, tapi aku ambil kesempatan minta ayah dahulukan wang deposit untuk aku pindah rumah bulan depan, heh heh heh.

Aku taknak buat andaian lebih-lebih, sebab aku tak ada ilmu dalam hal semacam ni. Tapi, semua cerita mimpi ni buat aku rindu kat mak.

Mak, janganlah risau sangat. Anakmu baik-baik saja. Dah besar panjang, dah kerja bagus. Cuma kahwin je belum lagi. Tapi saya gembira.

Sekali-sekala, mak muncullah dalam mimpi saya pula, ya?