Beruk

Sebelum ni aku telah menulis tentang kambing. Aku puji kambing sebab haiwan itu comel tapi busuk, busuk tapi mahal.

Tulisan aku disambut dengan perasaan kurang senang oleh saudara Edmund Bon, yang aku panggil Uncle Ed. Aku panggil beliau Uncle Ed sebab beliau selalu berperangai seperti pakcik-pakcik. Soalan Uncle Ed kepada aku ialah, adakah kambing lebih baik dan lebih penting daripada LoyarBurok?

Umum mengetahui bahawa maskot LoyarBurok ialah seekor beruk. Jadi aku baca soalan Uncle Ed tersebut sebagai: Adakah kambing lebih baik dan lebih penting daripada beruk? Jadi, sebagai menghormati Uncle Ed, aku dedikasikan tulisan yang ini khas untuk haiwan bernama beruk (tidak ada kena mengena dengan LoyarBurok).

Seperti kambing, beruk juga ialah sejenis binatang berkaki empat. Bezanya ialah beruk boleh berjalan menggunakan 2 kaki, manakala kambing tidak boleh. Jika seseekor kambing boleh berjalan dengan menggunakan 2 kaki, kambing tersebut akan dijemput untuk menyertai sarkis. Di dalam salah sebuah filem P. Ramlee, ada seorang watak ni mengeja sarkis sebagai ‘Alif, Mim, Nun, Wau (A/U, M,N,O/U). Alif tendang Wau=Sarkis’. Samada memang terdapat kesalahan mengeja atau penulis skrip tersebut tidak pandai mengeja, tidaklah kita ketahui sehingga kini.

Seperti ramai orang kebanyakkan di Malaysia, aku juga tidak tahu apakah nama saintifik atau gelaran beruk ini di mata dunia. Mungkin ia memang digelar beruk, atau ‘brook’, atau ‘al-bruq’. Tapi orang putih meletakkannya sebagai salah satu daripada ahli keluarga monyet. Ia digelar ‘beruk monkey’ atau ‘pig-tailed macaque’ (The Beruk monkey is a pig-tailed monkey which is specially-trained to pick coconuts). Kasihan, dah la beruk, dikaitkan dengan babi pula.

Bagi orang kebanyakan di Malaysia, ada 2 jenis beruk yang terkenal, iaitu beruk kampong dan beruk mak yeh.

Beruk kampong ialah beruk yang selalu digunakan di kampung-kampung untuk memanjat dan memetik buah kelapa. Beruk ini agak dekat dengan tabiat sesetengah manusia, iaitu ia suka terjun di dalam sungai dan suka merokok. Ia juga pandai minum dengan menggunakan ‘straw’. Ini mengingatkan aku kepada Sarip. Sarip ialah seekor beruk yang tinggal di dalam hutan berdekatan dengan kampus aku dulu. Aku panggil ia Sarip selepas aku berjaya menangkap Sarip hidup-hidup ketika ia sedang meminum air sirap yang aku beli dari kantin menggunakan ‘straw’. Sirap=Sarip.

Beruk mak yeh pula sebenarnya hampir tidak wujud. Barangkali ia hanya satu mitos. Tapi ramai orang yang menggambarkan beruk mak yeh ini sebagai spesis beruk yang suka melompat-lompat, terkinja-kinja dan suka membuat bising. Ia juga selalu digunakan di dalam ayat bahasa Melayu yang berbau kutukan. Contoh ayat: Lelaki tua tak sedar diri itu menari terkinja-kinja di kelab dangdut macam beruk mak yeh.

Selain daripada beruk kampong dan beruk mak yeh, ada juga beruk jelmaan/jadian. Beruk jadian ialah satu spesis yang istimewa, seperti juga harimau jadian (saka), serigala jadian (werewolf) dan macam-macam binatang lagi. Beruk-beruk jadian ini mampu bertukar menjadi manusia. Akan tetapi mereka sangat mudah dikenalpasti. Disebabkan itulah ada sesetengah orang yang digelar ‘beruk’. Ia berlaku selepas penyamaran mereka terdedah.

Beruk juga adalah antara nama haiwan yang selalu digunakan sebagai kata nama ganti dan kata nama alternatif, terutamanya ketika kita sedang marah dan digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang negatif. Ia juga selalu digunakan oleh beberapa gerakan atau individu untuk menjatuhkan beberapa jenama gergasi yang tak guna. Antaranya ialah MalBERUK dan BERUKband.

Demikianlah sedikit sebanyak pengetahuan yang aku boleh kongsi dengan para pembaca tentang beruk. Sekarang terpulang kepada semua samada kambing atau beruk lebih penting. Aku lebih suka kambing. Kambing lebih ringkas. Pada pendapat aku, beruk adalah sangat merumitkan. Ia boleh membawa beberapa maksud yang berlainan sehingga perkataan’beruk’ boleh digunakan sebanyak beberapa kali di dalam satu ayat.

Aku akhiri tulisan ini dengan sebuah lagu. Sila nyanyi lagu ini dengan tempo lagu ‘Bangau oh bangau’.

Beruk oh beruk, kenapa engkau beruk?

Macamana aku tak beruk, aku memang beruk

Aku memang beruk

Sekian.

0 komen: